Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Calon WP Abdul Shariff: Skim insurans pemberhentian kerja WP satu jaringan keselamatan sosial

Skim itu juga bertujuan melengkapkan program semasa untuk membantu para pekerja tempatan melalui masa-masa sukar seperti sekarang ini yang mana rakyat berdepan dengan cabaran dibawa COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Calon WP Abdul Shariff: Skim insurans pemberhentian kerja WP satu jaringan keselamatan sosial

Abdul Shariff Aboo Kassim bakal calon WP bagi GE2020. (Gambar: WP)

SINGAPURA: Skim insurans pemberhentian kerja yang ditawarkan dalam manifesto Parti Pekerja (WP) adalah satu jaringan keselamatan sosial.

Skim itu juga bertujuan melengkapkan program semasa untuk membantu para pekerja tempatan melalui masa-masa sukar seperti sekarang ini yang mana rakyat berdepan dengan cabaran dibawa COVID-19.

Calon WP bagi GRC East Coast Encik Abdul Shariff Aboo Kassim berkata demikian semasa sesi rapat pilihan raya parti itu secara online hari ini (2 Jul).

Semasa menyampaikan ucapannya, Encik Abdul Shariff menarik perhatian bagaimana ketidaktentuan landskap ekonomi pada masa kini membuat pasaran buruh menyaksikan persaingan yang sengit.

Para graduan dan juga golongan pekerja yang diberhentikan kerja pada ketika ini akan mendapati bahawa tempoh ini amat sukar untuk mereka mendapatkan pekerjaan.

Lantaran itu seawal Februari lagi, menurut Encik Abdul Shariff, WP sudah melakarkan skim insurans pemberhentian kerja agar dapat membantu golongan yang terjejas. Mentelah lagi, COVID-19 akan memburukkan lagi masalah kehilangan pekerjaan dan juga menyebabkan lebih banyak pengangguran.

SKIM INSURANS PEMBERHENTIAN KERJA DITOLAK MENTERI TENAGA MANUSIA

Encik Abdul Shariff menambah bahawa skim itu sudah dibentangkan Pengerusi WP Cik Sylvia Lim tetapi ditolak Menteri Tenaga Manusia Jospehine Teo kerana dikatakan "mempunyai banyak kelemahan".

"WP dengan hormatnya tidak setuju dengan Menteri Tenaga Manusia. Insurans diberhentikan kerja sudah dilaksanakan di banyak ekonomi termasuk Jepun malah di negara China juga. Skim Insurans Pemberhentian Kerja yang diusulkan WP hanya akan diperuntukkan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan melalui pemberhentian kerja.

"Mereka perlu menunjukkan bukti usaha mencari pekerjaan lain atau mengikuti kursus kemahiran diri dengan tujuan meningkatkan peluang pengambilan kerja," jelas Encik Abdul Shariff.

Dalam manifesto WP, parti itu menjelaskan bagaimana skim tersebut akan dilaksanakan. Para pekerja membayar sekitar $4 sebulan ke dalam dana keselamatan pekerjaan.

Majikan pula akan memadankan setiap sumbangan dibuat pekerja dan apabila pekerja itu diberhentikan, 40 peratus daripada gaji terakhir mereka akan dibayar selama enam bulan seterusnya. Jumlah itu dihadkan kepada $1,200 sebulan dengan bayaran minimum sebanyak $500 sebulan.

"Skim Insurans Pemberhentian kerja adalah jaringan keselamatan sosial yang bertujuan untuk melengkapkan program semasa untuk membantu rakan sekerja kita melalui masa-masa sukar. Dengan adanya insurans diberhentikan kerja ini, pekerja akan dapat menyara diri dan keluarga sementara mencari pekerjaan lain," jelas Encik Abdul Shariff.

SKIM SAMA DENGAN GERAN SOKONGAN COVID-19, PAKEJ SIRS

Dalam ucapannya itu juga, Encik Abdul Shariff mendakwa bahawa Geran Sokongan COVID-19 dan Skim Bantuan Pendapatan Individu Bekerja Sendiri (SIRS) yang diperkenalkan PAP dalam Belanjawan baru-baru ini bercirikan skim insurans WP.

Dengan itu, beliau amat percaya bahawa skim-skim sedemikian perlu dikekalkan walaupun krisis COVID-19 berakhir nanti. Ini kerana beliau merasakan skim sebegitu akan membawa manfaat kepada para pekerja dari sudut kewangan dan kesihatan mental.

"Mereka yang berpendapatan rendah, yang mempunyai simpanan terhad juga akan turut meraih manfaat daripada skim ini. Skim ini akan meningkatkan kestabilan kewangan dan kesejahteraan diri mereka. Ini seterusnya membawa kepada kesihatan mental yang lebih baik dan mengurangkan kebimbangan mengikuti kursus untuk meningkatkan kemahiran diri dan peluang pengambilan kerja.

"Wajar untuk skim ini dikekalkan setelah krisis ini berakhir. Kita harus perkasakan lagi jaring keselamatan sosial demi untuk berdikari. Manfaatkan undi anda," kata Encik Abdul Shariff. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan