Cabaran demi cabaran dihadapi; Adlynna Aziz kini jadi mentor belia
Cabaran demi cabaran dihadapi; Adlynna Aziz kini jadi mentor belia. (Gambar: Adlynna Aziz)
Sewaktu di menengah satu, Adlynna menjadi satu-satunya pelajar dalam kohortnya yang yang gagal meneruskan pelajaran ke menengah dua.
"Pada masa itu, ibu saya dipanggil oleh pengetua sekolah. Beliau memberi saranan kepada kami untuk menghadiri kelas tuisyen. Namun, oleh kerana keadaan kewangan keluarga kami tidak mengizinkan, saya tidak dapat menghadiri kelas tuisyen. Saya bergantung kepada guru-guru saya yang baik dan sentiasa beri sokongan," kongsi Adlynna yang kini berusia 24 tahun.
Beliau melalui satu lagi peristiwa perit ketika berusia 14 tahun
Malah, pelajar itu ditimpa dengan satu lagi cabaran yang amat perit pada usia 14 tahun.
"Semasa saya di sekolah menengah, kawan rapat saya meninggal dunia dan ini membuat emosi dan fikiran saya bercelaru. Saya amat menitikberatkan dan menyokong perihal kesihatan mental," dedah Adlynna kepada BERITA Mediacorp.
"Tetapi pada masa itu, saya hanyalah seorang remaja yang terlalu takut untuk mencari sokongan mental kerana ia adalah satu stigma," tambahnya.
Adlynna Aziz yang datang daripada sebuah keluarga susah juga mula bekerja secara sambilan pada usia 15 tahun.
Beliau tekad untuk membantu keluarganya meskipun perlu menduduki peperiksaan GCE 'N' pada tahun yang sama.
Menurut Adlynna, beliau berjaya mengharungi cabaran yang dihadapinya berkat bimbingan dan sokongan para guru dan mentor di sekolahnya.
Guru subjek Pengajian Perniagaan dan Prinsip Perakaunan (POA) beliau antaranya mendorong Adlynna untuk berjaya dalam pelajarannya sehingga beliau berjaya memasuki Program Asas Politeknik Nanyang (NYP).
DIBANTU OLEH GURU DAN MENTOR, ADLYNNA KINI TERUSKAN USAHA SEBAGAI MENTOR PULA
Mentor kerjaya semasa di Politeknik juga banyak memberikan kata-kata semangat dan usaha untuk membantu beliau mendapatkan pekerjaan sebagai Penganalisis Data Rujukan di syarikat JP Morgan.
Beliau ingin membalas budi baik yang diterimanya selama ini.
Adlynna kini menyumbang kembali kepada masyarakat sebagai menjadi seorang mentor di Yayasan MENDAKI.
"Saya juga berasa terhutang budi kepada masyarakat dan mereka yang telah banyak membantu saya kerana tanpa mereka, saya mungkin masih dalam fasa 'feeling lost' atau 'hilang diri'," kongsi Adlynna yang mula menjadi mentor pada 2021.
"Ibu saya selalu katakan, “Ingat, walaupun kita susah, banyak lagi yang susah di luar sana”. Pengetahuan dan kemahiran yang saya ada juga harus dikongsi kerana ia pasti akan memanfaatkan seseorang di luar sana," tambah beliau.
USIA MUDA BUKAN PENGHALANG JADI MENTOR
Bagi Adlynna, usianya yang muda bukan penghalang untuk membimbing dan berkongsi pengalaman bersama para menti di bawah jagaannya.
"Jauh perjalanan, luas pemandangan. Ini adalah peribahasa yang saya selalu dengar semasa di sekolah menengah. Saya sering berkongsi pengalaman hidup saya dengan menti saya. Saya akan berkongsi cabaran yang telah saya lalui serta kata-kata semangat untuk mengatasi segala masalah.
"Pada mulanya, menti saya berasa segan untuk berkongsi aspirasi mereka kerana mereka khuatir akan reaksi atau pendapat yang akan diterima. Sebagai mentor, saya banyak meyakinkan menti saya bahawa aspirasi mereka adalah sesuatu yang mereka harus banggakan. Saya banyak membimbing menti saya untuk meninjau kursus dan pekerjaan yang sedia semasa di Politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE)," ujar Adlynna.
Untuk Adlynna, platform mConnect memudahkan lagi proses pementoran termasuk pemadanan dan pemilihan mentor dan menti.
"mConnect membantu dari segi mencari mentor dan menti yang sesuai dari segi proses pemilihan dan pemadanan. Bukan sahaja para menti dapat memilih mentor yang sesuai, para mentor juga dapat memperuntukkan masa yang sesuai bagi sesi pementoran,"
Orang ramai boleh mendaftar sebagai seorang mentor atau mentor di laman ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.