Skip to main content

Singapura

Cabaran Belia Ramadan 2025 pupuk keyakinan diri, kukuhkan keyakinan, dan tingkatkan daya tahan belia

Anggaran Waktu Membaca:
Cabaran Belia Ramadan 2025 pupuk keyakinan diri, kukuhkan keyakinan, dan tingkatkan daya tahan belia

Di Masjid Al-Islah (Timur), belia sertai sesi khatam beramai-ramai. (Gambar: MUIS)

SINGAPURA: Lebih 300 belia menyertai Cabaran Belia Ramadan (RYC) tahun ini, naik tiga kali ganda berbanding tahun lalu.

Kem dua hari yang berlangsung pada 15 dan 16 Mac lepas itu diketuai oleh Pegawai Pembangunan Belia dan Pemimpin Belia Masjid di empat daerah – Masjid Al-Iman (Barat), Masjid Al-Muttaqin (Utara), Masjid Al-Islah (Timur) dan Masjid Sultan (Selatan).

Dengan tema 'Membina Keyakinan, Memupuk Kebijaksanaan', RYC tahun ini mengubah ruang-ruang masjid sebagai hab bagi penglibatan belia.

Program yang dijalankan menggabungkan aktiviti kontemporari dengan nilai-nilai Islam, sekaligus menunjukkan bagaimana masjid-masjid kekal relevan dan menarik minat generasi muda.

Kem itu berasaskan tiga nilai teras iaitu keyakinan, daya tahan, dan pemerkasaan (CoRE), yang disulam dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan di keempat-empat daerah tersebut.

AKTIVITI YANG DIJALANKAN KEMPAT-EMPAT DAERAH

Di Masjid Al-Muttaqin (Utara), belia menyertai aktiviti fizikal seperti cabaran ketinggian dan membuat 'Terrarium', yang bertujuan mengajarkan konsep Tawakkal dan keyakinan diri.
Di Masjid Al-Muttaqin (Utara), belia menyertai aktiviti fizikal seperti cabaran ketinggian bertujuan mengajarkan konsep Tawakkal dan keyakinan diri. (Gambar: MUIS)
Sementara itu, di Masjid Sultan (Selatan), mereka terlibat dalam 'Ramadan Quest', sebuah aktiviti yang memberi peluang untuk mendalami sejarah Islam dan budaya di kawasan Haji Lane.

Di Masjid Al-Islah (Timur), aktiviti 'Ihsan Quest' membawa belia mendekati orang awam untuk meningkatkan kesedaran mengenai Ramadan, disertai dengan sesi khatam beramai-ramai.

Di Masjid Al-Iman (Barat), mereka menyelesaikan teka-teki dalam aktiviti 'Scavenger Hunt' dan menyertai 'Sukan Olimpik Masjid', yang menguji pengetahuan dan kekuatan fizikal mereka mengenai Ramadan.
Di Masjid Al-Iman (Barat), para belia menyelesaikan teka-teki dalam aktiviti 'Scavenger Hunt'. (Gambar: MUIS)
Sebagai acara kemuncak, semua peserta berkumpul di Masjid Al-Amin untuk berbuka puasa bersama, mendirikan solat tarawih, dan mengikuti ceramah oleh Ustazah Sharifah Inshirah dan Ustaz Abdullah Ahmad.

JUMLAH PESERTA BELIA MENINGKAT HASIL PENDEKATAN YANG DITERAJUI BELIA

Kejayaan RYC tahun ini dikukuhkan lagi dengan pendekatan yang diterajui belia di mana kesemua program-program dijalankan oleh pasukan Pegawai Pembangunan Belia dan Pemimpin Belia Masjid.

Beberapa peserta menjalani latihan tambahan yang dikendalikan oleh ahli Lembaga Pengurusan Masjid (MMB) di Masjid Al-Falah bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam memimpin program RYC.

Ustazah Nur Hidayah Roslee, Pegawai Pembangunan Belia Kanan di Masjid Daerah Timur dan penganjur RYC 2025, berkongsi bahawa program kali ini direka khas untuk menyesuaikan diri dengan generasi muda hari ini.
Ceramah oleh Ustazah Sharifah Inshirah dan Ustaz Abdullah Ahmad. (Gambar: MUIS)
"Dalam mereka bentuk program ini, kami ingin mencipta pengalaman yang sesuai dengan generasi muda hari ini dan mencipta detik-detik bermakna untuk penemuan bagi belia kami. Kami ingin menunjukkan bahawa aktiviti yang menyeronokkan juga boleh mengangkat kerohanian mereka, dan apa yang sangat memuaskan adalah melihat para peserta menghubungkan pengalaman mereka dengan pertumbuhan rohani mereka," kata Ustazah Hidayah.

Sementara itu, Pengerusi Bersama SalamSG 2025, Ustaz Mohd Fairuz Shah Sudiman, menyatakan bahawa program-program yang dijalankan di masjid berpotensi untuk memperkayakan rohani golongan belia.

"Kami membayangkan semula bagaimana golongan muda berinteraksi dengan masjid. Melalui RYC, kami telah menunjukkan bahawa program masjid boleh memperkayakan rohani dan pada masa yang sama menarik bagi belia. Sambutan yang penuh semangat menunjukkan bahawa apabila kita mencipta persekitaran yang betul, golongan muda secara semula jadi akan tertarik dengan aktiviti di masjid. Kami berharap para belia ini akan turut serta dalam program belia kami yang lain di masjid selepas bulan Ramadan," kata Ustaz Fairuz.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita