Cabaran Teknologi Masjid 2025 jana inovasi digital untuk kesejahteraan keluarga
Cabaran Teknologi Masjid 2025 anjuran bersama Rangkaian Karyawan Yayasan MENDAKI dan Jawatankuasa Cabaran Teknologi Masjid yang diadakan buat kali kelapan di Masjid Al-Mawaddah menghimpunkan belia dan karyawan teknologi dalam usaha mencipta penyelesaian digital untuk kesejahteraan keluarga.

Peserta, Cik Hanisah Musrin, 23 tahun, bersama pasukannya bangunkan aplikasi yang akan paparkan senarai aktiviti yang boleh dinikmati keluarga pada hujung minggu untuk Cabaran Teknologi Masjid 2025. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
Hackathon selama 24 jam yang berlangsung dari 22 hingga 23 Mac 2025 bertemakan "Memperkasa Keluarga" ini disertai oleh 15 peserta berusia 16 tahun ke atas.
Antara matlamat utama pertandingan tersebut adalah untuk membangunkan aplikasi yang menggalakkan tabiat penggunaan teknologi yang sihat dalam kalangan keluarga dan kanak-kanak.
Selain itu, ia bertujuan mencipta penyelesaian untuk melindungi masyarakat daripada ancaman dalam talian seperti buli siber, mangsa dalam talian, dan penyebaran maklumat palsu.
Program itu juga mahu menggalakkan rekaan alat pendidikan Islam yang lebih interaktif dan mudah diakses oleh semua peringkat umur.
Semasa sesi jaringan Iftar bersama Karyawan Teknologi Muslim, para peserta berpeluang berinteraksi dengan kira-kira 40 karyawan teknologi bagi membincangkan idea-idea hackathon dan meneroka peluang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

"Tema ini juga meneruskan kesinambungan tahun-tahun sebelumnya, di mana kami membincangkan ‘Kesihatan Mental’ pada 2023 dan ‘Penuaan Penduduk’ pada 2024. Para peserta kini masih berada di peringkat awal pertandingan dengan pelbagai idea yang boleh dikembangkan bersama rakan-rakan mereka serta pakar teknologi berpengalaman. Dalam dunia teknologi, kita tidak bekerja secara bersendirian tetapi saling bertukar idea untuk menghasilkan produk yang lebih baik," kata beliau.
MEMBANGUNKAN APLIKASI UNTUK KESEJAHTERAAN KELUARGA
Seorang peserta, Cik Hanisah Musrin, 23 tahun, yang kini melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda Teknologi dalam Pengkomputeran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) sedang membangunkan aplikasi bagi membantu keluarga merancang aktiviti hujung minggu.
"Pasukan kami sedang membangunkan aplikasi yang boleh diakses melalui telefon dan komputer riba. Aplikasi ini akan memaparkan senarai aktiviti yang boleh dinikmati keluarga pada hujung minggu," jelasnya.
Hanisah membentuk pasukannya bersama adik-beradiknya dan seorang rakan.
"Saya ternampak hantaran pendaftaran di LinkedIn dan terfikir, ‘Kenapa tidak cuba bersama keluarga kali ini?’ Biasanya, hackathon yang dianjurkan sekolah hanya terbuka untuk rakan sekelas, tetapi yang ini membolehkan saya mengajak keluarga untuk turut serta," tambahnya, yang bercita-cita untuk bekerja dalam bidang dasar teknologi pada masa hadapan.
APLIKASI PESANAN SELAMAT UNTUK KELUARGA
Sementara itu, Azlan Mohammad Noh, 17 tahun, membangunkan aplikasi pesanan ringkas seperti WhatsApp tetapi direka khas untuk kegunaan keluarga.
"Sering kali, ibu bapa bimbang tentang dengan siapa anak mereka berbual, terutama dengan risiko mereka berkomunikasi dengan orang asing. Dalam platform ini, pengguna perlu memberikan nama dan sekolah mereka serta disahkan sebelum dapat berinteraksi. Ibu bapa juga boleh mengawal siapa yang boleh berhubung dengan anak mereka," kata beliau.
Aplikasi itu turut dilengkapi dengan penapis bahasa kesat untuk mengurangkan risiko buli siber.
Azlan, yang akan memulakan pengajian dalam Diploma Teknologi Maklumat di Politeknik Nanyang tahun ini, bercita-cita untuk menjadi jurutera DevOps.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.