Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Casa Raudha, Rumah Kebajikan Muhammadiyah sediakan lebih banyak bantuan untuk mangsa penderaan

Sebagai seorang ibu, remuk hati Cik Trisha Amirah Mohd Noor setiap kali melihat anaknya dipukul dan didera. Namun, tiap kali beliau cuba untuk mempertahan dan menyelamatkan anaknya, beliau rasa terancam oleh suaminya ketika itu.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Casa Raudha, Rumah Kebajikan Muhammadiyah sediakan lebih banyak bantuan untuk mangsa penderaan

(Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Sebagai seorang ibu, remuk hati Cik Trisha Amirah Mohd Noor setiap kali melihat anaknya dipukul dan didera.

Namun, tiap kali beliau cuba untuk mempertahan dan menyelamatkan anaknya, beliau rasa terancam oleh suaminya ketika itu.

Sambil menahan sebak, beliau berkongsi: "Yang paling rabak yang saya tidak dapat memaafkan diri saya ialah apabila anak sulung saya dicampak dan dipijak. Kemudian dia dipukul dengan wayar vakum. Lagi kita cuba untuk melindungi, lagi dia menggeram. Jadi sebagai ibu ini rasa macam serba salah antara kita hendak melindungi anak itu ataupun tidak."

Begitulah keperitan hidup yang terpaksa ditempuhi wanita berusia 34 tahun itu.

Selama lebih lima tahun dalam perkahwinan, beliau dan empat orang anaknya menderita akibat tindakan ganas suaminya akibat penyalahgunaan dadah.

"Saya kena penderaan mental, fizikal dan seksual," luah Cik Trisha kepada wartawan Syawal Yusoff.

(Gambar: Syawal Yusoff)

MASA HADAPAN ANAK-ANAK DORONG MANGSA PENDERAAN DAPATKAN BANTUAN

Kesabaran Cik Trisha sampai ke tahapnya selepas diherdik suaminya di tempat awam, beliau nekad mendapatkan bantuan daripada seorang pekerja sosial demi keselamatan dirinya dan anak-anaknya.

"Apabila budak-budak ini balik sekolah, mereka takut. Jadi bila saya tanyakan anak sulung saya “Abang balik rumah takut tidak?" Dia cakap " Saya takut, Ma”.

"Mula daripada situ, saya rasa saya betul-betul perlu lakukan sesuatu. Sayang memang sayang tapi untuk melalui putaran ini terus menerus, tiada akhirnya. Saya harus fikirkan tentang masa hadapan anak-anak saya," ujarnya.

Keprihatinan utamanya ketika itu adalah untuk mendapatkan tempat tinggal yang selamat.

Dengan bantuan pekerja sosial, beliau dirujukkan ke rumah perlindungan Casa Raudha pada 2018.

Walaupun hanya tinggal di sana untuk setahun sebelum dipindahkan ke rumah sewa, Cik Trisha bersyukur dengan bantuan kaunseling, serta program bimbingan yang diterimanya.

"Mereka sentiasa mengingatkan saya dan memberikan saya sokongan melalui kursus dan sebagainya. Alhamdulillah dan mereka membantu menjaga anak-anak saya apabila saya perlu bekerja," jelasnya yang kini bertugas sebagai seorang pembantu dapur.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Cik Trisha akhirnya memutuskan untuk bercerai dengan bekas suamniya itu.

Beliau kini berazam untuk memulakan lembaran baharu dalam kehidupannya dan meninggalkan detik-detik hitam itu.

"Perancangan masa hadapan saya adalah untuk anak-anak saya, Saya ingin bekerja dan membesarkan anak-anak saya dengan cara yang betul," kata Cik Trisha yang baharu mendirikan rumah tangga sekali lagi.

Menurut laporan Trend Keganasan Rumah Tangga oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), jumlah kes baharu penderaan pasangan meningkat daripada 1,632 kes pada 2021 kepada 2,008 (peningkatan 23 peratus) tahun lalu.

CASA RAUDHA BERI BANTUAN MENYELURUH UNTUK MANGSA YANG DIBANTU

Menurut Pengarah Eksekutif Casa Raudha, Cik Zaharah Ariff, badan itu juga menyaksikan peningkatan jumlah kes-kes penderaan fizikal, emosi dan seksual yang diuruskan mereka.

Ramai yang dirujukkan kepada mereka juga tidak bekerja atau meraih pendapatan rendah.

"Sebelum mereka datang, mereka agak risau. Apa akan terjadi. Sama ada anak akan terus pergi ke sekolah? Sama ada mereka mampu untuk memberi makan kepada anak- anak apabila mereka keluar daripada rumah mereka? Jadi di Casa Raudha, kami pastikan kita bantu dalam ini semua.

"Makanan dan minuman serta tempat penginapan, semuanya percuma. Yang mana tidak dimampui, semuanya kita berikan. Ini supaya mereka dapat ketenangan dan mereka tidak risau. Jadi mereka boleh fokus kepada apakah langkah seterusnya buat mereka," kata Cik Zaharah.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Selain kaunseling, para penerima bantuan juga turut diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka serta cara-cara untuk pertahankan diri.

Beliau menambah: "Sekiranya mereka jumpa si pendera itu di luar, bila mereka keluar bekerja atau menghantar anak ke sekolah, apa yang mereka boleh lakukan untuk pertahankan diri. Jadi ini semua kita akan berbincang dengan mereka.

"Kita akan menghantar mereka untuk kursus yang boleh membantu mereka. Jadi bila mereka datang bukan hanya setakat untuk hentikan penderaan tetapi mereka juga mengenal pasti diri mereka dengan lebih mendalam lagi. Apa yang mereka boleh buat sendiri. Jadi kami ada di sini untuk menyokong mereka."

SEMAKIN RAMAI MANGSA PENDERAAN KAUM LELAKI TAMPIL MINTA BANTUAN

Sejak 2008, Casa Raudha sudahpun membantu sekitar 1,600 wanita dan kanak-kanak dengan menyediakan tempat perlindungan di dua tempat, yang boleh menampung sehingga 70 individu.

Cik Zaharah juga menarik perhatian kepada satu trend positif - semakin ramai kaum lelaki yang tampil mendapatkan bantuan.

Pihaknya turut mengadakan pelbagai usaha meningkatkan kesedaran di peringkat sekolah dan masyarakat.

"Sekiranya masih ada mangsa pada sama ada wanita ataupun lelaki yang masih menghadapi penderaan dan takut atau malu untuk meminta bantuan, jangan rasa takut, jangan rasa malu kerana ini kehidupan anda," ujar Cik Zaharah.

Menurut laporan Trend Keganasan Rumah Tangga MSF, kesedaran masyarakat tentang keganasan rumah tangga semakin meningkat.

(Gambar: Syawal Yusoff)

HAMPIR 99% ANAK-ANAK RKM ADALAH MANGSA PENDERAAN

Laporan itu juga menggariskan peningkatan jumlah kes penderaan kanak-kanak.

Antara 2021 hingga 2023, jumlah kes penderaan kanak-kanak naik daripada 2,377 kepada 2,787 kes.

Trend yang sama juga dilihat dalam kalangan penghuni Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM).

Tahun demi tahun, semakin ramai mangsa penderaan dirujukkan ke rumah kebajikan itu.

Mereka berusia antara 8 hingga 19 tahun.

"Hampir 99 peratus ialah mangsa penderaan. Majoriti kes-kes kami semua dirujuk oleh pihak kementerian ataupun atas faktor- faktor memerlukan penjagaan dan perlindungan," kata Penolong Ketua Pemulihan, Siti Aishah Samsudin.

Daripada kumpulan itu, penderaan fizikal dan emosi membentuk jenis penderaan yang paling lazim dilihat oleh RKM.

"Ibu bapa atau penjaga ingin mendisiplinkan anak tersebut tetapi cara disiplin yang digunakan agak berlebihan dan ada kekerasan sehingga ada kesan di tubuh badan mereka. Sebagai contoh mereka menggunakan tali pinggang. Jadi bila mereka rotan itu ada kesan calar di tubuh anak mereka tersebut dan ini memberi kesan emosi kepada anak tersebut," ujar Cik Aishah yang sudah berkhidmat di RKM selama 20 tahun.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Penderaan seksual dan pengabaian juga antara jenis penderaan yang dialami kanak-kanak itu.

Lantaran itu, pihaknya menggunakan beberapa pendekatan bagi menyesuaikan anak-anak apabila mereka dimasukkan ke RKM.

"Perkara pertama dan utama yang kami titik beratkan adalah pengawalan emosi dan menstabilkan kembali emosi anak tersebut. Apabila mereka dikeluarkan ataupun dipisahkan daripada ahli keluarga mereka dan dimasukkan ke RKM di tempat yang asing bersama orang-orang asing, maka pelbagai soalan timbul di fikiran mereka seperti 'Kenapa saya di sini? Kenapa saya seperti dihukum?' Jadi apabila anak itu dimasukkan, kita akan padankan mereka dengan satu pegawai kes dan bersama dengan pegawai yang lain, kita akan sentiasa periksa anak tersebut," tambahnya.

Bergantung pada usia ataupun minat anak-anak tersebut, beberapa teknik terapi digunakan agar dapat memberikan bantuan pemulihan yang lebih berkesan.

"Kalau sesi kaunseling itu mungkin kurang memberi impak. Jadi melalui 'terapi bermain' dengan pegawai yang terlatih, mereka boleh bermain. Ada anak-anak yang mesra dengan alam semula jadi. Bila mereka lihat tumbuh-tumbuhan, bila mereka lihat ikan dalam kolam, mereka rasa lebih tenang. Mereka rasa lebih selamat. Bila mereka sudah merasa tenang dan selamat, mereka senang untuk berkongsi apa yang mereka rasakan kepada pegawai kes mereka," ujar Cik Aishah.

(Gambar: Syawal Yusoff)

GUNAKAN TERAPI UNTUK BANTU MANGSA DERA

Selain itu, RKM juga giat mendedahkan para penghuninya kepada program kemahiran bagi mengasah bakat demi mencapai potensi sepenuhnya anak-anak di situ.

"Ada yang senang untuk ekspresikan diri mereka melalui lukisan dan warna. Jadi warna yang mereka pilih pun sebenarnya menggambarkan diri mereka. Apa yang mereka lukis tu sebenarnya menceritakan tentang apa yang mereka alami.

"Sekarang ini sebahagian besar anak-anak ini terlibat dalam permainan gamelan. Setiap hari Jumaat, mereka berlatih gamelan. Kemudian baru mereka tahu 'Oh sebenarnya saya berbakat dalam seni'. Mereka boleh bermain muzik dan ini boleh mengembalikan balik keyakinan mereka," kata Cik Aishah.

Selain anak-anak RKM, pihaknya juga giat mendampingi golongan ibu bapa serta penjaga mereka.

"Ada kalanya ibu bapa ini mereka sebenarnya tidak ada niat untuk mendera tapi mereka kurang pengetahuan bagaimana cara untuk menangani anak tersebut sebab mereka ada kalanya mereka juga dibesarkan dalam suasana begitu," kongsinya.


Buat masa ini, terdapat seramai 44 kanak-kanak dan belia yang tinggal di RKM.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan