Calon PSP Abdul Rahman mahu rapatkan jurang pendapatan, kukuhkan intervensi awal pendidikan
Calon Parti Kemajuan Singapura (PSP) dan jurutera perunding di Parsons International Abdul Rahman Mohamad mahu merapatkan jurang pendapatan di Singapura dan mengukuhkan intervensi dalam pendidikan.
Bakal calon PSP Abdul Rahman Mohamad. (Gambar; PSP)
SINGAPURA: Calon Parti Kemajuan Singapura (PSP) dan jurutera perunding di Parsons International Abdul Rahman Mohamad mahu merapatkan jurang pendapatan di Singapura dan mengukuhkan intervensi dalam pendidikan.
Malah, beliau juga menyarankan kumpulan-kumpulan bantu diri digabungkan bagi mewujudkan sokongan masyarakat lebih menyeluruh.
Encik Abdul Rahman, 67 tahun, yang juga seorang Felo di Institut Jurutera Bomba UK, berkongsi visinya itu semasa sidang online PSP hari ini (26 Jun).
Beliau adalah antara enam calon terakhir parti itu yang diperkenalkan bakal bertanding pada pilihan hari kali ini, juga adalah antara pengasas dan anggota jawatankuasa eksekutif PSP.
Ketua parti itu Encik Tan Cheng Bock berkata Encik Abdul Rahman adalah antara segelintir orang yang tampil untuk memberikan sokongan moral ketika PSP baru sahaja bermula.
"Beliau adalah antara mereka yang tampil ke depan, 12 orang kesemuanya, yang datang dan memberi saya sokongan moral," kata Dr Tan.
"Sokongannya itu sangat penting ketika semua orang sangat takut untuk meletakkan nama mereka bagi parti ini didaftarkan sebagai sebuah parti politik," ujar Dr Tan.
Encik Abdul rahman akan bertanding di GRC Chua Chu Kang bersama Dr Tan Meng Wah, Encik Francis Yuen, dan Encik Choo Shaun Ming.
Encik Abdul Rahman yang pernah terlibat dalam Pilihan Raya Umum 2006 membuka cerita: "Semasa saya bersama Chiam See Tong, bertanding di GRC Tampines, melakukan sesi bertemu penduduk dan berkempen dari rumah ke rumah, saya melihat ramai orang yang terbiar, hidup susah, yang tidak dapat sama-sama menikmati pembangunan Singapura dan bukan dalam 'arus utama'.
"Kini saya kembali pada 2020, saya melihat situasi yang sama. Semasa berada di West Coast dan Chua Chu Kang, saya mendapati golongan serupa masih belum menjalani perubahan, dan mereka seperti diabaikan. Jadi perkara penting adalah untuk meraptkan jurang pendapatan bagi memberi golongan ini peluang meningkatkan kehidupan mereka."
CAMPUR TANGAN AWAL DALAM PENDIDIKAN
Encik Abdul Rahman yang sebelum ini mengendalikan projek seperti IBM Towers dan Marco Polo Hotel, juga pernah menjadi Pengurus Divisyen WH Brennan dan Pengurus Serantau Fabristeel Pte Ltd.
Malah dengan pengalaman kerja yang luas di luar negara, beliau juga meneliti wujudnya banyak campur tangan awal dalam pendidikan dan mahu menterjemahkannya ke dalam konteks Singapura.
"Seperti apa yang saya saksikan di Eropah, kanak-kanak tadika dinilai dan jurulatih mereka sangat berkelayakan. Kebanyakan mereka adalah para graduan. Jadi mereka membangunkan anak itu dan dia menunjukkan prestasi baik disebabkan panduan, pemantauan dan latihan yang diberikan," jelas beliau.
Bahkan beliau turut menitikberatkan program perantisan atau apprenticeship bagi menyalurkan pelajar ke dalam latihan yang menggalak perkembangan mereka dalam kerjaya.
"Para penuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) harus ditingkatkan bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran untuk diambil bekerja.
"Sekarang saya dapat melihat ramai yang menjadi pemandu Grab dan penghantar makanan. Ini tidak sepatutnya berlaku, kemahiran mereka harus dimanfaatkan," jelas beliau.
GABUNGKAN KUMPULAN BANTU DIRI
Malah, Encik Abdul Rahman menyarankan model pendanaan oleh agensi-agensi seperti MENDAKI berhasrat disemak secara telus dan terbuka.
Menurutnya kumpulan-kumpulan bantu diri seperti MENDAKI, SINDA dan CDAC, jika digabungkan dapat mewujudkan sokongan masyarakat lebih menyeluruh.
"Jika anda gabungkan sumber-sumber ini, ia sesuatu yang bagus. Jika tidak, kumpulan lebih kecil seperti MENDAKI kekurangan sumber.
"Untuk mengukuhkan campur tangan awal; bagi para pelajar di usia muda, saya tidak rasa ia boleh dilakukan dengan sumber kecil.
"Oleh itu, jika anda gabungkan semua kumpulan, kita akan mempunyai lebih banyak sumber, menunjukkan prestasi lebih baik, orang ramai boleh berkongsi manfaat dan mereka yang ketinggalan juga boleh dibantu untuk diselaraskan dengan aliran biasa," kata beliau.
MILIKI MISI SERUPA DENGAN DR TAN CHENG BOCK
Encik Abdul Rahman juga berkongsi motivasi utama beliau menyertai PSP adalah Dr Tan Cheng Bock sendiri.
"Saya mencari parti yang boleh memenuhi aspirasi Singapura dengan ketelusan, kebertanggungjawaban dan sifat berdikari, serta menjaga rakyatnya bagi memastikan semua orang dapat menikmati pembangunan dan ekonomi Singapura dengan lebih memuaskan dan secara menyeluruh.
"Saya berjumpa Dr Tan dan pada waktu itu, saya rasa kami seiring. Kami mempunyai aspirasi dan minat yang sama.
"Beliau kembali ke politik kerana mahu memastikan keadaan kembali 'betul' dan saya juga kembali bagi memastikan kita dapat menjadikannya 'betul'. Jadi kami sama sahaja," ujarnya.
Bahkan, Encik Abdul Rahman juga mempunyai pesanan kepada rakyat Singapura.
"Saya harap kami diberi sokongan, supaya kami dapat melaksanakan apa yang kami janjikan."
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.