Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cabaran digital antara sebab penjaja berkeras terima hanya bayaran tunai

Anggaran Waktu Membaca:
Cabaran digital antara sebab penjaja berkeras terima hanya bayaran tunai

Notis bagi pembayaran tunai di dua gerai di gerai-gerai di pusat makanan China Square Food Court. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 13 Mar 2023 08:16AM Dikemas Kini : 13 Mar 2023 08:17AM
SINGAPURA: Setelah lebih dua bulan beliau cuba untuk mengenal pasti percanggahan antara pendapatan yang dilaporkan oleh pembantu gerainya dengan wang yang diterima dalam akaun banknya, penjaja Anthony Low memutuskan untuk kembali menerima urus niaga yang hanya berdasarkan wang tunai.

Encik Low adalah antara penjaja yang sudah mencuba kaedah pembayaran digital tetapi dihambat oleh cabaran-cabaran menggunakan teknologi dalam sebuah perniagaan yang pada dasarnya dijalankan dalam bentuk wang tunai.

Penjaja berusia 55 tahun itu, yang memiliki tiga gerai menjual keropok udang, berkata pembantunya akan memantau dan mencatat e-pembayaran yang diterima oleh para pelanggan. Namun, jumlah yang diterima pada hujung hari tidak sama dengan jumlah yang masuk ke dalam akaun bank Encik Low.

Selain percanggahan dalam pembayaran, para penjaja lain memberitahu Mediacorp antara sebab mengapa mereka menghadkan urus niaga kepada wang tunai adalah kerana mereka memerlukan wang pada kadar serta-merta selain kurang pemahaman mengenai teknologi.

Isu penerimaan pembayaran wang tunai dalam kalangan penjaja bukan perkara baru. Namun, ia mendapat perhatian baru-baru ini apabila Anggota Parlimen Dilantik Calvin Cheng memuat naik catatan berhubung isu itu pada bulan lalu. Encik Cheng mengecam gerai-gerai di sebuah kedai kopi yang terletak di kawasan pusat bandar (CBD) kerana hanya menerima pembayaran wang tunai.

Gerai makanan yang menerima hanya pembayaran wang tunai membentuk sebahagian kecil dalam usaha Singapura menggalak para penjaja beralih ke pembayaran digital.

Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor berkata di Parlimen pada 2 Mac bahawa lebih 70 peratus daripada pemilik gerai makan di pusat-pusat penjaja menerima e-pembayaran.

Dr Khor berkata sokongan dihulurkan di 37 pusat penjaja untuk membantu penjaja mendakapi teknologi.

Langkah untuk beralih ke urus niaga tanpa tunai bagi golongan penjaja sudah dimulakan sejak bertahun-tahun lalu.

Pada 2020, Program Transformasi Digital untuk Penjaja ('Hawkers Go Digital') dilancarkan bagi menggalak e-pembayaran.

Inisiatif pemerintah itu termasuk bonus wang tunai bagi para penjaja yang berjaya membuat urus niaga digital pada jumlah tertentu.

SISTEM E-PEMBAYARAN PERLU DIPERHALUSI

Encik Low, yang juga pengerusi bahagian penjaja bagi Persekutuan Persatuan Pedagang, berkata beliau menerima maklum balas daripada para anggota penjaja tentang masalah melibatkan sistem e-pembayaran.

"Kadangkala ada masalah Wi-Fi seperti telefon bimbit tidak berfungsi. Semua perkara ini berlaku di lapangan," katanya.

Satu lagi masalah yang dihadapi oleh para penjaja seperti Encil Low adalah tempoh waktu akhir bagi urus niaga dan pembayaran akan dipaparkan hanya beberapa hari kemudian.

Beliau juga bimbang yuran urus niaga akan mengurangkan lanjut tahap keuntungannya. Yuran peniaga e-pembayaran bagi penjaja dibayar oleh Pemerintah hanya sehingga 31 Disember tahun ini.

Namun beliau memperakui, sedang golongan muda beralih kepada e-pembayaran, para penjaja generasi lebih tua akan kehilangan semakin ramai pelanggan sekiranya mereka hanya menerima pembayaran wang tunai.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan