Cabaran InstaGeylang WGS 2022 terima 1,550 penyertaan; pameran papar 45 gambar terpilih
Cabaran Gambar InstaGeylang 2022 dicatat sebagai kempen online Wisma Geylang Serai (WGS) yang paling banyak mendapat sambutan di media sosial dengan penyertaan lebih 1,550 peserta.
SINGAPURA: Cabaran Gambar InstaGeylang 2022 dicatat sebagai kempen online Wisma Geylang Serai (WGS) yang paling banyak mendapat sambutan di media sosial dengan penyertaan lebih 1,550 peserta.
Pengumuman awam untuk penyertaan dalam cabaran tersebut dibuka pada 21 Januari sempena ulang tahun ketiga WGS dan ia ditutup pada 9 Mei.
Para jurugambar mapan lagi profesional dan masyarakat awam dipelawa untuk menghadiri tiga bengkel berbeza.
Bengkel itu bertujuan untuk menyediakan wadah bagi panel pengadil untuk berkongsi pengalaman mereka dalam bidang fotografi.
Matlamat utama cabaran #InstaGeylang adalah untuk memaparkan keunikan kawasan ikonik itu dan menyorot tempat-tempat istimewa serta kegiatan-kegiatan yang menyimpan kenangan indah buat khalayak umum.
Daripada lebih 1,550 penyerahan gambar yang diterima, 45 telahpun dipilih untuk dipaparkan dalam Pameran Cabaran Gambar InstaGeylang 2022.
Pameran tersebut dirasmikan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Pendidikan dan Ehwal Luar, Dr
Maliki Osman, hari ini (25 Jun).
Di acara perasmian itu, Dr Maliki - yang juga Pengerusi Daerah Kebudayaan Geylang Serai - menyampaikan hadiah kepada para peserta dengan Penyertaan Terbaik, Penyertaan Paling Popular serta tiga hadiah sagu hati.
"Saya dimaklumkan oleh para kakitangan saya bahawa setakat ini, jumlah itu adalah satu paras rekod bagi penyertaan dalam pertandingan yang dianjurkan oleh WGS. Sekalipun selepas tarikh pertandingan ditutup, tanda pagar InstaGeylang masih lagi digunakan," kata Dr Maliki ketika menyampaikan ucapannya itu.
"Catatan-catatan ini akan membolehkan kita untuk mengimbau kembali masa lalu, menghargai apa yang dilalui sekarang dan membayangkan masa hadapan Geylang Serai. Lebih penting lagi, ia akan memastikan Geylang Serai kekal hidup di dalam hati, minda serta melalui mata pandangan kita!"
Dengan sambutan yang cukup memberangsangkan itu, beliau berkata maka tidak hairanlah panel pengadil mengalami kesukaran untuk membuat pemilihan mereka.
Oleh demikian, tambah Dr Maliki, pengadil memutuskan untuk memilih lebih 40 penyertaan yang benar-benar layak dan bukannya sekadar 20 untuk tatapan halwa mata umum di pameran tersebut.
Pameran itu juga merupakan satu usaha untuk mendampingi masyarakat oleh Jabatan Daerah Wisma Geylang Serai dan Kamal Arts.
Pameran InstaGeylang dibuka kepada khalayak ramai pada setiap hari di Kamal Arts Gallery, dari pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang sehingga 6 Julai ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.