Skip to main content

Singapura

CASE beri amaran terhadap rangkaian kecantikan selepas terima lebih 50 aduan

Badan pemantau pengguna Singapura pada Rabu (15 Okt) mengeluarkan amaran kepada orang ramai terhadap sebuah rangkaian kecantikan selepas menerima puluhan aduan, termasuk satu kes di mana seorang pelanggan dipercayai dikenakan caj sekurang-kurangnya S$370,000 bagi produk-produk dan pakej rawatan.

Anggaran Waktu Membaca:
CASE beri amaran terhadap rangkaian kecantikan selepas terima lebih 50 aduan

Cawangan Beautique di Ang Mo Kio. (Gambar: Google Map/Beautique)

SINGAPURA: Badan pemantau pengguna Singapura pada Rabu (15 Okt) mengeluarkan amaran kepada orang ramai terhadap sebuah rangkaian kecantikan selepas menerima puluhan aduan, termasuk satu kes di mana seorang pelanggan dipercayai dikenakan caj sekurang-kurangnya S$370,000 bagi produk-produk dan pakej rawatan.

Antara 1 Ogos 2024 hingga 14 Oktober tahun ini, Persatuan Pengguna Singapura (CASE) menerima 53 aduan terhadap DNA Brands Co, yang mengendalikan salun kecantikan di bawah jenama Beautique serta kedai runcit di bawah jenama The Mineral Boutique, antara lain.

Sebahagian besar pengguna berkata mereka dipujuk atau diberi tekanan oleh jurujual untuk membeli pakej atau produk secara berlebihan, melibatkan jumlah keseluruhan lebih S$980,000, menurut kenyataan media CASE.

Bagi separuh daripada aduan yang diterima, pengguna membelanjakan lebih S$10,000 bagi pelbagai pakej dan produk.

Pada masa yang sama, sekurang-kurangnya 40 peratus daripada pengadu berusia 60 tahun ke atas.

Aduan terhadap jenama Beautique melibatkan cawangannya di Ang Mo Kio, Orchard Plaza, The Centrepoint dan Toa Payoh, manakala aduan terhadap jenama The Mineral Boutique melibatkan cawangannya di NEX, Jewel dan Wheelock Place, menurut CASE.

“CASE telah mengundang syarikat itu untuk menandatangani Perjanjian Pematuhan Sukarela bagi menghentikan amalan perdagangan tidak adil, namun ia menolak,” kata Presiden CASE, Melvin Yong.

“CASE telah merujuk perkara ini kepada Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) untuk siasatan di bawah Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil).”

“Amalan tidak adil teris menjadi masalah berterusan dalam industri kecantikan.”

CASE menasihatkan para pengguna supaya berhati-hati apabila berdepan dengan taktik jualan agresif, terutama bagi barangan bernilai tinggi seperti pakej kecantikan dan kesihatan.

Para pengguna dinasihatkan supaya mengambil masa untuk meneliti tawaran yang diberikan, membandingkan harga dengan peruncit lain, serta mendapatkan pandangan kedua jika perlu.

CASE turut menggalakkan para pengguna untuk meminta maklumat bertulis yang jelas mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan, termasuk tujuan, harga dan tempoh sahnya.

Para pengguna juga harus menyimpan resit dan dokumen urus niaga.

Selain itu, CASE turut menasihatkan pengguna supaya mendapatkan khidmat perniagaan kecantikan, spa dan kesihatan yang diiktiraf CaseTrust, yang menawarkan tempoh bertenang selama lima hari.

Dalam tempoh tersebut, pengguna boleh mendapatkan bayaran balik bagi perkhidmatan yang belum diambil sekiranya mereka memutuskan untuk tidak meneruskan pakej tersebut.

Perniagaan yang menerima pentauliahan CaseTrust juga komited untuk mengekalkan sekitaran rawatan tanpa tekanan dengan dasar ketat “tanpa jualan” semasa rawatan dijalankan.

“Pada masa yang sama, kami terus menggesa pemerintah untuk memperkenalkan tempoh bertenang mandatori bagi pakej prabayar kecantikan, supaya pengguna mempunyai peluang untuk mendapatkan perlindungan apabila menghadapi amalan tidak adil,” kata Encik Yong.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita