Skip to main content

Singapura

Cacing ditemui dalam Pasta Kay's Cup, pengilang tarik balik produk

Kay's Singapore sedang menyiasat bagaimana cacing memasuki cawan pasta segeranya, selepas seorang pelanggan mengadu pada Ahad (20 Jan) menemui beberapa ekor cacing menjalar dalam produk tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Cacing ditemui dalam Pasta Kay's Cup, pengilang tarik balik produk

Cacing ditemui dalam pasta Kay's Cup. (Gambar: Encik Yang)

Diterbitkan : 22 Jan 2019 01:09AM Dikemas Kini : 22 Jan 2019 01:11AM

SINGAPURA: Kay's Singapore sedang menyiasat bagaimana cacing memasuki cawan pasta segeranya, selepas seorang pelanggan mengadu pada Ahad (20 Jan) menemui beberapa ekor cacing menjalar dalam produk tersebut.

Seorang pembaca Mediacorp, yang hanya dikenali sebagai Encik Yang, mengirimkan gambar-gambar dan satu video yang menunjukkan cacing-cacing dalam cawan itu, yang dibeli dari pasar raya Sheng Shiong berdekatan stesen MRT Commonwealth.

Encik Yang berkata beliau menyedari perkara itu semasa beliau membuka tutup cawan makanan segera berperisa ayam itu.

Beliau mendapat kembali wangnya dari Sheng Shiong selepas mengembalikan produk itu kepada pasar raya tersebut.

"Selepas mendapat maklum balas pelanggan itu, kami memeriksa produk-produk yang dijual di pasar raya kami dan memaklumkan pembekal tentang insiden itu," kata seorang jurucakap Sheng Shiong. Beliau menambah, sejak itu ketiga-tiga produk tidak lagi dijual kepada para pelanggan.

Terdapat tiga perisa Kay's Cup Pasta. Menurut laman Kay's Singapore, ia merupakan "syarikat pertama di Singapura" yang menghasilkan pasta segera.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Kay's Singapore menyatakan: "Kami sedang menyiasat insiden ini, tetapi setahu kami, ia mungkin disebabkan cawan yang berlubang sehingga cacing boleh masuk dalam cawan itu."

Menurut syarikat itu, ia tidak menerima aduan lain tentang cacing dalam produk-produknya.

"Kawalan mutu menjadi keutamaan kami dan bagi memastikan ia tidak mencemaskan para pelanggan, kami bekerjasama dengan pasar raya Sheng Shiong untuk menarik balik semua makanan segera itu dan menghapuskannya. Kami juga akan menyiasat perkara ini dengan lebih terperinci," menurut syarikat itu.

Mediacorp sudah menghubungi Penguasa Agromakanan dan Veterinar bagi maklumat lanjut.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita