Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cabaran Presiden 2022 beri tumpuan sokong keluarga berpendapatan rendah

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Feb 2022 08:14PM Dikemas Kini : 23 Feb 2022 09:31PM

SINGAPURA: Kira-kira 20 peratus keluarga yang menetap di flat sewa mempunyai seorang anggota yang kehilangan pekerjaan semasa pandemik COVID-19. Perangkaan, menurut Presiden Halimah Yacob, seganda lebih tinggi berbanding purata keseluruhan bagi semua keluarga di Singapura. 

Puan Halimah Yacob berucap di pelancaran Cabaran Presiden 2022, yang akan memberi tumpuan kepada menghulurkan sokongan buat keluarga berpendapatan rendah. 

Sepanjang dua tahun lalu, keluarga berpendapatan rendah di Singapura "paling mudah terjejas" oleh kesan-kesan negatif pandemik seperti kehilangan pekerjaan dan pengasingan sosial, kata Puan Halimah. 

Memetik kajian yang dijalankan oleh Pusat Kajian Keluarga dan Penduduk, Puan Halimah menarik perhatian bahawa keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak-anak kecil adalah yang paling teruk terjejas. 

"Lebih setengah penduduk yang menetap di flat-flat sewa juga tidak mempunyai simpanan sekurang-kurangnya satu bulan daripada pendapatan keluarga mereka," kata Puan Halimah. 

Skim Bantuan Jangka Pendek hingga Sederhana ComCare membantu kira-kira 35,700 keluarga pada tahun kewangan 2020 iaitu kenaikan sebanyak 24 peratus.

Menurut beliau, kuantum bantuan Comcare yang diagihkan di bawah skim tersebut juga meningkat kira-kira 77 peratus kepada sekitar S$183 juta pada tahun kewangan yang sama.

Walaupun skim bantuan pemerintah sedemikian dapat membantu keluarga menangani kesan kewangan dek pandemik, ia adalah "lebih penting bahawa mereka diperkasa untuk hidup berdikari dan mencapai kejayaan pada jangka panjang", tambah Puan Halimah. 

"Khususnya, kami mahu mengenal pasti keluarga-keluarga berpendapatan rendah yang mungkin memerlukan bantuan untuk kembali berdikari," katanya. 

"Kami ingin memastikan anak-anak dapat membesar dalam persekitaran yang selamat dan membina, ibu bapa mereka boleh hidup berdikari dan bersama-sama, keluarga itu dapat mengatasi cabaran mereka dan mengejar impian mereka." 

Menyifatkan sesebuah unit keluarga itu sebagai "tunggak masyarakat" dan "benteng sokongan yang pertama" yang menjadi sandaran tatkala orang ramai mengharungi detik-detik sukar, Puan Halimah berkata keluarga-keluarga mesti disokong untuk membina sebuah masyarakat yang teguh dan bingkas.

"Lantaran itu, Cabaran Presiden 2022 akan menggalakkan usaha dan kerjasama masyarakat untuk mempercepatkan kemajuan keluarga-keluarga berpendapatan rendah serta mengurangkan kesan jangka panjang pandemik itu terhadap mereka," katanya. 

Ini akan dilakukan melalui tiga cara: Memperkasa keluarga-keluarga berpendapatan rendah, memberi jagaan kepada keluarga yang memerlukan bantuan tambahan bagi memenuhi keperluan yang mendesak serta menyatukan masyarakat untuk menghulurkan bantuan. 

MEMBANTU KELUARGA-KELUARGA BERPENDAPATAN RENDAH 

Ditubuhkan pada tahun 2000, Cabaran Presiden merupakan acara tahunan mengumpul dana. Tahun lalu, ia meraih S$15 juta untuk menghulurkan sokongan kepada 93 agensi. 

Pada 2018, Dana Pengupayaan Sepanjang Hayat (ELF) dilancarkan untuk memberi sokongan kepada masyarakat memerlukan dari segi mempertingkat kemahiran, membangunkan keupayaan dan mendapatkan pekerjaan. Ini akan kekal menjadi tumpuan dalam Cabaran Presiden tahun ini, kata Puan Halimah. 

"Cabaran Presiden 2022 juga akan menyokong inisiatif-inisiatif untuk memenuhi keperluan yang lebih mendesak bagi keluarga (berpendapatan rendah) ini,"  ujar Puan Halimah yang berucap di kedai masyarakat terbaru kendalian badan amal Food From The Heart di Lengkok Bahru. 

"Sedang kita mengatasi cabaran-cabaran untuk beralih ke arah sebuah negara yang berdaya bingkas terhadap COVID-19, kita mesti terus memperkasa kehidupan golongan masyarakat yang memerlukan," tambah beliau.  

Cabaran Presiden tahun ini akan mengutip dana bagi 81 agensi bagi pelbagai tujuan demi membantu mereka mengharungi masa-masa sukar, kata Puan Halimah. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan