CareShield Hayat, MediSave Care akan dilancar pada Okt
Skim sokongan jagaan jangka panjang CareShield Hayat dan MediSave Care akan dilancarkan pada 1 Okt, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (28 Ogos).
SINGAPURA: Skim sokongan jagaan jangka panjang CareShield Hayat dan MediSave Care akan dilancarkan pada 1 Okt, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (28 Ogos).
Rang Undang-Undang Careshield Hayat dan Jagaan Jangka Panjang diluluskan pada September 2019, yang membolehkan rakyat Singapura yang dilahirkan pada tahun 1980 atau selepas itu, termasuk mereka yang mengalami ketidakupayaan sedia ada untuk dimasukkan ke dalam insurans kurang upaya wajib bagi jangka panjang.
Skim MediSave Care membolehkan wang tunai dikeluarkan daripada akaun MediSave bagi keperluan jagaan jangka panjang.
Penduduk Singapura yang berusia 30 hingga 40 tahun pada 2020 - atau mereka yang dilahirkan antara tahun 1980 dengan 1990 - akan menjadi kohort pertama untuk menyertai skim itu dari 1 Okt atau pada hari lahir mereka yang ke-30, bergantung kepada yang mana kemudian.
Para individu itu juga akan menerima pakej aluan CareShield Life sebelum 2 Sep atau sehingga dua bulan sebelum hari lahir mereka yang ke-30.
Kohort seterusnya, atau mereka yang dilahirkan selepas 1990, secara automatik akan disertakan ke dalam skim itu apabila mereka berusia 30 tahun dan mereka juga akan menerima pakej aluan CareShield Life sebelum mencecah usia 30 tahun.
Mereka yang menyertai skim itu antara tahun 2020 dengan 2024, mereka akan menerima subsidi peralihan sehingga S$250, menurut MOH dalam kenyataan medianya pada Jumaat.
Skim itu tidak diwajibkan bagi penduduk Singapura yang dilahirkan pada tahun 1979 atau lebih awal daripada itu. Butiran mengenai bila kohort berkenaan boleh menyertai CareShield Hayat akan didedahkan pada 2021, menurut MOH.
Mereka juga berpeluang untuk menyertai CareShield Life, dengan pilihan untuk beralih ke ElderShield sebelum hujung tahun 2021.
Pelancaran skim bagi kohort sedia ada pada awalnya dirancangkan pada pertengahan 2021.
Dengan S$600 sebulan pada 2020, bayaran permulaan CareShield Hayat bagi rakyat Singapura yang kurang upaya yang teruk adalah lebih tinggi berbanding Skim ElderShield sedia ada, dan ia akan meningkat setiap tahun sehingga mereka berusia 67 tahun atau apabila tuntutan diluluskan, menurut MOH.
Walaupun Eldershield mengagihkan S$300 atau S$400 sebulan sehingga enam tahun, agihan CareShield Hayat yang lebih tinggi berpotensi bertahan sepanjang hayat dan selagi penerimanya berada dalam keadaan kurang upaya yang teruk.
Para penduduk Singapura boleh menggunakan MediSave untuk membayar premium CareShield Hayat mereka sendiri dan bagi tanggungan yang diluluskan, menurut MOH.
MEDISAVE CARE
Di bawah MediSave Care, yang juga akan dilancarkan pada 1 Okt, para penduduk Singapura berusia 30 tahun dan ke atas boleh menggunakan akaun MediSave mereka sendiri dan juga pasangan mereka untuk mengeluarkan wang tunai sehingga S$200 sebulan bagi kegunaan jagaan jangka panjang, atau sebanyak S$2,400 setiap tahun.
Jumlah yang boleh dikeluarkan bergantung kepada jumlah yang tersimpan dalam akaun MediSave mereka. Jumlah minimum S$5,000 perlu diketepikan dalam akaun MediSave "bagi memastikan simpanan mencukupi bagi perbelanjaan perubatan yang lain seperti kos rawatan di hospital dan kos rawatan pesakit luar yang mahal", menurut MOH.
Para individu yang tidak mempunyai simpanan yang mencukupi dalam akaun MediSave mereka boleh menggunakan akaun MediSave milik pasangan mereka untuk menyokong jumlah yang boleh dikeluarkan, dengan jumlah gabungan yang boleh dikeluarkan sebanyak S$200 sebulan.
Permohonan tuntutan bagi kedua-dua skim akan dibuka mulai 1 Okt dan para pemohon yang berminat harus menjalani penilaian ke atas keadaan kurang upaya oleh penilai bertauliah dari MOH dan menyerahkan permohonan mereka kepada Agensi Penjagaan Bersepadu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.