Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Caj bayaran lewat bagi pinjaman flat HDB ditunda lagi hingga Dis 2021, kata Dr Faishal

Tempoh penangguhan caj bayaran lewat bagi tunggakan pinjaman perumahan HDB ditangguh sekali lagi sehingga 31 Disember 2021.

Anggaran Waktu Membaca:
Caj bayaran lewat bagi pinjaman flat HDB ditunda lagi hingga Dis 2021, kata Dr Faishal

Blok flat HDB di Singapura. (Gambar fail: Calvin Oh)

SINGAPURA: Tempoh penangguhan caj bayaran lewat bagi tunggakan pinjaman perumahan HDB ditangguh sekali lagi sehingga 31 Disember 2021.

Demikian menurut Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Muhammad Faishal Ibrahim dalam catatan Facebook hari ini (30 Sep).

Dr Faishal berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan beberapa individu yang bertanya kepadanya jika Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mempunyai perancangan untuk melanjutkan tempoh penangguhan tersebut.

Sebelum ini, tempoh penangguhan caj bayaran lewat bagi pinjaman flat HDB ditangguhkan hingga 30 September 2021.

Menurut Dr Faishal, lanjutan itu adalah untuk menyokong keluarga yang berdepan kesukaran untuk menguruskan bayaran pinjaman perumahan dan sewa HDB. Penangguhan caj bayaran lewat itu juga berkuat kuasa sejak April 2020.

"Walaupun ekonomi dan pasaran pekerjaan kita telah perlahan-lahan menunjukkan tanda-tanda pemulihan, kami mengakui bahawa pandemik ini mempunyai kesan yang tidak sekata terhadap setiap keluarga.

"Ramai yang masih menghadapi kesulitan kewangan, terutamanya dengan sekatan sosial yang dikuatkuasakan baru-baru ini.

"Ramai daripada anda yang bertanya sama ada terdapat perancangan untuk melanjutkan penangguhan dan kami ingin menyatakan penangguhan akan berterusan hingga 31 Disember 2021," menurut Dr Faishal dalam catatan Facebook tersebut.

Sehubungan itu, Dr Faishal menggariskan beberapa langkah oleh HDB bagi membantu keluarga yang memerlukan bantuan bersasar.

Bagi para pemilik flat dengan pinjaman perumahan HDB, langkah itu termasuk skim bayaran semula ditangguhkan atau dikurangkan atau tempoh pinjaman dilanjutkan bagi mengurangkan bayaran ansuran bulanan.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melungsuri laman ini http://www.hdb.gov.sg/fam.

Bagi para penduduk flat sewa awam, HDB boleh mengurangkan bayaran sewa bagi keluarga yang pendapatan mereka berkurangan.

Dari April 2020 hingga Ogos 2021, HDB mengurangkan bayaran sewa untuk sekitar 5,500 keluarga.

Mereka yang memerlukan bantuan untuk membayar sewa boleh menghubungi HDB bagi membincangkan langkah-langkah bantuan yang ada atau lungsuri laman https://go.gov.sg/rentalassistance.

Selain itu, kata Dr Faishal, pihak bank juga kekal komited untuk bekerjasama dengan para pemilik rumah mengenai pinjaman perumahan bank dengan berunding berhubung bantuan-bantuan disasarkan dan penyelesaian penyusunan semula.

Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui laman ini https://go.gov.sg/masmeasures.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa