Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cabaran terbesar ASEAN adalah tidak jatuh dalam perangkap strategik, kata Dr Balakrishnan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Cabaran utama ASEAN kekal tidak jatuh ke dalam perangkap strategik di tengah-tengah perang yang berlarutan di Eropah dan Timur Tengah serta persaingan Amerika-China.

Menteri Ehwal Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan berkata demikian sedang beliau menggulungkan siri mesyuarat ASEAN di Vientiane, Laos.

Dr Balakrishnan menekankan bahawa mesej jelas dan konsisten ASEAN kepada kuasa luar utamanya adalah bahawa ia enggan memilih pihak, sambil menambah bahawa blok tersebut ingin memberikan tumpuan kepada ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

"Pandangan saya sendiri ialah keadaan di Timur Tengah terus mempunyai risiko bertambah buruk yang ketara, dan jika anda menambah keadaan di Eropah dan Timur Tengah dan hakikat bahawa ia adalah barisan negara yang sama di pihak yang bertentangan di kedua-dua arena itu, ia adalah punca kebimbangan," jelas Dr Balakrishnan.

"Tetapi intinya ialah, Asia Tenggara, dengan mengandaikan kita boleh mengekalkan diri kita sebagai oasis keamanan, kestabilan dan keselamatan, sebenarnya, mempunyai prospek yang baik, prospek ekonomi yang baik, dan itulah yang kita mahu fokuskan," tambahnya.

Para menteri ASEAN juga berbincang mengenai beberapa isu sukar termasuk Laut China Selatan.

Diplomat tertinggi China, Wang Yi, yang juga berada di Vientiane untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat tersebut, memberi amaran kepada Filipina supaya tidak menggunakan peluru berpandu jarak pertengahan Amerika di Laut China Selatan.

Beliau mengatakan bahawa langkah tersebut akan meningkatkan ketegangan dan membawa kepada pertelingkahan senjata.

Beberapa sumber sebelum ini menyatakan bahawa Filipina ingin mendesak supaya satu kenyataan bersama dibuat oleh ASEAN untuk menyebut kes itu baru-baru ini mengenai perairan yang dipertikaikan itu, yang mengakibatkan kecederaan.

Selain itu, Dr Balakrishnan menarik perhatian mengenai Myanmar yang terus menjadi kebimbangan serius.

Pertempuran baharu meletus di bandar sempadan utama Lashio, yang mempunyai hubungan perdagangan dengan China.

Tentera Myanmar dan kumpulan etnik bersenjata telah berjuang untuk menguasai kawasan itu di utara wilayah Shan.

Ini berlaku sedang Myanmar mempertingkatkan usaha pendampingan diplomatiknya.

Pada awal tahun ini, tentera Myanmar bersetuju untuk menghantar para pegawai peringkat rendah untuk menghadiri mesyuarat ASEAN.

Ketua tenteranya Min Aung Hlaing dan menteri luar yang dilantik tentera masih kekal dilarang daripada hadir.

Delegasi Myanmar memberitahu media sebelum ini bahawa tentera tersebut berharap ia dapat menjadikan hubungan dengan ASEAN normal kembali "tidak lama lagi."

"Semua perkara ini bermula di (rantau ini). Anda perlu keadaan di (rantau ini)menjadi normal, kemudian anda boleh menjadikan hubungan luar anda normal. Dasar luar akhirnya, bermula di dalam (rantau ini)," jelas Dr Balakrishnan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan