Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Caj beg plastik di pasar raya bertujuan 'halang penggunaan berlebihan': Grace Fu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tujuan mengenakan caj bagi beg plastik pakai buang di pasar raya adalah untuk "tidak menggalakkan penggunaan berlebihan", kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Selasa (15 Feb).

Ini kerana penggunaan sedemikian adalah "tidak mampan", kerana ia "menggunakan sumber dan menambah pelepasan karbon apabila dibakar di dalam loji kami di mana sisa ditukar kepada tenaga".

Cik Fu berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Parlimen yang dikemukakan oleh Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Shahira Abdullah, mengenai langkah mengurangkan penggunaan beg plastik di Singapura.

Beliau mengakui bahawa walaupun penduduk memerlukan beg pakai buang untuk membungkus sampah, caj beg plastik yang dicadangkan tidak akan menghalang akses orang ramai kepada beg pakai buang.

"Beg pakai buang masih boleh diperolehi di pasar raya, termasuk untuk membungkus produk-produk segar seperti ikan dan daging, serta dari kedai runcit bukan pasar raya  dan pasar basah lain," katanya dalam jawapan bertulis.

PEMBUNGKUSAN MAMPAN MUNGKIN LEBIH MURAH JIKA IA "LEBIH ARUS PERDANA"

Caj bagi beg plastik hanyalah satu langkah untuk membantu Singapura menuju ke arah "ekonomi yang mampan dan lebih mesra alam sekitar".

Tetapi memandangkan Singapura berhasrat untuk berkembang maju dalam masa depan karbon dan sumber terkawal, pengguna semakin menuntut produk dan perkhidmatan yang mampan, serta memilih untuk membeli daripada perniagaan dengan amalan yang lebih mampan, kata Cik Fu sebelum ini di Parlimen.

Dalam beberapa kes, produk dan perkhidmatan mungkin "mahal sedikit", tambahnya.

"Tetapi dalam pasaran yang berdaya saing, perniagaan akan bersaing untuk menyediakan pengguna dengan produk dan perkhidmatan yang paling bernilai untuk wang. Memandangkan produk dan perkhidmatan yang mampan menjadi lebih arus perdana, skala ekonomi boleh mengurangkan kos."

Terdapat juga penjimatan kos dengan gerakan mesra alam sekitar, katanya.

Sebagai contoh, produk cekap tenaga "mungkin lebih mahal pada awalnya tetapi memberikan penjimatan sepanjang kitaran hayatnya".

LEBIH BANYAK SYARIKAT DIGALAK MENGAMBIL PEMBUNGKUSAN MAMPAN

Cik Fu juga berkata bahawa sisa bungkusan adalah salah satu aliran utama sisa Singapura dan kawasan yang menjadi keutamaan untuk mengurangkan sisa bagi Kementerian Kemampanan dan Sekitaran.

Rangka kerja Laporan Pembungkusan Wajib itu menumpukan perhatian syarikat kepada pembungkusan yang diletakkan di pasaran dan menggalakkannya mengurangkan penggunaan pembungkusan, katanya.

Ia juga "membentangkan asas bagi skim Tanggungjawab Penghasil yang Dilanjutkan" bagi sisa pembungkusan.

Dengan pembungkusan sebagai fungsi penting untuk "mengurangkan kerosakan, meminimumkan silang pencemaran dan meningkatkan jangka hayat jenis makanan tertentu", ini akan mengurangkan pembaziran produk makanan.

Oleh itu, pasar raya dan perniagaan boleh mengekalkan mutu produknya melalui model pembungkusan yang lebih mampan, seperti pembungkusan boleh guna semula dan boleh isi semula, kata Cik Fu.

Sumber : CNA/KF/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan