Calvin Cheng tarik balik saman fitnah terhadap Jufrie Mahmood, teruskan tindakan undang-undang terhadap Kenneth Jeyaretnam dan Mohd Khair
Bekas Ahli Parlimen Dilantik (NMP) Calvin Cheng (kanan) bersama bekas pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP) Jufrie Mahmood. (Gambar: Facebook/Calvin Cheng)
SINGAPURA: Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng, akan menarik balik saman fitnah terhadap mantan pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP) Encik Jufrie Mahmood, selepas kedua-dua pihak mencapai penyelesaian luar mahkamah.
Namun, beliau kini meneruskan tindakan undang-undang terhadap Ketua Parti Reform Encik Kenneth Jeyaretnam dan Mohamed Khair Mohamed Noor atas kenyataan-kenyataan yang didakwa berunsur fitnah berkaitan isu konflik di Gaza.
Dalam respons emel kepada BERITA Mediacorp, Encik Cheng berkata: "Saya akan menarik balik (kes saman fitnah) terhadap Jufrie kerana beliau menarik balik (kenyataan-kenyataan yang dibuatnya)."
BERITA Mediacorp telah menghubungi Encik Jufrie.
Encik Cheng juga mengesahkan bahawa surat tuntutan telah dihantar kepada empat pihak lain untuk menuntut mereka menarik balik kenyataan yang dibuat serta memohon maaf.
"Surat tuntutan sudah dihantar kepada Encik Kenneth Jeyaretnam, Encik Mohamed Khair, Encik Martyn See dan The Online Citizen.
Pada masa ini, Encik Cheng telah memulakan prosiding mahkamah terhadap Encik Kenneth Jeyaretnam dan Encik Mohamed Khair atas kenyataan-kenyataan berunsur fitnah yang dibuat oleh mereka," tulis Encik Cheng.
Semakan di laman Mahkamah Singapura menunjukkan bahawa Encik Cheng menghadiri dua sesi persidangan kes di Mahkamah Agung bersama Encik Jeyaretnam dan Encik Khair pada Selasa (12 Ogos).
Persidangan kes merupakan proses praperbicaraan yang dikendalikan hakim, bertujuan membantu pihak-pihak mencari penyelesaian sebelum kes dibicarakan.
Ketika dihubungi menerusi WhatsApp, Encik Mohamed Khair berkata: "Kes saya sedang berlangsung. Saya tidak mahu mengulas buat masa ini."
Encik Jeyaretnam pula tidak memberikan sebarang respons kepada pertanyaan BERITA Mediacorp.
Aktivis Martyn See sahkan tidak ubah kenyataan, tunggu tindakan lanjut daripada peguam Calvin Cheng
Dalam kes melibatkan aktivis Encik Martyn See pula, beliau memaklumkan kepada BERITA Mediacorp bahawa beliau telah memberikan jawapan bertulis kepada surat tuntutan yang dihantar peguam Encik Cheng, April lalu.
Dalam jawapannya kepada peguam Encik Cheng, Encik See menulis: "Satu laporan polis telah dibuat terhadap anak guam anda, dan perkara ini kini di bawah bidang kuasa Pasukan Polis Singapura. Adalah tidak wajar untuk saya mengubah, menarik balik, atau mengulas lanjut mengenai perkara ini pada peringkat ini, bagi mengelakkan sebarang prejudis terhadap siasatan atau prosiding yang sedang berjalan."
Encik See turut menyatakan bahawa sejak membalas surat tersebut, beliau belum menerima sebarang tindakan lanjut daripada peguam Encik Cheng.
Sementara itu, BERITA Mediacorp telah menghubungi The Online Citizen.
Calvin Cheng: “Kita boleh bersetuju untuk tidak bersependapat demi kebaikan Singapura”
Sebelum ini, Encik Cheng telah memfailkan saman fitnah terhadap Encik Jufrie dan empat lagi pihak berhubung dakwaan bahawa mereka telah memfitnahnya.
Saman itu berkait dengan satu hantaran kontroversi yang ditulis oleh Encik Cheng pada 13 Mac lalu, mengkritik kumpulan Monday of Palestine Solidarity, di mana ahli-ahlinya didakwa mengganggu sesi bertemu penduduk.
Dalam hantaran itu, beliau menulis bahawa beliau "ingin menaja mereka berpindah ke Gaza, semua perbelanjaan ditanggung oleh saya", dan menawarkan kelas perniagaan kepada para pemimpinnya.
Dalam catatan Facebooknya pada Selasa (12 Ogos), Encik Cheng mendakwa bahawa Encik Jufrie telah membuat beberapa kenyataan yang "mendakwa bahawa dirinya bersifat perkauman dan Islamofobia", serta "seakan menjurus kepada dakwaan bahawa dirinya telah melakukan kesalahan jenayah".
"Saya memfailkan saman fitnah terhadapnya. Encik Jufrie kini sudah menarik balik kesemua kenyataan tersebut," tulis beliau.
Encik Cheng menambah: "Gaza adalah isu yang bersifat memecah-belahkan dan emosional. Namun sebagai rakyat Singapura, kita boleh bersetuju untuk tidak bersependapat. Saya bertemu dengan Encik Jufrie di pejabat peguam. Kami bersetuju kami mahukan yang terbaik untuk Singapura."
Dalam catatan Facebooknya pada hari yang sama, Encik Jufrie turut menyatakan bahawa kedua-dua pihak berbeza pendapat tentang isu Gaza, namun bersetuju bahawa perselisihan itu tidak wajar dibawa ke mahkamah.
"Isu Gaza adalah isu politik yang memecah-belahkan dan emosional. Saya mempunyai pandangan yang tegas tentangnya, begitu juga Encik Calvin Cheng. Kami berdua berselisih pendapat, namun mereka yang rasional boleh bersetuju untuk tidak sependapat," tulisnya.
Encik Jufrie mengakui beliau mendapatkan khidmat peguam untuk membela diri selepas Encik Cheng memfailkan saman. Namun, katanya, pertemuan mereka membawa kepada satu penyelesaian bersama.
"Kami bersetuju untuk bertemu dan berbicara secara terbuka dan berhemah. Perbincangan kami berjalan dengan baik dan senang.
"Selepas pertemuan kami, saya akur bahawa Encik Cheng bukan seorang yang bersifat perkauman mahupun Islamofobia. Walaupun saya berpendapat Encik Cheng bersikap tidak sensitif, yang mana beliau sendiri mengakuinya, saya kini menyedari saya juga terlalu lantang dalam sebahagian komen saya."
"mempunyai rekod sentimen ekstremis anti-Islam dan anti-Muslim",
"menghasut perpecahan dan kebencian terhadap umat Islam", dan
"memberi gambaran bahawa para pelajar madrasah berpotensi menjadi pengganas dan membunuh mereka adalah sesuatu yang wajar".
Encik Cheng sebelum ini menamakan Encik Jufrie, Encik Kenneth Jeyaretnam, Encik Martyn See, Encik Mohamed Khair dan The Online Citizen sebagai lima pihak yang mengeluarkan atau menyiarkan semula kenyataan-kenyataan yang menurutnya mengandungi unsur fitnah yang sangat berat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.