Skip to main content

Singapura

'Cake picnic' di Taman Labrador saji 51 jenis kek halal yang cantik dan unik belaka

Anggaran Waktu Membaca:
'Cake picnic' di Taman Labrador saji 51 jenis kek halal yang cantik dan unik belaka

Peniaga-peniaga kek SG yang tampilkan kek hasil air tangan mereka di acara 'Slice, Slice Baby!' pada Sabtu (10 Mei). (Gambar: @sghustlr)

SINGAPURA: Acap kali kita mendengar tentang bufet makanan yang menyajikan pelbagai hidangan utama. 

Namun, satu acara unik di Taman Labrador baru-baru ini menawarkan 'bufet pencuci mulut'. Para pengunjung dapat memilih daripada sehingga 51 jenis kek! 

51 jenis kek dihidangkan oleh 17 peniaga HBB. (Gambar: @sghustlr)
Bermacam-macam perisa dalam pelbagai bentuk kek ditawarkan... daripada kek persis seperti pasu bunga, kek cokelat pedas, kek minyak zaitun bercampur mangga dan bunga kamomil sehinggalah kek durian serawa dengan lukisan batik pada permukaannya. 
3 kek yang ditampilkan pada acara tersebut. (Gambar: @sghustlr)
Senang cakap... acara unik dipanggil 'Slice, Slice Baby!' (SSB) ini ibarat syurga buat para pencinta kek. 

Sebenarnya, ini kali kedua acara sedemikian dianjurkan. Versi kedua 'cake picnic' yang dianjurkan pada Sabtu (10 Mei) bagaimanapun diadakan pada skala lebih besar. Seramai 17 peniaga kek turun padang untuk menjayakan acara ini sementara kesemua 200 tiket habis dijual. 

SSB LAIN DARIPADA KONSEP ASAL

Dalam satu wawancara bersama BERITA Mediacorp, wakil penganjur acara menjelaskan bahawa pihaknya mendapat ilham untuk menganjurkan 'cake picnic' daripada acara serupa di Amerika Syarikat. 

"(Kalau di Amerika), seseorang itu harus bawa kek dibuat mereka. Jika tiada kek, tidak boleh turut serta," terang pengasas bersama syarikat Plussantai, Encik Hans Ramlee. 

Namun, versi yang diadakan di Singapura perlu disesuaikan mengikut keterbatasan seperti ruang yang luas, kos sewa dan sebagainya. 

Encik Hans Ramlee (tengah) bersama isterinya pada acara 'Slice, Slice Baby!' di The Southern Depot. (Gambar: sghustlr)

Lantaran itulah SSB tidak seperti konsep ‘cake picnic’ yang asal. Ia dibuka kepada orang ramai asalkan mereka membeli tiket masuk. 

Pengunjung kemudian boleh memilih tiga jenis kek sebelum bersantai di tempat acara yang sama, dihiburkan persembahan akustik oleh artis tempatan, Bloom! Ada juga satu sudut di mana pengunjung boleh mendapatkan kopi atau minuman 'matcha'.

Bukan itu sahaja. Bagi edisi kedua SSB yang dianjurkan sempena Hari Ibu pada hujung minggu lalu, para pengunjung dapat ke satu reruai kendalian Ehhbungaaa untuk mendapatkan kad dan bunga buat ibu tercinta. 

SSB BANTU MENYERLAHKAN BAKAT PEMBUAT KEK SG

Satu lagi keistimewaan SSB terletak pada matlamatnya membantu para pembuat kek tempatan yang mahir. SSB mahu menjadi platform buat mereka 'mempamerkan' sentuhan kreatif dan air tangan masing-masing. 

Usaha Plussantai untuk mencapai matlamat ini boleh dikatakan sudah dicapai. 

Dalam edisi sulung pada Februari lalu, seramai 7 peniaga kek mengambil bahagian untuk menjayakan acara tersebut. Edisi kedua pula berjaya menampilkan seramai 17 peniaga!

Antara peniaga yang mengambil bahagian dalam kedua-dua edisi ialah pengasas Bites & Crumbs, Cik Fatin Rosle. 

Cik Fatin Rosle (pertama dari kiri) bersama 6 peniaga kek lain pada 'Slice, Slice Baby!' edisi pertama yang diadakan di Bras Basah Februari lalu. (Gambar: Syafeera Md Sofian/ BERITAMediacorp)

Pada Sabtu (10 Mei), beliau menyiapkan sebanyak 3 jenis kek: ‘Mango Chamomile Olive Oil’, ‘When Life Gives You Tangerine’ dan ‘Chocolate Hazelnut Praline’. 

"Menjalankan perniagaan F&B memang mencabar. Penting untuk mempunyai sistem sokongan dan rangkaian bersama peniaga lain yang kongsi minat yang sama,” ujar Cik Fatin, 33 tahun, yang sudah menjual kek dari rumah selama 10 tahun.

Pengasas Tepongbymier, Encik Amirul Mukmin, pula 10 peniaga yang mengambil bahagian dalam SSB buat kali pertama pada hujung minggu lalu. Kek yang beliau siapkan lebih 'tradisional' seperti Kek Coklat Pengat Pisang, dan Kek Durian Serawa.

Pengasas tepongbymier (TBM), Encik Amirul Mukmin, dan 4 jenis kek yang beliau hidangkan. (Gambar: Amirul Mukmin)

Beliau juga gemar menggabungkan elemen tradisional pada kek buatannya, yang dapat dilihat dengan 'karya seni' batik pada kek.

"Konsep ini menarik kerana ia juga membawa semua peniaga kek - dari yang veteran, yang ‘famous’ atau juga yang lebih baharu semuanya diberi platform kongsikan kisah kami melalui seni membuat kek," kongsi peniaga kek sambilan itu.

Peniaga-peniaga kek yang sertai 'Slice,Slice Baby!' edisi kedua pada Sabtu (10 Mei). (Gambar: @sghustlr)

Ditanya BERITA Mediacorp jika SSB akan terus dianjurkan, ini jawapan Encik Hans: 

"SSB ketiga tentunya sudah mula disuahakan. Kami juga bakal adakan edisi SSB yang lebih intim."

Sumber : BERITA Mediacorp/SF/sf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita