Cabaran Presiden 2026 sokong 62 program baharu termasuk intervensi awal, sokong golongan kurang upaya
Cabaran Presiden 2026 akan menyokong 62 program baharu merentasi 60 pertubuhan, sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk memacu peningkatan sosial yang mampan di Singapura.
Presiden Tharman Shanmugaratnam berinteraksi dengan para penerima bantuan di Gelanggang Sukan Blok 403 pada 30 April 2026. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)
This audio is generated by an AI tool.
Bersama dengan program-program yang disokong oleh acara pengumpulan dana tahunan itu pada tahun lalu, jumlah program yang disokong oleh acara itu secara keseluruhannya kini sebanyak 121.
Program-program tersebut meliputi pelbagai bidang termasuk campur tangan awal, peluang kedua dan sokongan bagi golongan kurang upaya.
Cabaran Presiden disegarkan semula pada tahun lalu untuk memberi tumpuan kepada model pendanaan jangka panjang, membolehkan program-program yang disokong mencapai impak lebih mendalam dan berkekalan.
Bercakap dengan para wartawan di luar lawatan ke REACH Community Services pada Khamis (30 Apr), Presiden Tharman Shanmugaratnam berkata walaupun inisiatif itu memperoleh "momentum yang baik" berikutan penyegarannya pada 2025, ia masih di peringkat awal.
"Adakah kita akan berjaya? Terlalu awal untuk berkata demikian. Pengalaman kita, kedua-duanya di Singapura serta luar negara menunjukkan kejayaan tidak terjamin. Ia tidak datang bergolek. Peningkatan sosial tidak berlaku begitu sahaja," katanya.
"Kita mungkin memperoleh sesuatu hari ini, tetapi untuk memastikan ia berkekalan hingga ke masa hadapan adalah satu cabaran," katanya, sambil menekankan bahawa perkembangan bermakna mengambil masa, komitmen berterusan dan hubungan kukuh di lapangan.
"Hakikatnya, kejayaan tidak terjamin, ini bermakna kita perlu berusaha lebih gigih. Cuba pendekatan berbeza, dan apabila kita menemui satu pendekatan khusus atau inisiatif yang berjalan dengan baik, kita terus membangunkannya dan kita cuba meningkatkannya secara berskala."
Dalam kalangan program-program baharu yang disokong tahun ini adalah Project GEMINATE oleh REACH Community Services, yang menyokong kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun yang mungkin mengalami cabaran dalam kehidupan mereka seperti trauma atau ibu bapa yang berpisah.
Menerusi sukan dan terapi permainan, inisiatif itu bertujuan membina daya tahan, keyakinan dan kesejahteraan emosi.
Satu lagi inisiatif utama adalah Program Pemulihan Ketagihan Tingkah Laku oleh One Hope Centre yang menyediakan khidmat kaunseling dan sokongan rakan sebaya kepada individu - serta keluarga mereka - yang berdepan ketagihan tingkah laku yang memudaratkan dengan membantu mereka membina strategi daya tahan yang lebih sihat dan membina semula hubungan.
Sektor seni juga merupakan satu lagi tumpuan, dengan program-program seperti Program Pendampingan Maskot oleh The RICE Company menggunakan teknik penceritaan dan persembahan untuk memupuk nilai-nilai seperti sifat murah hati dan keberanian dalam kalangan belia, di samping memupuk kemahiran sosioekonomi.
Selain perkhidmatan sosial, Cabaran Presiden 2026 juga mengukuhkan perkongsian dalam sukan, seni dan budaya.
Ini termasuk sokongan untuk atlet Team Singapore melalui biasiswa, peluang yang diperluaskan untuk golongan kurang upaya melalui Dana Enabling Sports, dan inisiatif untuk memupuk bakat seni serta menggalakkan penglibatan merentas budaya melalui acara seperti Chingay.
Sementara itu, Fellowship Cabaran Presiden akan dibuka untuk permohonan bagi kumpulan 'Fellow' yang baharu mulai 4 Mei hingga 12 Jun.
'Fellowship' itu bertujuan untuk memperkasakan individu melalui tiga laluan - laluan Tindakan Sivik yang bertujuan membangunkan pendekatan baharu dalam sektor sosial manakala laluan 'Springboard' menyokong mereka yang bangkit semula daripada rintangan besar.
Laluan 'ITE Inspire' pula mengiktiraf para lulusan dengan pencapaian kerjaya yang cemerlang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.