Cara kesan barah dan rawatannya kian canggih di SG: Dari AI ke ujian lebih murah
SINGAPURA: Penyakit barah kekal penyebab utama kematian di Singapura. Jumlah kes-kes baru juga meningkat sepanjang dekad.
Seperti contoh, jumlah kes baru barah ialah 189 bagi setiap 100,000 penduduk dari 1968 hingga 1972. Jumlah itu meningkat kepada 237 bagi setiap 100,000 penduduk dari 2015 hingga 2019, menurut laporan 2019 Daftar Barah Singapura.
Kesedaran lebih tinggi, saringan awal dan pengesanan lebih baik mungkin menyumbang kepada kenaikan jumlah kes yang dilaporkan.
Sinar harapan daripada keadaan barah di Singapura adalah, selama beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah kelangsungan hidup meningkat, menurut laporan tersebut.
Antara 1968 dengan 1972, 93 kematian akibat barah bagi setiap 100,000 penduduk dilaporkan. Jumlah itu turun kepada 79 kematian bagi setiap 100,000 penduduk dari 2015 hingga 2019.
KAEDAH LEBIH MURAH KESAN BARAH
Tidak lama lagi, akan ada kaedah lebih murah, kurang invasif dan lebih sensitif untuk mengesan barah. Ia dipanggil penilaian Heatrich-BS dan berharga S$50 dari mula hingga akhir penilaian. Ini jika dibandingkan dengan kaedah-kaedah lain yang boleh mencapai kos sehingga S$1,000 untuk dijalankan.
Lebih-lebih lagi, ujian baru tersebut menggunakan sampel darah dan bukan sampel tisu yang diambil daripada prosedur biopsis. Kaedah tersebut lebih invasif kepada pesakit.
TEROKA POTENSI UBAT-UBAT YANG DILUPAKAN BAGI RAWAT LEUKEMIA AKUT
Satu ubat yang ditemui lebih sedekad lalu untuk melawan leukemia kini ditemui semula. Ia dapat melawan sejenis darah dipanggil T-sel akut leukemia limfoblastik atau T-ALL.
Penyakit itu menyerang kanak-kanak, bersifat agresif dan merebak dengan cepat.
Ia menjejas sel tunjang dalam sumsum tulang yang menghasilkan sel-sel berjangkit untuk melawan T-sel.
Kajian baru itu mendapati ubat yang dinamakan PIK-75 mampu menghalang bukan satu, tetapi dua laluan penting barah yang menyebabkan T-ALL, menurut para saintis dari Institut Sains Barah Singapura.
GUNA AI UNTUK KESAN BARAH DALAM SAMPEL KETUMBUHAN TUMOR
Terdapat pendekatan baru untuk mengenal pasti mutasi barah dari berjuta-juta fragmen DNA dalam sampel ketumbuhan, iaitu dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Kaedah itu, Variant Network atau VarNet, dikatakan tepat untuk mengenal pasti DNA mutasi barah berdasarkan data barah daripada kedua-dua pangkalan data Singapura dan antarabangsa.
Demikian menurut Institut Genome Singapura A*STAR.
Dengan pendekatan AI, ia berpotensi melakukan tugas yang sama terhadap tiga bilion nukleotide di dalam genom manusia, kata Dr Anders Skanderup yang mengetuai penyelidikan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.