Cara perkukuh kerjasama jadi tumpuan; SM Lee terima anugerah tertinggi Jepun
Singapura dan Jepun membincangkan cara untuk memperkukuh dan memperluas kerjasama dalam bidang seperti perdagangan, keselamatan serta sektor digital dan hijau.
Semasa di Tokyo, Menteri Kanan Lee Hsien Loong turut menerima salah satu anugerah paling berprestij di negara Jepun.
Anugerah itu diberikan atas sumbangan beliau dalam memupuk persefahaman, persahabatan dan semangat muhibah antara kedua-dua negara.
"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri Ishiba atas kata-kata penuh penghargaan beliau, dan terima kasih saya juga kepada rakyat Jepun atas penghormatan begitu besar ini.
"Saya berasa amat rendah hati menerimanya. Saya menerimanya bagi pihak generasi rakyat Singapura yang berusaha gigih bersama rakan sejawat mereka di Jepun untuk memperkukuh kerjasama dua hala kita sejak berdekad lamanya," kata Encik Lee.
Dalam pada itu, Encik Lee turut menarik perhatian, kerjasama rapat antara Jepun dengan Singapura didasari perspektif strategik yang sepadan serta kepentingan bersama.
"Dengan dunia memasuki fasa baharu yang penuh tanda tanya, adalah lebih penting bagi kita untuk memperkukuh kerjasama yang berkekalan ini dan berganding bahu untuk memupuk keamanan dan kemakmuran serantau, serta sistem berbilang hala berasaskan peraturan," kata beliau.
Majlis itu turut dihadiri mantan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi, serta mantan Menteri Luar Taro Kono yang juga merupakan pengerusi Liga Persahabatan Parlimen Jepun-Singapura.
Encik Lee turut mengadakan pertemuan dengan Encik Ishiba dan dijamu dalam satu majlis makan.
Mereka membincangkan hubungan dua hala yang kukuh dan menyeluruh antara kedua-dua negara - merangkumi aspek politik, ekonomi dan hubungan antara rakyat.
Kedua-dua pemimpin itu turut mengesahkan persahabatan yang sudah sekian lama terjalin antara Singapura dengan Jepun, menjelang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.