Skip to main content

Singapura

Calon WP perlu terus rendah diri susuli kemenangan GRC Sengkang, kata Pritam Singh

Calon-calon Parti Pekerja (WP) perlu terus bersikap rendah diri menyusuli kejayaan parti itu memenangi satu lagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC), kata ketua parti itu, Encik Pritam Singh yang kini menjadi pemimpin pembangkang Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Calon WP perlu terus rendah diri susuli kemenangan GRC Sengkang, kata Pritam Singh

Setiausaha Agung Parti Pekerja Pritam Singh bercakap kepada media pada dinihari 11 Jul 2020.

Diterbitkan : 11 Jul 2020 02:46PM Dikemas Kini : 11 Jul 2020 02:49PM

SINGAPURA: Calon-calon Parti Pekerja (WP) perlu terus bersikap rendah diri menyusuli kejayaan parti itu memenangi satu lagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC), kata ketua parti itu, Encik Pritam Singh yang kini menjadi pemimpin pembangkang Singapura.

"Hakikatnya, saya amat berterima kasih kepada semua pengundi di Hougang, Aljunied dan Sengkang kerana memberi kepercayaan kepada Parti Pekerja melalui undi mereka. Malah, saya juga amat terharu dengan sokongan mereka," kata beliau semasa ditemui para wartawan pada awal pagi Sabtu (11 Julai).

"Sebenarnya saya tidak berasa terlalu gembira. Malah, saya berpendapat bahawa ada banyak tugas yang perlu dilakukan dengan segera dan saya rasa kita perlu bekerja keras."

WP kini memegang 10 kerusi Parlimen dengan lima kerusi bagi GRC Aljunied, empat untuk GRC Sengkang dan satu bagi SMC Hougang, yang sudah disandang oleh Anggota Parlimen parti itu sejak 1991.

Encik Singh berkata bahawa beliau akan mengingatkan calon-calon WP yang meraih keputusan yang baik dalam Pilihan Raya Umum ini supaya bersikap rendah diri.

"Saya berharap mereka akan bersikap rendah diri dan menyedari mengapa mereka lakukan apa yang dilakukan," kata Encik Singh.

"Dan jika kita dapat bergerak maju dengan cara sebegitu, dengan kemahuan untuk bersuara demi rakyat Singapura dengan cara yang rasional, bertanggungjawab seperti seseorang calon yang berwibawa, baru saya rasa kita boleh mencapai sedikit kemajuan," tambah beliau.

Apabila ditanya sama ada mesej pilihan raya WP selari dengan naluri para pengundi, Encik Singh berkata parti itu perlu "menilai kempen mereka dengan cara yang lebih mendalam."

WP mengukuhkan pengaruhnya di Aljunied dengan peningkatan hampir 9 peratus undi, mengalahkan pasukan PAP dengan 59.93 peratus undi, sementara PAP meraih 40.07 peratus undi.

Di Hougang, calon WP Dennis Tan, yang bertanding buat kali kedua berjaya mengekalkan kerusi parti itu dengan meraih 61.19 peratus undi, sekali gus menumpaskan calon PAP Lee Hong Chuang.

Related article image


"Semangat Hougang begitu terserlah dengan jelas hari ini. Keputusan hari ini menunjukkan mengapa Hougang dikenali sebagai tunjang demokrasi di Singapura. Terima kasih kerana terus meyakini Parti Pekerja selama lebih 29 tahun," kata Encik Tan semasa berucap dalam satu siaran video di Facebook.

KEMENANGAN GRC SENGKANG

Kemenangan WP di GRC Sengkang adalah sesuatu yang mengejutkan, dengan pasukan WP, yang kebanyakannya adalah muka baru, mengalahkan pasukan PAP yang diwakili oleh tiga penyandang jawatan politik.

WP memenangi GRC Sengkang setelah memperolehi 52.13 peratus undi berbanding pesaingnya PAP yang mendapat 47.87 peratus undi.

Pasukan WP - Cik He Ting Ru, Dr Jamus Lim, Cik Raeesah Khan dan Encik Louis Chua - menumpaskan pasukan PAP yang diterajui oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri Ng Chee Meng, Menteri Negara Kanan Pengangkutan merangkap Kesihatan Dr Lam Pin Min dan Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin dan muka baru Raymond Lye.

Semasa berucap dalam siaran video di Facebook menyusuli kemenangan di Sengkang, Cik He mengucapkan terima kasih kepada pasukan PAP kerana "bersaing dengan sengit dan telus".

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura yang menyokong pasukan WP sepanjang tempoh berkempen serta mereka yang mengundi parti itu.

"Terima kasih banyak-banyak atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada pasukan kami di sini hari ini. Kami akan bekerja keras untuk memastikan keyakinan ini tidak diabaikan," kata beliau.

Sambil menambah bahawa beliau tersentuh dengan jumlah anak muda yang tampil untuk berkempen dan melakukan kerja sukarela dengan pasukan WP, Cik He berkata: "Saya sebenarnya berasa bahawa ini sangat penting bagi masa depan negara dan amat membantu kami.

"Akhir sekali, kepada para penduduk Sengkang, kami akan berkhidmat untuk anda. Esok, kita mulakan kerja. Terima kasih."

Dr Lim, yang merupakan anggota terakhir untuk berucap, berkata: "Kami amat terharu dapat berkhidmat kepada para penduduk Sengkang dan bagi semua rakyat Singapura.

"Kami berharap agar kami dapat memberi inspirasi kepada anda semua bahawa impian untuk mempunyai masa depan alternatif hanya terhambat oleh keberanian anda untuk menyahut peluang yang terbentang, hanya sesukar semangat yang dipendam untuk memperjuangkan apa yang anda percaya adalah benar, dan hanya memerlukan kesungguhan anda untuk berusaha dan merealisasikannya.

KEPUTUSAN HEBAT DI GRC EAST COAST, MARINE PARADE

WP juga meraih keputusan yang hebat di GRC East Coast semasa menentang pasukan PAP yang diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.

Pasukan yang merangkumi Terence Tan, Nicole Seah, Ron Tan, Kenneth Foo dan muka baru Abdul Shariff Aboo Kassim adalah antara pasukan yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ini dengan jumlah undi tertinggi, iaitu sebanyak 46.59 peratus undi.

"Kami bertanding walaupun tahu akan berdepan dengan persaingan yang sengit. Dan kami memberikan yang terbaik dan memberikan segala-galanya untuk anda semua," kata Cik Seah.

"Jumlah undi dan kata-kata perangsang yang kami terima menunjukkan bahawa sebahagian besar pengundi GRC East Coast mahu melihat lebih keadilan dalam sistem parlimen."

Di Marine Parade, WP meraih 42.24 peratus undi, lebih tinggi daripada jumlah undi yang diterima pada Pilihan Raya Umum 2015.

Pasukan WP itu merangkumi mantan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi Yee Jenn Jong, Encik Natheniel Koh, Encik Fadli Fawzi, Encik Ron Tan dan Encik Azhar Abdul Latip. Ini adalah kali ketiga WP menghantar sebuah pasukan untuk bertanding di Marine Parade.

Ini adalah Pilihan Raya Umum pertama kawasan undi itu tanpa mantan Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong. Dr Tan See Leng, Encik Edwin Tong, CEO Fairprice Group Seah Kian Peng dan muka baru Encik Mohd Fahmi Aliman membentuk pasukan PAP yang diterajui oleh mantan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin.

"Saya mahu Singapura percaya bahawa Singapura mempunyai lebih daripada hanya satu Pasukan A, dan hari ini anda melihat hasilnya. Jadi saya mahu Singapura terus mempercayai bahawa, ya, kita boleh menjadi lebih teguh meskipun dengan pandangan yang pelbagai," kata Encik Yee.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/AY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita