Cacar monyet bukan 'penyakit gay' semata; pun begitu golongan ini perlu elak risiko kesihatan
Penularan global cacar monyet sekarang kebanyakannya tertumpu dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki lain, menurut dapatan daripada kajian terbesar yang dijalankan ke atas penyakit itu.
Kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England pada 21 Julai mendapati daripada 528 kes disahkan jangkitan cacar monyet - yang didiagnos antara 27 April hingga 24 Jun 2022, 98 peratus adalah lelaki gay atau biseksual dengan 95 peratus dijangkiti penyakit itu melalui hubungan seksual.
Minggu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global.
Sedang lebih banyak perkara diketahui tentang bagaimana penyakit itu merebak, pakar penyakit berjangkit di Singapura dan luar negara memberi amaran terhadap meletakkan stigma cacar monyet pada golongan gay kerana ia hanya akan meningkatkan penularannya, memencilkan kumpulan pesakit ini dan membuatkan mereka menangguhkan untuk mendapatkan bantuan atau rawatan perubatan.
Selain itu, penularan cacar monyet bukan sahaja terbatas kepada aktiviti seksual dalam kalangan homoseksual. Penyakit itu juga boleh merebak menerusi kontak rapat. Ini bermakna tidak mustahil bagi virus itu menjangkiti individu yang mengadakan hubungan seks dengan berlainan jantina serta melalui ciuman, misalnya.
Jumlah kes cacar monyet di seluruh dunia sudah melonjak melepasi 18,000 kes pada 25 Julai, lapor Pusat bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat (AS).
Di Singapura, 10 kes cacar monyet dicatatkan setakat Selasa (26 Jul).
Kita tinjau perkembangannya sejauh ini dan apa yang dilakukan untuk mencegah penularan lanjut cacar monyet di Singapura.
SIAPA BERISIKO DIJANGKITI CACAR MONYET?
Kajian terbesar mengenai penyakit itu, diterajui oleh para saintis di Universiti Queen Mary London, meninjau 528 pesakit dari 16 negara. Kesemuanya adalah lelaki dan 41 peratus daripada mereka menghidap HIV.
Dapatan kajian itu sejajar dengan kajian-kajian lalu mengenai cacar monyet. Sebagai contoh, sebuah laporan daripada Agensi Keselamatan Kesihatan Britain mendapati 97 peratus daripada 699 kes cacar monyet yang dikajinya adalah lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki lain.
Dalam kajian terbaru Universiti Queen Mary London, para pengarangnya menarik perhatian 95 peratus daripada pesakit terkena jangkitan cacar monyet melalui kontak seksual.
"Kemungkinan besar penularan seksual disokong oleh penemuan luka mukosa di bahagian kemaluan, dubur dan mulut, yang mungkin menandakan tempat inokulasi."
Tempat inokulasi adalah bahagian di mana bakteria atau virus, memasuki tubuh manusia.
Dapatan ini disokong lanjut oleh WHO, yang menyatakan cacar monyet merebak menerusi kontak rapat seperti muka bertemu muka, kulit bergeseran, mulut ke mulut dan kontak antara mulut dengan kulit.
Cacar monyet boleh menyebabkan gejala seperti demam, ruam, sakit kepala, sakit belakang, sakit otot dan secara amnya, rasa lesu.
Dalam satu infografik yang dikeluarkan pada 18 Julai, WHO menyatakan: "Virus itu juga boleh merebak dari persekitaran tercemar ke manusia, seperti apabila seorang individu yang dijangkiti cacar monyet menyentuh pakaian, cadar tilam, tuala, objek-objek, peralatan elektronik dan permukaan.
“Ulcer, luka dan kudis dalam mulut juga boleh berjangkit, bermakna virus itu boleh merebak menerusi kontak langsung melalui mulut, titisan pernafasan dan kemungkinan melalui aerosol jarak dekat."
Atas sebab-sebab inilah Dr Jay Varma, seorang pakar penyakit berjangkit di Weill Cornell Medicine di AS, memberitahu laman berita NBC: "Dapatan bahawa 95 peratus kes mungkin merebak semasa hubungan seks memberikan jaminan bahawa penularan ini disebabkan terutamanya oleh kontak sangat rapat dan mungkin menjelaskan bagaimana ia sebahagian besarnya terbatas, setakat ini, kepada rangkaian sosial lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki."
Atas sebab itu kempen kesedaran antarabangsa kebanyakan disasarkan kepada gay, biseksual dan lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki lain meskipun penyakit itu berpotensi merebak kepada mereka yang tidak tergolong di bawah kategori tersebut.
Dalam respons kepada pertanyaan, Kementerian Kesihatan (MOH) SIngapura menyatakan: "Sejajar dengan saranan WHO, usaha sudahpun diambil untuk mendekati penduduk berisiko (misalnya individu yang terlibat dalam aktiviti seksual berisiko tinggi) menerusi rakan-rakan kongsi jagaan kesihatan dan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran tentang penularan virus cacar monyet serta langkah berjaga-jaga demi mengurangkan risiko penularan lanjut."
Apabila ditanya apakah yang dimaksudkan aktiviti seksual berisiko tinggi, MOH merujuk kepada laman WHO yang menyatakan ia melibatkan kegiatan "seperti individu mempunyai beberapa pasangan seksual".
SEBAB CACAR MONYET BUKAN 'PENYAKIT GAY'
Pengarang kajian dari Universiti Queen Mary London berkata: "Meskipun penularan sekarang menjejaskan secara tidak seimbang lelaki gay atau biseksual dan lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki, cacar monyet bukan satu 'penyakit gay' mahupun 'penyakit Afrika'.
“Ia boleh menjejas sesiapa."
Misalnya, sembilan daripada kes cacar monyet yang dikaji adalah lelaki heteroseksual.
Terdapat keperluan untuk "berhati-hati sewaktu memeriksa ruam akut luar biasa pada sesiapa sahaja terutama apabila ruam itu disertai gejala sistemik, bagi elak daripada terlepas mendiagnos individu heteroseksual," tambah mereka.
Pada Isnin (25 Jul), CDC AS mengesahkan dua kes cacar monyet dalam kalangan kanak-kanak - seorang budak kecil dan seorang lagi bayi - yang dipercayai dijangkiti menerusi penularan dalam kalangan anggota keluarga yang duduk serumah. Siasatan masih dijalankan ke atas kes-kes tersebut.
CDC juga menyatakan terdapat sekurang-kurangnya lapan wanita di AS yang didiagnos dengan cacar monyet pada Jumaat lalu (22 Jul).
Di Singapura, kesemua 10 kes cacar monyet yang dikenal pasti setakat 26 Julai adalah lelaki, meskipun kecenderungan seksual mereka tidak diketahui.
SEBAB STIGMA HALANG USAHA PENCEGAHAN PENYAKIT
Oleh kerana penyakit cacar monyet tertumpu pada masyarakat LGBTQ+, pakar perubatan di seluruh dunia mendapati mereka tergapai-gapai utnuk menyasarkan nasihat perubatan dan perhatian kepada golongan berkenaan tanpa meletakkan stigma terhadap mereka.
BACA:
Para pakar memberitahu Mediacorp stigma menjadikannya lebih sukar bagi individu yang terkena jangkitan cacar monyet untuk mendapatkan rawatan perubatan, lantas meningkatkan risiko penularan penyakit itu.
Profesor Dale Fisher, seorang perunding kanan di bahagian penyakit berjangkit Hospital Universiti Nasional (NUH), berkata: "Kami perlu privasi dan kerahsiaan untuk membolehkan orang ramai berjumpa dengan doktor mereka dan didiagnosis serta membolehkan pengesanan kontak awal."
Action for Aids (AFA) Singapore, sebuah badan tidak meraih keuntungan, menyatakan: "Stigma dan rasa takut akan menghalang orang daripada mendapatkan perkhidmatan kesihatan, membawa kepada pengesanan, pengasingan dan pengesanan kontak yang dikompromi bagi jangkitan itu.
AFA menambah dengan meletakkan stigma bahawa cacar monyet terkait dengan masyarakat LGBTQ+, akan membuat orang di luar kumpulan tersebut berpeluk tubuh dan leka dalam mengenali gejala penyakit serta mendapatkan bantuan perubatan.
APA YANG BOLEH DILAKUKAN UNTUK CEGAH PENULARAN CACAR MONYET?
Para pakar memberitahu Mediacorp langkah pertama ialah memerhatikan bagi sebarang tanda awal cacar monyet dan mendapatkan bantuan.
Dr Leong Hoe Nam, seorang pakar penyakit berjangkit dari Rophi Clinic, berkata: "Virus cacar monyet mempunyai tempoh masa tetap sekitar dua hingga tiga minggu untuk merebak ke hos yang baru. Untuk memecahkan kitaran penularan itu, memerlukan tanggungjawab individu dan penduduk. Ia bermula dengan mengelakkan daripada melakukan hubungan fizikal yang rambang."
Menurutnya berdasarkan pengalaman Singapura dalam menangani HPV yakni sekumpulan virus yang merebak secara seksual dan dalam sesetengah kes, boleh menyebabkan barah, vaksinasi seharusnya memainkan peranan dalam membendung penularan cacar monyet.
Ini adalah sebahagian daripada saranan sementara yang dikeluarkan pada 23 Julai.
"Rawatan awal penyakit kelamin seperti sifilis, herpes (dan penyakit lain) juga bermanfaat terutama dalam kalangan wanita hamil," kata Presiden Persatuan Mikrobiologi dan Jangkitan Klinikal Asia Pasifik, Dr Paul Tambyah.
Singapura sudahpun memberikan taklimat kepada pengamal perubatan dan institusi jagaan kesihatan mengenai keadaan cacar monyet, menurut MOH.
Selain mengasingkan kes disahkan cacar monyat dan kontak rapat selama sehingga 21 hari serta meletakkan kontak berisiko rendah di bawah pengawasan telefon buat tempoh masa yang sama, MOH juga meningkatkan usaha pendidikan dan pendampingan.
Kementerian itu juga menggesa orang ramai yang mengalami gejala cacar monyet agar mendapatkan rawatan perubatan dengan serta-merta.
Kumpulan hak asasi LGBTQ+ pula mengambil tindakan meningkatkan kesedaran tentang penyakit itu.
Kumpulan bertindak untuk AIDS atau Action for AIDS (AFA) menyatakan ia telah mengadakan pertemuan online dengan kumpulan masyarakat pada Khamis lalu untuk meningkatkan kesedaran mengenai cacar monyet.
Ia juga telah mengedarkan maklumat mengenai penyakit virus itu melalui infografik kepada rakan kongsinya - yang sesetengahnya telah diterbitkan di halaman media sosial mereka - serta poster mengenai "tempat-tempat di mana terdapat potensi penyebaran".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.