Skip to main content

Singapura

Cara pengganasan menjejas wanita belum cukup dikaji: Dr Faishal

Bagaimana pelampauan ganas dan pengganasan menjejas wanita sama ada sebagai mangsa atau pelaku masih belum cukup dikaji, kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam catatan Facebooknya pada Selasa (19 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Cara pengganasan menjejas wanita belum cukup dikaji: Dr Faishal

(Gambar: Facebook/Faishal Ibrahim)

Diterbitkan : 19 Jan 2021 12:40PM Dikemas Kini : 19 Jan 2021 12:47PM

SINGAPURA: Bagaimana pelampauan ganas dan pengganasan menjejas wanita sama ada sebagai mangsa atau pelaku masih belum cukup dikaji, kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam catatan Facebooknya pada Selasa (19 Jan).

Dr Faishal, yang juga merupakan Menteri Negara bagi Pembangunan Negara menulis demikian menyusuli satu sesi seminar Menangani Pelampauan Ganas bertajuk "Wanita dan Radikalisasi" bersama para kaunselor Kumpulan Jagaan Susulan Antara Agensi (ACG) pada Isnin (18 Jan), anjuran bersama Taman Bacaan dan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Seminar itu turut mengetengahkan pembentangan oleh RRG dan Zamil Pelawat RSIS, Dr Noor Huda bertajuk "Cabaran Kaunseling Agama untuk Wanita" dan "Wanita dan Radikalisasi", tayangan filem berjudul "Seeking the Imam" (Mencari Imam) dan satu sesi dialog tertutup bersama Dr Faishal Ibrahim, kaunselor RRG Ustazah Kalthom Isa dan Presiden Taman Bacaan Abdul Halim Kader.

Pada Isnin (18 Jan) seorang jurucakap Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) semasa menjawab pertanyaan BERITAmediacorp berkata bahawa sejak 2015 seramai 24 wanita di Singapura menjadi radikal - terdiri daripada tiga warga Singapura dan 21 pembantu rumah asing.

Menulis di Facebook pada Selasa, Dr Faishal menarik perhatian bahawa sejak ditubuhkan pada 2002, ACG banyak membantu keluarga warga Singapura yang ditahan kerana terlibat dengan rangkaian pengganas Jemaah Islamiyah (JI).

"ACG juga menangani tugas penting menjaga kesejahteraan mental dan sosio-ekonomi golongan yang ditahan dan ahli keluarga mereka," tambah Dr Faishal, yang turut memuji usaha berterusan ACG dan Taman Bacaan dalam mengeratkan keharmonian sosial.

"Usaha berterusan Taman Bacaan dan ACG dalam membangunkan keupayaan masyarakat dan mengukuhkan keharmonian sosial patut dipuji."

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita