Calon-calon presiden manfaatkan media sosial, tambat hati para pengundi
Tiga calon Presiden SG berkongsi bagaimana mereka biayai kempen masing-masing. (Gambar-gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Kepentingan media sosial dalam kempen Pilihan Raya Presiden tidak boleh diketepikan.
Ia membolehkan para calon untuk berkomunikasi dan mendampingi para bakal pengundi yang akan membuat pilihan mereka pada Jumaat (1 Sep).
Profesor Madya Jabatan Perhubungan dan Media Baharu di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Elmie Nekmat berkata media sosial mempunyai potensi untuk menggemburkan lagi kempen calon-calon Presiden.
Menurut pengamatan beliau, Encik Ng Kok Song, Encik Tharman Shanmugaratnam dan Encik Tan Kin Lian telah memanfaatkan penggunaan wadah-wadah online sepanjang kempen mereka.
Ini termasuk Facebook, Instagram, kolaborasi bersama pempengaruh dan menyertai rancangan-rancangan podcast sebagai cara untuk mendampingi para bakal pengundi muda.
BUKA AKAUN MEDIA SOSIAL
Ketiga-tiga calon presiden memanfaatkan media sosial sebaik sahaja menyuarakan hasrat untuk bertanding untuk menyebarkan dan agenda kempen mereka serta mendekati para bakal pengundi.
Kurang setahun yang lalu, Encik Tharman merupakan satu-satunya anggota parlimen yang tidak menggunakan wadah media sosial Instagram.
Namun, sebaik sahaja beliau mengundurkan diri daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk bertanding, beliau mula aktif memuatnaikkan kandungan di platform tersebut.
Akaun Instagram beliau kini mempunyai lebih 46,000 pengikut manakala lebih 16,000 pengguna mengikutinya
di TikTok.

Encik Ng Kok Song juga merupakan pengguna baru Instagram.
Dalam tempoh enam minggu beliau menggunakan wadah tersebut, beliau kini sudah meraih lebih 127,000 pengikut.

Calon Presiden terakhir, Encik Tan Kin Lian, giat menggunakan wadah media sosial Facebook di mana beliau ada sekitar 69,000 pengikut.

Namun, beliau juga mula memuatnaikkan kandungan di Instagram, malah juga mengaktifkan semula akaun TikTok beliau, yang sudah tidak aktif sejak setahun lalu.
Dr Elmie Nekmat berpendapat bahawa penggunaan media sosial untuk berkempen bagi Pilihan Raya Presiden adalah satu strategi yang bernas.
Beliau berkata: "Kepentingan media sosial dalam kempen Pilihan Raya Presiden tidak boleh diketepikan. Ia membolehkan para calon untuk berkomunikasi dengan lebih langsung kepada para pengundi. Ia membolehkan para calon untuk menyampaikan mesej dengan lebih cepat."
MANFAAT IKLAN BERBAYAR DI MEDIA SOSIAL
Dengan menggunakan Meta Ad Library - wadah yang disediakan oleh syarikat media sosial untuk menjejaki perbelanjaan iklan di seluruh Facebook dan Instagram, BERITA Mediacorp dapat memperolehi jumlah yang dibelanjakan.
Setakat Rabu (30 Ogos) ketika artikel ini diterbitkan, Encik Ng telah membelanjakan S$53,380 untuk 363 iklan di Facebook dan Instagram.
Pemeriksaan di Meta Ad Library oleh BERITA Mediacorp tidak menunjukkan sebarang iklan berbayar dalam dua platform itu oleh Encik Tharman.
The Straits Times melaporkan Encik Tan pernah membeli satu iklan pada Julai.
KANDUNGAN MENARIK YANG BOLEH DIMUAT NAIKKAN, TONJOLKAN DIRI YANG TIDAK DIKETAHUI RAMAI
Menurut Dr Elmie, selain menyebarkan mesej serta agenda kempen, para calon banyak memuatnaikkan kandungan tentang kehidupan peribadi mereka.
"Mereka dapat menyampaikan perwatakan, keperibadian, keluarga, binatang peliharaan dengan lebih tulen. Sekiranya mereka berbuat demikian, mereka akan mendekati para pengundi yang akan merasakan calon-calon sebagai merendah diri. Ini satu kebolehan yang calon-calon memanfaatkannya dengan baik
"Calon-calon yang boleh mengeluarkan kandungan viral, mendampingi pengundi di media sosial dengan begitu ketara sehingga viral, saya rasa ia boleh melipat gandakan kempen mereka," jelas beliau.
Sebagai contoh, video Encik Ng sedang bersarapan sambil ditemani kucingnya, Max, merupakan antara video yang paling banyak ditonton para pengguna TikTok dengan lebih setengah juta tontonan setakat ini.

Antara yang paling ditonton di akaun Encik Tharman pula adalah video beliau bersama isterinya, Cik Jane Ittogi menjawab soalan-soalan para pengguna secara spontan, termasuk soalan peribadi.
Ia ditonton hampir 650,000 kali.

Pada hari terakhir berkempen, Dr Elmie merasakan bahawa para calon masih mempunyai masa untuk meninggalkan kesan kuat kepada para pengundi.
"Calon-calon yang boleh mengeluarkan kandungan tular, mendampingi pengundi di media sosial dengan begitu ketara sehingga tular, saya rasa ia boleh melipat gandakan kempen mereka," jelas Dr Elmie.
MANFAATKAN PERNGIKUT PEMPENGARUH DAN PODCAST
Selain daripada wadah media sosial seperti Instagram, TikTok dan Facebook, Dr Elmie berpendapat bahawa penggunaan wadah lain seperti 'podcast' dan pempengaruh membawa nafas baru kepada kempen Pilihan Raya Presiden tahun ini.
"Kita juga dapat lihat calon-calon banyak mendampingi para penerbit kandungan di media sosial. Para penerbit kandungan ini, mereka ada rangkaian pengikut mereka sendiri, Kalau calon-calon dapat mendampingi dan dapat berkolaborasi dengan mereka, ia membolehkan mereka untuk menyebarkan mesej dengan lebih luas lagi" ujar Dr Elmie.
Akaun-akaun Podcast seperti ZYRUP Media, The Daily Ketchup Podcast dan Yah Lah BUT Podcast sudah menampilkan ketiga-tiga calon dalam sesi podcast mereka yang antara lain membincangkan tentang keperibadian dan kehidupan seharian setiap calon.
Encik Ng sempat mengadakan sesi makan tengah hari bersama beberapa pempengaruh media seperti Luke Chan dan DJ Jade Rasif, manakala Encik Tharman pula belajar menari dengan maskot yang tular di merata negara, "Douyin Frog".
MEDIA SOSIAL UNTUK TAMBAT HATI PENGUNDI MUDA
Dr Elmie merasakan bahawa strategi untuk memanfaatkan media sosial untuk berkempen merupakan peluang untuk mendampingi para pengundi muda atau para pengundi kali pertama.
Beliau berpendapat golongan itu yang akan menjadi penentu bagi Pilihan Raya Presiden tahun ini.
"Kalau mereka gunakan wadah TikTok atau Instagram, mereka akan mendampingi para pengundi muda. Kalau kita lihat, pengguna media sosial yang muda, mereka lebih celik teknologi dan lebih berpengetahuan dengan penggunaan media sosial. Jadi kalau kandungan calon-calon disasarkan kepada pengguna golongan pengguna ini, membolehkan pengguna tertarik dan akan melipat gandakan mesej yang ingin disampaikan," tambah Dr Elmie.
Kandungan-kandungan tersebut juga mudah dikongsi di platform lain.
"Kandungan yang mereka menyebarkan boleh dikongsi kepada kumpulan-kumpulan di luar media sosial seperti di Whatsapp atau Telegram. Ini membolehkan kandungan mereka untuk dikongsi bukan sahaja khas buat pengguna wadah media sosial itu tetapi juga pada pengguna lain, tambah beliau.
Namun keberkesanan untuk mendapatkan undi para pengundi muda tetap bergantung kepada jenis kandungan yang mereka lihat.
"Saya percaya pengundi akan lebih terpengaruh dengan kandungan di media sosial yang menggambarkan dengan tepat rekod prestasi calon-calon, perwatakan dan integriti mereka, pengetahuan mereka tentang peranan dan keupayaan Presiden dan juga kebolehan mereka untuk melaksanakan tanggungjawab itu," kata Dr Elmie.
KEMPEN SECARA FIZIKAL TETAP PENTING
Dr Elmie juga berpendapat bahawa kempen secara fizikal termasuk bertemu para penduduk tetap memainkan peranan.
"Kita harus ingat bahawa tidak semua orang yang menggunakan media sosial. Ada warga tua yang tidak ada akses kepada media sosial. Kalau calon-calon memanfaatkan kempen secara fizikal, ia akan mendampingi golongan itu," ujar Dr Elmie.
Dua hari lalu, Encik Tan pula memutuskan untuk membatalkan baki jadual kunjungan hariannya sehingga Hari Bertenang pada Khamis (31 Ogos).
Dr Elmie berkata: "Sekiranya ada calon yang tidak mahu mengadakan kempen fizikal, beliau harus meningkatkan lagi prestasi dan penggunaan di media sosial. Tetapi kita kurang pasti berapa banyak mereka perlu lakukan begitu untuk menggantikan risiko apabila mereka tidak melakukan kunjungan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.