Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Carousel tawar pengalaman jamu selera dalam gelap, pertama seumpamanya di SG

Anggaran Waktu Membaca:
Carousel tawar pengalaman jamu selera dalam gelap, pertama seumpamanya di SG

(Gambar: Royal Plaza on Scotts)

SINGAPURA: Restoran Carousel sangat sinonim dengan hidangan bufet. Kini, ia menawarkan pengalaman makan dalam gelap halal pertama pula di Singapura.

Wartawan BERITA Mediacorp diberi peluang untuk melalui sendiri pengalaman unik di 'Hidden Table, a Carousel Collection' itu. Ini perkongsiannya...
(Gambar: Aqil Ezat)
Setibanya di Palm Cafe di tingkat 5, saya dihidangkan minuman 'mocktail' dibuat daripada Sprite, jus delima dan limau, serta bertih jagung.
(Gambar: Aqil Ezat)

Tidak lama kemudian, saya diarahkan untuk menyimpan beg di dalam lokar dan menyerahkan telefon bimbit kepada kakitangan restoran.

Ini perlu dilakukan demi memastikan tiada pelanggan menggunakan sebarang alat yang memancarkan cahaya dan keadaan di dalam restoran kekal gelap.

Saya kemudian dibawa ke sebuah bilik yang gelap-gelita di mana saya disambut seorang pelayan. Beliau memakai sejenis gogal yang membolehkannya melihat dalam persekitaran gelap. Cuma dua bentuk bulat merah sahaja yang boleh saya nampak ketika itu.

Pelayan tersebut mengarahkan saya untuk memegang bahunya, dan beliau membawa saya ke meja makan pula.

Saya sempat tertanya-tanya... kalau jalan sahaja sudah cukup gelap, bagaimana saya boleh menikmati hidangan mereka nanti?

(Gambar: Royal Plaza on Scotts)
Sebaik sahaja saya duduk, saya menghulurkan tangan untuk mencari botol air dan cawan di atas meja. Ia agak mencabar, tetapi saya berjaya untuk menuang air sambil memastikan ia tidak tertumpah.

Suasana di dalam restoran sungguh tenang, dengan bunyi kicauan burung dimainkan seperti anda berada di dalam hutan - sesuai dengan tema pengalaman unik ini, iaitu 'Hutan'.

Jarak antara meja yang disusun juga agak jauh agar pelanggan mempunyai privasi sendiri.

Empat hidangan disajikan, termasuk pencuci mulut, yang dinamakan: 'The New World', 'Forest Awakening', 'Enchanted Woodland' dan 'Undergrowth'.

Setiap hidangan bagaikan 'misteri' apatah lagi ia disiapkan menggunakan bahan baharu dan unik.
(Gambar: Royal Plaza on Scotts)
Keadaan yang gelap itu merangsang segala deria saya. Meskipun ia sukar untuk mencari setiap bahan dengan sudu dan garfu, lama-kelamaan ia menjadi semakin mudah.

Selepas makan malam berakhir, saya dibawa semula ke Palm Cafe untuk mengisi borang penilaian.

Mereka yang berjaya meneka dengan tepat tiga bahan protein yang digunakan dalam hidangan, berpeluang untuk memenangi penginapan dua hari satu malam di Hotel Royal Scotts on Plaza.

Cef Eksekutif Darren Ong selanjutnya menyapa kami untuk menjelaskan setiap hidangan dan bahan yang digunakan.

Sejujurnya... saya memang suka makan. Namun saya gagal untuk mengenal pasti setiap bahan yang telah mereka gunakan.
Cef Eksekutif Darren Ong (Gambar: Royal Plaza on Scotts)
"Ia bukan hanya tentang pengalaman ketika makan, ia mempunyai cerita tersendiri di sebalik setiap hidangan. Ia mempunyai tema tersendiri yang sesuai dengan makanan, supaya pelanggan dapat menghargai bahan-bahannya," jelas Cef Darren Ong.

Beliau menambah bahawa menu akan diubah setiap empat bulan supaya ia tidak terhad kepada konsep tertentu sahaja. Beberapa tema lain sudah dirancang sejauh ini.
(Gambar: Aqil Ezat)
Mereka yang berminat boleh membuat tempahan di pautan ini, dengan harga promosi pada S$78 seorang.

Restoran hanya dibuka dari Khamis hingga Ahad dan anda boleh memilih slot antara 6.00 petang atau 8.00 malam.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan