Skip to main content

Singapura

Cabaran ibu muda sulamkan didikan Bahasa Melayu dalam anak kecil

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan Bulan Bahasa 2023 melabuhkan tirainya pada Isnin (9 Okt), ia menjadi peluang cerminan diri bagi pelajar, pendidik serta ibu bapa untuk meneruskan segala usaha dalam memartabatkan Bahasa Ibunda supaya ia terus dilestarikan.

Bahkan ia menjadi kewajipan kita untuk memastikan Bahasa Melayu terus digunakan dengan baik dalam kehidupan seharian di tengah-tengah sekitaran yang lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris, apatah lagi bagi ibu bapa dengan anak-anak kecil seperti saya.

Dengan seorang anak lelaki berusia tiga tahun dan anak perempuan berumur 11 bulan, memilih bahasa yang sesuai dalam mendidik anak sering terlintas di benak fikiran. “Haruskah saya perkenal warna sebagai ‘red’ atau ‘merah’? Haruskah saya ajar ‘one two three’ atau ‘satu dua tiga’ dahulu?”

Bagi sebilangan ibu bapa masa kini, tentunya Bahasa Inggeris diberi keutamaan. Mentelah lagi, ia sering menjadi bahasa pengantaraan di prasekolah, sekolah rendah dan menengah mahupun institusi pengajian tinggi.

Lantaran itu, di mana pula kedudukan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian kita sehingga perlu terus dididik ke dalam jiwa anak-anak kecil, menjangkaui perbualan dengan datuk nenek?

Inilah persoalan yang terus bermain di minda semasa saya mula mengajar anak sulung saya bercakap.

CITA & CITA-CITA

Seperti yang ditekankan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), tema Bulan Bahasa, ‘Cita. Citra. Cinta. Bahasa Kita.’ menggambarkan langkah kita mengharungi era baharu.

Istilah ‘Cita’ pula menggambarkan keinginan, hasrat dan harapan masyarakat dalam usaha untuk mengekalkan penggunaan bahasa Melayu.

Sedar akan penggunaan Bahasa Inggeris yang lebih kerap di sekolah, saya kemudian memutuskan untuk mengambil pendekatan berbeza – bertutur dalam Bahasa Melayu dengan anak saya di rumah.

Malah kehidupan seharian kami juga diisi dengan rancangan-rancangan Melayu di televisyen dan radio tempatan dan dari seberang, dan sekali-sekala kartun Bahasa Melayu juga.

Pendedahan luas kepada Bahasa Melayu ini digunakan dengan tujuan menyelaraskan penggunaan bahasa dalam kehidupan seharian anak.

Teringat juga pada suatu ketika di mana anak sulung saya mula berminat dalam siri drama mengenai anggota bomba di Malaysia, berserta lagu temanya bertajuk Bomba oleh penyanyi rap W.A.R.I.S.

a


Ketika itu, tepat pada 10.00 pagi, anak kecil yang baru menginjak usia dua tahun ketika itu akan mula bersuara “Nak tengok bomba”. Minatnya pada aksi dan kelincahan anggota bomba sekali gus menguatkan lagi minatnya dalam bidang pekerjaan tersebut.

Dari situlah, dia semakin mempamerkan lagak ibarat memadamkan kebakaran, memakai sut bomba dan bergegas ke tempat kejadian bagi menjawab panggilan kecemasan.

“Nanti dah besar nak jadi apa?” tanya saya. Tanpa berfikir panjang, dia menjawab, “Nak jadi bomba”.

CITRA BAHASA

Minat mendalam yang masih ‘melekat’ sehingga ke hari inilah yang membantu mendalami bahasa dan mempelajari kosa kata berkaitan bomba.

“Ada kebakaran!”, jeritnya jika terdapat api yang marak dalam rancangan di televisyen. “Ada orang sakit,” ungkapnya jika terdengar bunyi semboyan dari ambulans Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Seperti yang dijelaskan MBMS, ‘Citra’ memaparkan kepelbagaian dan kesesuaian bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan perantaraan.

Namun saya akur adakalanya saya sendiri terbawa-bawa dengan istilah Bahasa Inggeris yang sering menjadi kebiasaan apabila memperkenalkan kenderaan dan peralatan bomba kepada anak sulung saya.

Mungkin sebab “fire engine”, “Red Rhino” dan “fire extinguisher” juga frasa-frasa yang sering saya gunakan sejak kecil.

Malah ini sedikit sebanyak juga cerminan diri bagi saya, untuk mencari penterjemahannya dalam Bahasa Melayu untuk diajarkan kepada anak.

Sekurang-kurangnya dia dapat mempelajari ilmu dalam dua bahasa dengan fasih.

Boleh dikatakan, Bulan Raikan Ilmu 2020 juga meninggalkan impak berpanjangan kepada anak saya.

Ingat lagi pada muzik video Sama Raikan, hasil kerjasama Nadi Singapura dan Ramli Sarip? Itulah titik permulaan seni muzik Melayu bagi anak sulung saya.

Lengkap dengan irama Melayu serta pakaian bertanjak dan bersamping, anak saya jelas tertarik bukan sahaja pada rentak dan pergerakan tariannya, namun menjadi semakin minat dalam genderang Melayu yang turut ditampilkan.

Kalau anak-anak lain ‘ngotot’ pada Cocomelon atau Baby Shark di YouTube, anak lelaki saya pula lebih tertarik kepada irama dan rentak Melayu seperti yang ditampilkan dalam Sama Raikan di saluran Suria pada ketika itu.

Malah di situlah dia mempelajari frasa-frasa menarik menerusi bait-bait lirik “di dalam hati mesti bersyukur” dan “kaya ilmu akan dijulang”.

CINTA BAHASA KITA

Yang jelas, pendedahan kepada rancangan dan lagu Melayu secara keseluruhannya mendorong minat dan cintanya kepada Bahasa Melayu.

‘Cinta’ pula, seperti yang dijelaskan MBMS, bermakna menunjukkan minat dan sayang akan nilai dan seni bahasa Melayu yang indah.

Kini pada usia tiga tahun, anak sulung saya bukan sahaja semakin fasih berbual dalam Bahasa Melayu, tetapi juga kian minat dalam seni dan budaya Melayu.

Seperti mengikut trend, dia juga meminati, malah menghafal sebahagian besar lirik lagu Lemak Manis yang dipopularkan semula oleh Haziq Rosebi serta gemar pada rentak lagu Umpan Jinak di Air Tenang dendangan semula oleh Dayang Nurfaizah.

Kini, anak perempuan saya yang sedang belajar bertatih juga dilihat bertepuk-tepuk tangan apabila mendengar lagu-lagu Melayu.

Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, yang membawa makna mendidik anak biarlah dari kecil.

Nampaknya, usaha kami, suami isteri untuk mendidik minat dalam Bahasa Melayu ke dalam diri anak-anak kami ada peningkatan dan nampak hasilnya, biarpun sedikit demi sedikit.

BAGAIMANA PULA DENGAN BAHASA INGGERIS?

Meskipun selesa dengan perkembangan anak saya yang kian fasih berbahasa Melayu, masih ada sedikit kebimbangan sama ada dia dapat bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Walaupun dia lebih lancar mengira ‘One to Ten’ dan menyebut ‘Red’, ‘Blue’ dan ‘Green’, setakat ini dia lebih menggunakan bahasa Inggeris dalam bentuk frasa pendek sahaja, berbanding ayat penuh dalam Bahasa Melayu.

Namun, dek pendedahan kepada Bahasa Inggeris bersama sepupu-sepupu sebayanya serta kartun Bahasa Inggeris, saya yakin Bahasa Inggeris adalah bahasa yang lebih semula jadi untuk diterapkan ke dalam diri mereka pada masa hadapan – di sekolah, antara rakan berlainan kaum dan dengan guru-guru.

Lantaran itu, saya merasakan usaha mendidik anak dalam Bahasa Melayu di rumah tetap harus diberi perhatian.

Bukan sahaja sekadar memudahkan perbualan dengan datuk nenek, tetapi juga untuk mempelajari ilmu, seni dan budaya Melayu bagi tujuan jangka panjang – melestarikan Bahasa Melayu dalam masyarakat kita.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita