Skip to main content

Singapura

Casa Raudha terima cek S$20,000 hasil jualan buku wanita Melayu inspirasi

 Dialog Wanita Muda Dalam Kepimpinan (YWILD) dan Kelab MENDAKI menyampaikan cek bernilai S$20,000 kepada Casa Raudha petang tadi (18 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Casa Raudha terima cek S$20,000 hasil jualan buku wanita Melayu inspirasi

Dari kiri ke kanan: Cik Rahayu Mahzam, Cik Nadia Yeo, Cik Shahrany Hassan dan Cik Attiya Ashraf Ali di upacara persembahan cek pada 18 September. (Gambar: YWILD)

SINGAPURA: Dialog Wanita Muda Dalam Kepimpinan (YWILD) dan Kelab MENDAKI menyampaikan cek bernilai S$20,000 kepada Casa Raudha petang tadi (18 Sep).

Sumbangan tersebut adalah hasil penjualan buku bertajuk “Unprecedented – To the Beat of Her Own Drum” yang dilancarkan oleh Presiden Halimah Yacob sempena Hari Wanita Antarabangsa 2021 pada Mac lalu.

Buku berkenaan memaparkan kisah penuh inspirasi 20 wanita Melayu/Islam Singapura yang bangkit dan memberanikan diri mengharungi pelbagai cabaran hidup demi mendaki tangga kejayaan.

Cek disampaikan oleh pengasas bersama YWILD, Cik Nadia Yeo dan Cik Erliana Zaid bersama Presiden dan Naib Presiden Kelab MENDAKI Cik Faridah Saad dan
Cik Attiya Ashraf Ali kepada Pengerusi Casa Raudha, Cik Shahrany Hassan.

Dana terkumpul itu akan dimanfaatkan Casa Raudha untuk membantu penerima khidmatnya iaitu wanita dan kanak-kanak mangsa keganasan rumah tangga.

Sejauh ini, 800 buku sudahpun diikrarkan dengan YWILD dan Kelab MENDAKI menerima sokongan memberangsangkan daripada orang ramai serta rakan-rakan masyarakat yang lain termasuk Yayasan MENDAKI, PPIS dan SMCCI Dewi.

Setiap daripada pertubuhan tersebut sudahpun berikrar untuk membeli dan menyokong penjualan buku itu, menurut kenyataan media bersama para penganjur inisiatif berkenaan.

Namun, orang ramai masih boleh terus membuat ikrar mendapatkan buku itu di https://tinyurl.com/YWILDunprecedented.

BUKTI KESUNGGUHAN CETUS PERUBAHAN

Setiausaha Parlimen Rahayu Mahzam menyifatkan inisiatif itu sebagai contoh terbaik mewakili kemampuan golongan wanita muda sekiranya mereka yakin dengan diri sendiri dan bersungguh-sungguh mahu mencetus perubahan dalam masyarakat.

"Mereka mengambil inisiatif untuk menerbitkan buku agar lebih ramai wanita boleh meraih manfaat daripada pengalaman yang dikongsi wanita muda lain dari pelbagai latar belakang.

"Maka itu, ia tidak menghairankan bahawa buku itu menerima maklum balas dan sokongan positif daripada orang ramai," luah beliau di upacara penyampaian cek kepada Casa Raudha itu.

Cik Rahayu turut berkata beliau berbesar hati mendapat tahu bahawa hasil penjualan buku itu akan dimanfaatkan untuk membantu wanita lain yang berdepan cabaran seperti keganasan rumah tangga.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita