Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CareShield Hayat boleh "tinggalkan kesan mendalam" kepada masyarakat Melayu

Masyarakat Melayu berisiko lebih tinggi untuk diserang penyakit-penyakit yang boleh menyebabkan kehilangan upaya yang teruk. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat Melayu berisiko lebih tinggi untuk diserang penyakit-penyakit yang boleh menyebabkan kehilangan upaya yang teruk. Ini termasuk penyakit seperti kencing manis, darah tinggi serta angin ahmar.

Lantaran itu, skim insuran CareShield Hayat yang diperkenalkan baru-baru ini akan “meninggalkan kesan yang mendalam” kepada masyarakat Melayu khususnya.

Demikian ditekankan oleh Setiausaha Kanan Parlimen Kesihatan Amrin Amin dalam satu wawancara secara langsung di studio BERITA malam ini (4 Jul).

“Masyarakat kita semakin menua dan juga kita lihat masyarakat kita ada penyakit-penyakit kronik. Seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Kemungkinan kita kurang upaya di masa hadapan itu risikonya agak tinggi, kerana strok dan sebagainya.

“Ramai daripada kita (juga dalam kalangan) pendapatan pertengahan, jadi skim ini dapat memastikan yang kos itu dikongsi rata dan sama-sama dapat mampu supaya di masa hadapan kita dijaga dengan rapi,” kata Encik Amrin.

Selain CareShield Hayat, kelonggaran mengeluarkan wang tunai sehingga S$2,400 setahun atau S$200 sebulan dari akaun MediSave bagi keperluan jagaan kesihatan jangka panjang juga diumumkan semalam (3 Jul).

Setakat ini, simpanan MediSave tidak boleh dikeluarkan secara tunai tetapi boleh digunakan untuk membayar yuran hospital bagi diri sendiri atau anggota keluarga, pembedahan balik hari (day surgery), pembiayaan bagi pesakit luar dan juga premium termasuk premium CareShield Hayat.

Ditanya, sama ada ini menunjukkan bahawa pemerintah mendengar gesaan dan rayuan masyarakat yang sejak sekian lama mahu lebih banyak kelonggaran mengeluarkan wang MediSave mereka, Encik Amrin akur sememangnya ini menunjukkan bahawa Pemerintah mendengar dan mempertimbangkan maklum balas rakyat Singapura.

“Saya rasa ini adalah langkah awal, langkah pertama. Benar Pemerintah prihatin tentang keperluan masyarakat tapi harus juga kita pastikan akaun MediSave itu, yang banyak keperluannya, cukup untuk kita menampung kos-kos yang meningkat dan banyak di masa hadapan,” beliau memberitahu BERITAMediacorp.

Antara contoh kegunaan wang MediSave itu adalah bagi menampung kos-kos seperti bil hospital, rawatan dan perubatan serta termasuk MediShield Hayat.

PERANAN INSURANS DALAM JAGAAN KESIHATAN JANGKA PANJANG

Encik Amrin juga menekankan kini 1 daripada 7 rakyat Singapura berusia 65 tahun ke atas. Menjelang 2030, 1 daripada 4 pula akan berusia 65 ke atas.

Lantaran itu, beliau menjelaskan skim tersebut “dapat memastikan kos bagi menjaga kita di masa hadapan terpelihara”, memandangkan saiz keluarga semakin mengecil.

Ini lebih-lebih lagi selepas unjuran menunjukkan 1 daripada 2 dalam kalangan mereka yang berusia 65 tahun “akan mengalami keadaan kurang upaya di masa hadapan”, menurut Encik Amrin.

“Ini satu angka yang membimbangkan dan jika tidak mengambil langkah-langkah sekarang ini dan tidak adakan skim insurans, di mana kita dapat bayar semasa kita mampu dan bekerja, ia akan datangkan mudarat di masa hadapan,” tegas beliau.

PREMIUM CARESHIELD HAYAT MEMBEBANKAN?

Prihatin akan kos kehidupan yang meningkat, Encik Amrin juga berkata pihak pemerintah menjadikan premium itu sesuatu yang “dapat dimampui masyarakat”.

Ini terutama sekali dengan tiga kaedah yang ditekankan beliau, iaitu pembayaran melalui akaun MediSave, bantuan keluarga dan subsidi.

“Pertama, ia boleh dibayar sepenuhnya melalui MediSave dan kedua, ahli keluarga yang terdekat boleh menggunakan akaun Medisave mereka untuk membayar premium ini. Ketiga, ada subsidi-subsidi yang berdasarkan kemampuan mereka yang memerlukan dan juga bantuan dari segi bayaran premium.

“Ikrar pemerintah ialah rakyat Singapura yang menyertai atau layak menyertai Careshield Hayat ini tidak akan hilang perlindungan kerana tidak mampu membayar premium,” jelasnya lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan