Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Campur tangan Peguam Negara demi 'kepentingan awam', tegas Shanmugam

Pindaan-pindaan pada undang-undang untuk mewujudkan rangka kerja berkanun untuk Peguam Negara campur tangan dalam prosiding-prosiding mahkamah bertujuan untuk memberikan kepastian dan berdasarkan peranannya yang ditetapkan sebagai "penjaga kepentingan awam", kata Menteri Undang-Undang K Shanmugam.

Anggaran Waktu Membaca:
Campur tangan Peguam Negara demi 'kepentingan awam', tegas Shanmugam

Pejabat Peguam Negara. (Gambar fail)

Diterbitkan : 14 Sep 2021 09:53PM Dikemas Kini : 14 Sep 2021 09:57PM

SINGAPURA: Pindaan-pindaan pada undang-undang untuk mewujudkan rangka kerja berkanun untuk Peguam Negara campur tangan dalam prosiding-prosiding mahkamah bertujuan untuk memberikan kepastian dan berdasarkan peranannya yang ditetapkan sebagai "penjaga kepentingan awam", kata Menteri Undang-Undang K Shanmugam.

Rangka tersebut akan membolehkan semua pihak untuk "dengan segera meneruskan isu-isu pokok kes", katanya di Parlimen pada Selasa (14 Sep).

Encik Shanmugam berkata demikian semasa menjawab pertanyaan beberapa Anggota Parlimen (AP) semasa membahaskan Rang Undang-Undang Mahkamah (Keadilan Sivil dan Jenayah).

Rang undang-undang tersebut diluluskan pada Selasa setelah dibahaskan pada Isnin dan Selasa.

Ia merupakan "langkah terbaru dalam usaha berterusan kita untuk mempertingkatkan" sistem kehakiman, kata Menteri Kedua Undang-Undang Edwin Tong pada Isnin semasa bacaan kedua rang undang-undang tersebut.

Rang tersebut juga akan menjadikan perbicaraan yang dikendalikan menggunakan pautan sidang video - yang kini dibenarkan di bawah Akta COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) - satu ciri tetap dan membolehkan para saksi untuk memberikan keterangan melalui sidang video sekalipun tidak berada di Singapura.

Antara yang menyuarakan keprihatinan adalah Ketua Pembangkang, AP Pritam Singh (WP-Aljunied), yang berkata bahawa pindaan tersebut akan membolehkan Peguam Negara campur tangan dalam prosiding sivil juga.

Encik Singh turut menarik perhatian bahawa sudah ada proses di bawah undang-undang am yang membolehkan Peguam Negara mengajukan permohonan untuk campur tangan dan untuk mahkamah menimbangkan kebaikan permohonan Peguam Negara.

Beliau juga bertanya mengapa prosedur sedia ada, yang diamalkan di negara-negara lain dengan undang-undang am seperti Australia dan Kanada, perlu dipinda dan sama ada Pemerintah sedang mempersiapkan kemungkinan berlaku senario di mana pindaan-pindaan sedemikian diperlukan.

Menjawab pertanyaan ketua Parti Pekerja (WP) itu, Encik Shanmugam menarik perhatian kepada satu insiden di mana Peguam Negara meminta untuk campur tangan dalam kes di mana sebuah syarikat swasta meminta dokumen Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) didedahkan kepadanya.

"Sama ada ia patut dibenarkan ataupun tidak adalah hak mahkamah. Sama ada prinsip seperti itu harus diguna pakai ke atas semua jabatan awam dalam konteks pertikaian sivil privet, walaupun terhadap IRAS, akan menjadi kepentingan awam,” kata Encik Shanmugam.

"Dan Peguam Negara seharusnya berhak untuk mengemukakan pendiriannya, sama ada ia adalah demi kepentingan awam untuk mengeluarkan perintah tertentu dan kemudian terpulang kepada mahkamah untuk memutuskannya."

Syarikat itu bagaimanapun menolak permohonan Peguam Negara untuk campur tangan dalam prosiding kes berkenaan dan pertikaian tersebut hanya dapat dihuraikan oleh Mahkamah Rayuan sekitar 20 bulan kemudian, katanya.

Pihak-pihak yang melakukan litigasi kerap cuba untuk "mentafsirkan undang-undang mengikut kepentingan mereka sendiri", kata Encik Shanmugam.

"Sekiranya mereka berjaya, kadangkala, orang awam yang akan menanggung padahnya jika ia bercanggah dengan kepentingan awam," katanya.

Campur tangan Peguam Negara dalam kes-kes seperti itu bertujuan untuk "melindungi orang biasa", tambahnya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan