Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cabaran Presiden 2021 tumpu pada masyarakat digital yang inklusif

Cabaran Presiden tahun ini akan tertumpu terhadap usaha membantu Singapura membina masyarakat digital yang inklusif, kata Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Cabaran Presiden dalam satu kenyataan bersama kepada pihak media pada Isnin (8 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Feb 2021 02:27PM Dikemas Kini : 08 Feb 2021 09:42PM

SINGAPURA: Cabaran Presiden tahun ini akan tertumpu terhadap usaha membantu Singapura membina masyarakat digital yang inklusif, kata Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Cabaran Presiden dalam satu kenyataan bersama kepada pihak media pada Isnin (8 Feb).

Sejajar dengan itu, satu gerakan nasional baru - Digital for Life atau Digital untuk Kehidupan - dilancarkan bagi membantu rakyat Singapura mendakap masa depan yang memanfaatkan teknologi digital, menurut kenyataan itu.

Satu dana juga dibangunkan bagi menyokong projek dan kegiatan digital yang inklusif di bawah gerakan baru itu, dengan Cabaran Presiden mendermakan dana pemulaan sebanyak S$2.5 juta.

Dana baru itu yang ditubuhkan oleh IMDA, akan menyokong projek-projek yang dimulakan oleh masyarakat hingga 2023 dan berfungsi sebagai saluran bagi sumbangan awam. Sasaran untuk dana itu adalah untuk mengumpul S$10 juta sepanjang tiga tahun akan datang, dengan Pemerintah memadankan sumbagan setiap dolar dengan jumlah yang sama.

"Pandemik COVID-19 mempercepatkan usaha pendigitalan Singapura, namun ia berpotensi meluaskan jurang digital," kata Presiden Halimah Yacob semasa pengumuman pelancaran Cabaran Presiden 2021 dan gerakan Digital for Life pada Isnin.

"Cabaran Presiden berharap untuk menyokong usaha untuk mewujudkan sebuah masyarakat digital yang inklusif yang mana seluruh rakyat Singapura akan berasa teruja, diperkasakan dan diperkaya oleh teknologi digital.

"Gerakan dan Dana Digital for Life membawa kita selangkah ke hadapan dalam mencapai wawasan Singapura untuk menjadi sebuah masyarakat digital yang inklusif."

DANA DIKUMPUL BAGI JUMLAH REKOD 92 AGENSI

Ditubuhkan pada 2000 oleh Presiden S R Nathan ketika itu, Cabaran Presiden adalah kempen pengumpulan dana secara tahunan bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Cabaran Presiden tahun ini akan terus menyokong tujuan sosial termasuk mengumpul dana bagi jumlah rekod 92 agensi. Kali ini, dana terkumpul akan membantu mereka mengharungi waktu-waktu sukar akibat COVID-19, menurut kenyataan itu.

Dengan tema Membina Masyarakat Digital yang Inklusif bagi Cabaran Presiden tahun ini kempen itu juga akan "memberi penekanan terhadap usaha-usaha yang membekalkan warga emas, golongan kurang upaya dan keluarga berpendapatan rendah dengan kelengkapan, kemahiran dan keterhubungan digital supaya mereka boleh kekal aktif secara sosial dan ekonomi dalam menjalani cara kehidupan dan pekerjaan di Singapura yang mengutamakan penggunaan digital", menurut kenyataan itu.

"Presiden Halimah menekankan bahawa sedang masyarakat kita memanfaatkan peluang-peluang yang muncul dari teknologi digital, ia penting bahawa semua golongan masyarakat boleh meraih manfaat dan tiada sesiapa yang ketinggalan," tambahnya.

Dana Digital for Life akan menyokong projek dan kegiatan yang menggalakkan teknologi digital dan masyarakat digital inklusif yang tertumpu terhadap pembinaan daya tahan digital.

Dana Masyarakat, iaitu cabang pengumpulan dana dan pendampingan Majlis Perkhidmatan Sosial Kebangsaan (NCSS), akan memudahkan penyaluran sumbangan kepada dana tersebut.

Butiran lanjut mengenai kriteria dan permohonan geran akan diumumkan dalam bulan-bulan mendatang.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan