Calon PAP GRC Pasir Ris-Punggol tumpu perhatian kepada isu pekerjaan, masa depan penduduk
Isu keselamatan pekerjaan dan masa depan menjadi perhatian utama sesi perbincangan para calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Pasir Ris-Punggol.
SINGAPURA: Isu keselamatan pekerjaan dan masa depan menjadi perhatian utama sesi perbincangan para calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Pasir Ris-Punggol.
Mentelah lagi, kesan pandemik COVID-19 terhadap landskap ekonomi mula dirasai para penduduk.
Para calon PAP GRC Pasir Ris-Punggol terdiri daripada Menteri Kanan Teo Chee Hean, Dr Janil Puthucheary, Yeo Wan Ling, Desmond Tan dan Sharael Taha.
Mereka mengadakan sesi dialog hari ini (3 Jul) secara online di akaun Facebook PAP.
PROFIL PENDUDUK DARI INDUSTRI TERJEJAS
Encik Shahrael berkongsi bahawa semasa sesi bertemu penduduk, beliau banyak diajukan soalan berkaitan pekerjaan.
"Ramai daripada penduduk kami di Pasir Ris-Punggol bekerja dalam industri aeroangkasa, penerbangan, pameran serta pelancongan. Jadi mereka selalu bertanyakan kepada saya tentang pekerjaan dan kesan COVID-19 serta ramalan saya bagi industri berkenaan.
"Bagi saya jika anda kupas soalan-soalan ini semua, ia adalah mengenai keprihatinan mereka terhadap keselamatan pekerjaan mereka."
Memandang ke hadapan, para calon PAP turut berkongsi tentang skim-skim berskala nasional seperti latihan, meningkatkan kemahiran dan peluang kerjaya yang harus dimanfaatkan para penduduk untuk memperbaiki keadaan mereka.
Dari sudut masyarakat pula, terdapat beberapa inisiatif seperti Projek Success yang dirintiskan sejak 2004 dan sudah berjaya memadankan ribuan penduduk di kawasan itu.
Dalam pada itu, pasukan PAP bagi GRC Pasir Ris-Punggol juga berkongsi bahawa sebuah pusat kerjaya akan ditubuhkan bagi membantu golongan pemohon kerja.
USAHA DAKAPI PENDIGITALAN, ANJAKAN MINDA DALAM GOLONGAN MUDA
Salah satu perkara yang dibentangkan dalam sesi itu juga adalah tentang kehidupan masa depan dalam dunia digital.
Dengan penduduk yang semakin menua, para calon PAP itu menekankan peri pentingnya untuk mengajak golongan tua supaya mendakapi pendigitalan.
Bagi golongan muda pula, para calon akur akan cabaran untuk mendapatkan pekerjaan semasa ekonomi sedang tidak menentu sekarang.
Namun begitu, tambah Encik Sharael, terdapat peluang seperti di bawah Program Latihan SGUnited yang perlu penyertaan kedua-dua pihak iaitu para graduan dan juga majikan.
"Perkara ini memerlukan dua pihak untuk turut serta. Satu adalah bagi golongan muda memohon masuk program ini dan kedua bagi majikan untuk turut serta melibatkan diri dalam program ini.
"Jadi saya rasa melangkah ke hadapan, di sinilah kita bersama dan membantu antara sama lain sambil kita memasuki dunia selepas COVID-19," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.