Carousell, Facebook Marketplace mesti buat pengesahan identiti semua penjual jika gagal kawal penipuan: MHA
SINGAPURA: Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) memerlukan Carousell dan Facebook mengesahkan identiti semua penjual di platform masing-masing jika jumlah penipuan yang dilaporkan "tidak merosot ketara".
MHA akan membuat penilaian dalam tempoh enam bulan ke atas keberkesanan langkah-langkah yang diambil kedua-dua platform e-dagang tersebut untuk hanya mengesahkan identiti penjual yang mereka anggap "berisiko".
Jika keadaan melibatkan kes penipuan tidak bertambah baik, MHA kemudian akan mewajibkan kedua-dua platform untuk melaksanakan kaedah pengesahan pengguna ke atas semua penjual.
Langkah itu sebahagian daripada peruntukan pusingan kedua di bawah Akta Bahaya Jenayah Online (OCHA) yang diluluskan di Parlimen pada Julai tahun lalu, menurut MHA pada Jumaat (21 Jun). Langkah-langkah baharu itu akan berkuat kuasa pada 24 Jun.
OCHA menyasarkan kandungan-kandungan online yang digunakan untuk memudahkan kegiatan penipuan dan berniat jahat di ruang siber.
Di bawah langkah terbaharu itu, pihak berkuasa akan mengeluarkan dua kod amalan - satu bagi khidmat komunikasi online dan satu lagi bagi khidmat e-dagang.
KOD AMALAN
Kod komunikasi online itu tertakluk ke atas penyedia khidmat komunikasi online Facebook, WhatsApp, Instagram, Telegram dan WeChat, yang dikenal pasti oleh MHA sebagai "penipuan berisiko paling tinggi terhadap pengguna Singapura".
Di bawah kod ini, penyedia khidmat online itu mesti melaksanakan sistem-sistem, proses atau langkah untuk mengesan dan bertindak terhadap penipuan, menggunakan langkah-langkah pengesahan "wajar" untuk mencegah akaun-akaun palsu atau bot, mewajibkan pengesahan log masuk yang utuh dan menyerahkan laporan tahunan mengenai pelaksanaan langkah-langkah tersebut.
Penyedia khidmat komunikasi online wajib mematuhi kod komunikasi online ini menjelang 31 Disember.
Kod e-dagang pula tertakluk ke atas penyedia khidmat-khidmat online yang mengendalikan kegiatan e-niaga dan "berisiko paling tinggi berdepan penipuan e-dagang berbanding khidmat-khidmat lain di Singapura".
Facebook Marketplace, iklan Facebook, Facebook Pages dan Carousell wajib mematuhi kod ini menjelang 31 Disember. Platform-platform tersebut menyumbang kepada lebih 70 peratus kes penipuan e-dagang pada 2023.
Kod itu berkongsi syarat yang sama seperti kod komunikasi online, dengan lagi dua ketetapan tambahan.
Identiti para pengguna mesti disahkan bersandarkan rekod yang dikeluarkan pemerintah jika mereka membuat iklan atau memuat naik catatan mengenai penjualan barangan dan khidmat atau jika mereka berniat melakukan demikian.
Khidmat mesti menyediakan mekanisme perlindungan pembayaran yang mengesahkan penghantaran barangan atau perkhidmatan sebelum bayaran dibuat kepada penjual.
"Syarat-syarat tambahan ini berdasarkan apa yang dinilai oleh MHA sebagai lebih penting demi melindungi para pengguna Singapura daripada penipuan e-dagang," menurut MHA.
Kod komunikasi online, di samping kod amalan bagi khidmat e-dagang, akan berkuat kuasa pada 26 Jun, tambah MHA.
SYARAT PENGESAHAN IDENTITI PENGGUNA
Di bawah kod e-niaga, MHA akan mengutamakan pelaksanakan syarat pengesahan identiti pengguna, yang dinilai sebagai "paling penting untuk mengawal penipuan".
Sebagai permulaan, ia membolehkan Carousell dan Facebook Marketplace untuk hanya melaksanakan syarat pengesahan identiti ke atas para penjual 'berisiko" sebelum meluaskannya ke lebih banyak pengguna jika kes-kes penipuan gagal berkurangan.
"Penjual berisiko" adalah penjual yang dikenal pasti oleh platform-platform tersebut sebagai sumber yang mungkin melakukan penipuan.
Menurut MHA pada Jumaat, pihaknya akan menilai keberkesanan Carousell untuk mengesahkan identiti "penjual berisiko" antara 1 Julai dengan 31 Disember.
"Jika jumlah penipuan e-niaga yang dilaporkan di Carousell tidak merosot ketara, MHA akan mewajibkan platform itu untuk mengesahkan identiti semua penjual menjelang 1 April 2025," menurut MHA.
Penilaian serupa akan dijalankan ke atas Facebook Marketplace antara 1 Julai dengan 30 November, tambah MHA.
MHA mewajibkan Facebook Marketplace untuk mengesahkan identiti semua penjual menjelan 1 Mac 2025, jika jumlah penipuan e-niaga yang dilaporkan di platform itu "tidak merosot ketara".
MHA juga mewajibkan Facebook untuk mengesahkan identiti semua pengiklan menjelang 1 April 2025, jika jumlah penipuan yang dilaporkan mengenai pengiklanan di platform itu juga "tidak merosot dengan ketara".
Antara 1 Julai dengan 31 Disember, MHA akan "menilai keberkesanan langkah-langkah yang diambil Facebook untuk hanya mengesahkan identiti pengiklan berisiko", menurut MHA.
MHA menambah pihaknya tidak akan melaksanakan langkah pengesahan pengguna bagi Facebook Pages buat masa ini untuk membolehkan Facebook "mengutamakan pelaksanaannya bagi Marketplace dan pengiklanan pada tahun ini".
Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, Carousell menyatakan para pengguna platformnya akan diwajibkan mengesahkan identiti mereka menggunakan Singpass jika sistem platform itu "mengesan kelakuan serupa dengan corak penipuan atau pelanggaran dasar".
Pengesahan Singpass sekarang ini diwajibkan hanya bagi dua kategori - hartanah dan tiket serta baucar.
Platform Marketplace juga akan melancarkan dasar keselamatan untuk mendidik pengguna tentang "kelakuan berisiko", seperti membayar secara langsung kepada penjual sebelum menerima barang, kata Ketua Kakitangan Carousell, Tan Su Lin.
OCHA, yang diluluskan di Parlimen pada 5 Julai tahun lalu, membolehkan pemerintah mengarahkan agar satu-satu laman, aplikasi dan akaun online yang disyaki digunakan bagi kegiatan jenayah diturunkan atau dipadamkan.
Had arahan tersebut lebih rendah bagi kategori tertentu kesalahan jenayah - iaitu penipuan dan kegiatan berniat jahat di ruang siber.
Bagi penipuan dan kegiatan berniat jahat di ruang siber, arahan boleh dikeluarkan "apabila terdapat kecurigaan atau sebab untuk percaya bahawa ada kegiatan online sedang dijalankan sebagai persediaan untuk melakukan sepenuhnya atau sebahagian" kesalahan jenayah sedemikian, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan yang juga Menteri Kedua bagi Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo.
Arahan itu boleh menyuruh seseorang atau khidmat online menghentikan komunikasi mengenai kandungan online tertentu, menyekat kandungan sedemikian daripada dapat dilihat pengguna lain, menghentikan satu-satu akaun daripada berkomunikasi, menyekat akses ke sesebuah laman atau memadamkan aplikasi daripada app store bagi pengguna Singapura.
Sebahagian langkah di bawah OCHA berkuat kuasa 1 Februari, membolehkan pemerintah mengeluarkan arahan untuk menghadkan pendedahkan pengguna Singapura kepada kegiatan jenayah di platform online.
Langkah-langkah itu juga membolehkan pemerintah "memperoleh maklumat untuk menguatkuasakan Akta tersebut dan memudahkan siasatan serta prosiding jenayah".
Sebahagian keselahan jenayah OCHA termasuk yang berkait:
Pengganasan dan keselamatan dalam negeri
Keharmonian antara kaum, agama, penduduk berbeza
Hasutan keganasan
Pelanggaran Akta Rahsia Rasmi
Dadah
Perjudian
Kegiatan Pemiutang
Penipuan dan kegiatan siber berniat jahat
Kesalahan seks seperti penderaan kanak-kanak dan bahan lucah
Menurut MHA ia akan mengecualikan syarat ke atas mekanisme perlindungan pembayaran buat masa ini untuk membolehkan para penyedia khidmat mengutamakan pelaksanaan pengesahan identiti pengguna, sambil menambah pihaknya akan menilai semula langkah tersebut pada 2025.
Sama ada syarat itu diperlukan akan dinilai berdasarkan keberkesanan langkah pengesahan pengguna untuk mengurangkan penipuan e-dagang, menurut MHA.
MHA juga menyatakan pihaknya akan "menyemak senarai penyedia khidmat online yang ditentukan secara berkala berdasarkan keadaan kes penipuan pada waktu itu".
MHA menambah semua penyedia khidmat online yang ditentukan itu, termasuk Carousell dan Facebook Marketplace, diwajibkan untuk menyerahkan laporan pelaksanaan langkah-langkah untuk mematuhi syarat-syarat dalam kos amalan.
Jika pihak berkuasa menilai langkah-langkah yang diambil Carousell dan Facebook Marketplace sebagai tidak mencukupi, platform tersebut akan diberikan notis untuk mematuhi kesalahan pematuhan menjelang waktu yang ditetapkan.
"Kegagalan untuk mematuhi notis pembetulan adalah kesalahan jenayah," menurut MHA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.