Cabaran Kereta Subaru Mediacorp kembali dengan cabaran amal selebriti
Cabaran Kereta Subaru Mediacorp kembali bulan ini, dengan acara amal khas membabitkan selebriti.

SINGAPURA: Cabaran Kereta Subaru Mediacorp kembali bulan ini, dengan acara amal khas membabitkan selebriti. Mereka akan turut mengumpul dana bagi badan-badan amal yang disokong acara "President Star Charity" tahun ini.
Diadakan buat tahun ke-17, acara itu menguji daya ketahanan ratusan peserta kekal meletakkan tapak tangan kanan mereka pada kereta Subaru seberapa lama mungkin. Peserta terakhir yang masih bertahan diisytiharkan pemenang. Pertandingan diadakan di Ngee Ann City Civic Plaza dari 27 Oktober hingga 30 Oktober.
Sebuah kereta baru Subaru XV 2.0i-S bernilai lebih S$70,000 menanti pemenang. Ada satu daya tarikan tambahan kali ini. Sekiranya pemenang tersebut memecahkan rekod dapat bertahan lebih 82 jam dan 16 minit, yang dicipta pada 2014, beliau turut memenangi Sijil Hak Milik (COE) bagi kenderaan tersebut.
Para peserta digalak untuk memberikan yang terbaik, dengan S$100 diberikan setiap kali mereka melepasi tempoh masa 48 jam. Seandainya tapak tangan individu itu masih kekal di atas kereta setelah 60 jam, peserta itu akan menerima lagi S$100 dan setelah 72 jam, S$100 lagi.
Selain itu, kumpulan yang bersaing dalam Cabaran Kumpulan dengan masa gabungan tertinggi akan memenangi tambahan S$1,000.
Setiap peserta juga akan menerima beg Challenger dengan kemeja-T yang direka khas dan baucar bernilai sekitar S$80.
CABARAN AMAL MEDIACORP
Di samping acara utama itu, enam artis Mediacorp akan cuba bersaing antara mereka sendiri semasa acara khas Cabaran Amal Mediacorp.
Bryan Wong, Desmond Ng dan Felicia Chin akan menyertai cabaran itu pada 27 Oktober, manakala Chen Han Wei, Pan Ling Ling, and Ya Hui, pada 28 Oktober.
Rakan-rakan dan anggota keluarga peserta, serta orang awam, digalak untuk menyokong artis-artis itu dengan menderma menerusi talian hotline yang disediakan.
Dana yang terkumpul akan disalurkan kepada golongan-golongan yang memerlukan di bawah Majlis Khidmat Sosial kebangsaan (NCSS).
Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar, sila ke toggle.sg/carchallenge. Pendaftaran tutup pada Rabu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.