Cabul murid atas alasan rawat 'kemandulan', bekas guru agama dipenjara
Seorang bekas guru agama dipenjara setahun dan empat bulan pada Khamis (11 Apr) kerana mencabuli seorang wanita dalam bilik darjah di sebuah masjid.
Gambar hiasan.
SINGAPURA: Seorang bekas guru agama dipenjara setahun dan empat bulan pada Khamis (11 Apr) kerana mencabuli seorang wanita dalam bilik darjah di sebuah masjid.
Lelaki berusia 73 tahun itu yang namanya tidak boleh didedahkan untuk melindungi identiti mangsa, 36 tahun, ketika itu ialah seorang guru agama yang diiktiraf di bawah skim yang diselia MUIS.
Seminggu sebelum melakukan kesalahan, guru itu memberitahu mangsa beliau mungkin disihir dan ini yang mengakibatkan beliau tidak boleh hamil meskipun sudah lama berumah tangga, menurut Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Imaduddien.
Guru itu memberitahu mangsa supaya membawa pisau dan limau nipis pada minggu seterusnya untuk mengubati mangsa sambil berkata dia menganggapnya seperti anaknya sendiri.
Pada hari kejadian, guru itu memberitahu rakan kelas mangsa untuk berjaga di luar kelas supaya tiada sesiapa memasuki bilik itu.
Dia membawa mangsa ke satu sudut di mana mangsa mula membuka sebahagian pakaiannya seperti yang diarahkah oleh guru itu.
"Mangsa kemudian menyedari apa yang berlaku dan menolak tertuduh dan memakai semula pakaiannya," menurut pendakwa.
Dia juga mengarahkan mangsa supaya tidak memberitahu keluarganya tentang apa yang berlaku.
Mangsa kemudian ke klinik rawatan alternatif, di mana beliau diberitahu beliau tidak mempunyai sebarang penyakit dan tidak dikena sihir.
Menyedari apa yang berlaku, mangsa membuat aduan polis.
Di mahkamah, guru tersebut yang datang berkerusi roda dan menggunakan tongkat pada mulanya mengaku tidak bersalah. Namun dua hari sebelum perbicaraan, dia mengaku bersalah atas satu tuduhan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan wanita itu.
Peguam bela berhujah anak guamnya itu dalam keadaan tidak sihat dan memohon hukuman penjara 11 bulan, manakala pihak pendakwa meminta hukuman 16 bulan penjara.
Peguam bela juga merayu bahawa guru itu tidak pernah disabit kesalahan sebelum ini dan "banyak berbakti kepada masyarakat, memimpin kursus dan rombongan haji".
Hakim memutuskan faktor kesihatan sebagai tidak cukup untuk meringankan hukuman. Beliau bagaimanapun menerima rayuan untuk menangguhkan hukuman sehingga 15 Mei, selepas Ramadan dan selepas anak pesalah bersalin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.