Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cara hidup Orang Pulau SG & ciptaan 'kertas baru' jadi inspirasi mahasiswa tahun akhir Maktab Seni LASALLE

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Karya Zuhaira Syaza Amir Khaled yang bertajuk 'Siapa Aku' yang mengetengahkan cara kehidupan masyarakat Orang Pulau pada masa lalu untuk Pameran LASALLE tahun ini sangat dekat di hatinya.

Ini kerana mahasiswa tahun akhir kursus Sarjana Muda Seni (Kepujian) dalam Komunikasi Rekaan itu mendapat tahu beliau adalah keturunan orang pulau.

"Semasa memilih topik untuk projek akhir tahun ini saya mempunyai minat untuk kehidupan dan cara-cara kehidupan orang Pulau sebelum tahun 1970," kata Zuhaira kepada BERITAmediacorp.

DAPAT TAHU BELIAU KETURUNAN ORANG PULAU

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

'Siapa Aku' menggunakan proses penceritaan yang amat terperinci serta kajian yang dilakukan dalam beberapa tahap melibatkan pelbagai pihak, termasuk bekas penduduk pulau di negara ini.

Beliau mendengar sendiri pengalaman dua bekas penduduk Pulau Sudong yang dikenali sebagai 'Tok Ahmad' dan 'Tok Hamzah'.

"Saya mendapat tahu bahawa sebelum tahun 1970, Pulau Sudong, Semakau, Sekijang dan Seking, mereka mempunyai satu acara sukan bertajuk Pesta Sukan Lima S, jadi setiap tahun mereka akan bersaing dalam sukan laut antara satu sama lain," menurut Zuhaira.

Paling kiri: Arwah Nenek Zuhaira (Gambar: Zuhaira Syaza Amir Khaled)

Tanpa diduga, beliau terjumpa sekeping gambar lama arwah neneknya sewaktu tinggal di Pulau Bukom Kechil.

"Saya juga dapat tahu bahawa arwah nenek saya dahulu dari Pulau Bukom Kechil. Jadi itu yang paling menarik untuk saya, untuk mendapat tahu bahawa saya adalah keturunan Orang Pulau," ujar Zuhaira.

Arwah Nenek Moyang Zuhaira (Gambar: Zuhaira Syaza Amir Khaled)
Gambar-gambar gambar nenek moyangnya sewaktu tinggal di pulau serta cara hidup penduduk seperti membuat bubu atau perangkap ikan kini diabadikan.

'Siapa Aku' adalah koleksi dua buah buku dan dua filem mengenai cara kehidupan orang pulau yang dirakam sendiri.
 
Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri
"Kebanyakan pulau-pulau Selatan yang kami ketahui kini, banyak yang sudah berubah dan ramai bekas penduduk di pulau-pulau ini semua sudah pindah ke tanah darat sekarang. Kebanyakan budaya warisan mereka sudah tiada lagi, jadi ia amat penting untuk mengetengahkan isu ini tentang peralihan mereka.

"Saya harap lebih ramai orang akan mengetahui tentang masyarakat Orang Pulau dan membantu memelihara warisan mereka," kata Zuhaira kepada BERITAmediacorp.

TEROKA PEMBUATAN KERTAS "BARU" DARI KERTAS LAMA & TERPAKAI
 
Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri
Seorang lagi pelajar yang akan menampilkan karya seninya ialah Dian Wahyuni R. Azmann, 24 tahun.

Berjudul 'What Once Was', mahasiswa tahun akhir kursus Sarjana Muda Seni (Kepujian) dalam Seni Halus itu meneroka seni pembuatan kertas untuk mencipta kertas "baru" daripada kertas-kertas terpakai.

"Saya mengambil kertas-kertas lama atau yang tidak diperlukan lagi dan membuat kertas yang baru. Projek ini tentang memori-memori yang terlekat dalam kertas-kertas tersebut dan harta benda yang kita simpan," kongsi Dian kepada BERITAmediacorp.
Gambar: Dian Wahyuni R. Azmann

Pada masa yang sama, kertas itu juga merupakan "jalan kenangan" dengan pelbagai buku-buku lama seperti buku teks dan buku-buku resipi lama digunakan dalam penghasilannya.

"Cabaran yang saya hadapi adalah membuat kertas sebesar ini, iaitu sepanjang dua meter dan alat yang saya gunakan kecil, tetapi saya masih mencuba dan Alhamdulillah, ia terjadilah," menurut Dian.

Gambar: Dian Wahyuni R. Azmann
"Yang paling menarik ialah saya boleh nampak lukisan-lukisan atau tulisan-tulisan oleh sesiapa yang dahulu memiliki barang-barang ini," tambahnya.

PENTING UNTUK CUBA TIDAK MEMBAZIR APABILA MENGHASILKAN SENI
Gambar: Dian Wahyuni R. Azmann
Dian ingin menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar, lebih-lebih lagi menerusi seni yang dihasilkannya itu.

"Ia penting untuk kita tidak membazir apabila kita membuat apa-apa sahaja dan dalam seni ini, saya cuba untuk tidak membazir sebaik mungkin walaupun ia memang sukar untuk berbuat baik dengan persekitaran kita. Tetapi saya rasa ia penting untuk kita cuba," ujar Dian.

Pameran LASALLE 2023 menampil lebih 600 karya penuntut tahun akhir kurus Diploma, Sarjana Muda (BA) Seni (Pujian) dan program pos graduan Maktab Seni LASALLE.

Ia dibuka Jumaat (19 Mei) ini dan berlangsung sehingga akhir bulan ini di galeri-galeri Kampus McNally LASALLE.

Selain pameran fizikal, ia juga akan melancarkan sebuah pameran online pada Khamis (18 Mei) ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan