Skip to main content

Singapura

CAAS terlebih bayar S$1 juta geran, kelemahan kawalan PA antara kesilapan dibangkitkan AGO

Anggaran Waktu Membaca:
CAAS terlebih bayar S$1 juta geran, kelemahan kawalan PA antara kesilapan dibangkitkan AGO

Ibu pejabat AGO. (Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)

Diterbitkan : 19 Jul 2023 03:47PM Dikemas Kini : 19 Jul 2023 06:10PM
SINGAPURA: Pembayaran geran berlebihan sebanyak S$1 juta oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan kawalan lemah dalam Persatuan Rakyat (PA) antara kelemahan yang dibangkitkan Pejabat Juruaudit Negara (AGO) pada Rabu (19 Jul).

Laporan audit bagi agensi-agensi awam Singapura pada tahun 2022/2023 oleh AGO itu turut menarik perhatian kepada empat geran utama COVID-19 - Skim Bantuan Pekerjaan (JSS), Geran Tunai Sewa (RCG), Skim Bantuan Sewa (RSS) dan skim Baucar SingapoRediscovers.

Ini memberi penekanan kepada tiga bidang yang perlu diberi lebih banyak perhatian oleh agensi-agensi awam apabila melaksanakan skim seperti itu.

AGO mengaudit kesemua 16 kementerian pemerintah, lapan badan negara, tiga badan berkanun, empat syarikat pemilik pemerintah dan dua akaun lain.

Ia turut menjalankan audit tertentu ke atas empat lembaga berkanun dan empat dana pemerintah yang penyata kewangannya tidak diaudit AGO.

GUNA AKAUN BANK PERIBADI BAGI PEMBAYARAN TUNAI

Laporan itu sedia maklum tentang kesilapan dalam pemerolehan dan kelemahan dalam kawalan di dalam PA.

Ini termasuk kesilapan dalam penilaian dan pemberian tiga tender. Skor yang diberikan oleh jawatankuasa penilaian tender bagi kriteria-kriteria tertentu, tidak berasas atau dinilai secara tidak tepat.

Bagi dua tender, penilaian bagi kriteria tambahan dan cara skor diberikan, hanya ditentukan selepas tender ditutup.

Tiga pertubuhan akar umbi juga memberi atau memperbaharui kontrak dengan dua kontraktor yang disenarai hitam.

Selain itu, AGO mendapati berlaku amalan pengurusan wang tidak wajar bagi skim-skim bantuan kebajikan dalam dua pertubuhan akar umbi.

Salah satu pertubuhan tersebut memindahkan S$707,000 dari April 2019 hingga Mei 2022 ke akaun bank peribadi supaya kakitangan boleh mengeluarkan wang bagi pengagihan tunai kepada para penerima bantuan kebajikan di acara-acara yang dianjurkan.

Wang itu dipindahkan dalam tujuh insiden berasingan, dengan jumlah yang dipindahkan dalam setiap insiden adalah antara S$10,000 hingga S$200,000.

Bagi pertubuhan akar umbi kedua, S$334,500 dipindahkan dari Julai 2020 hingga November 2021 ke akaun bank peribadi seorang kakitangan. Ini digunakan untuk membuat bayaran kepada para penjaja dan penjual bagi tuntutan di bawah satu skim bantuan baucar.

Wang tersebut dipindahkan dalam 46 insiden berasingan, dalam jumlah antara S$500 hingga S$21,200.

Menurut PA, perkara sebegini dilakukan disebabkan keperluan operasi, dedah laporan AGO. Ia menambah bahawa amalan sedemikian adalah "tidak wajar".

Bagi dua projek kemasyarakatan yang dijalankan selama lebih 10 tahun, pertubuhan akar umbi juga tidak menyertakan perjanjian rasmi dengan rakan khidmat luar, yang biasanya menetapkan terma dan syarat kerjasama.

BAYARAN LEBIHAN GERAN

CAAS mentadbir beberapa skim geran untuk menyokong industri penerbangan semasa pandemik COVID-19.

Jumlah yang diagihkan bagi salah satu skim geran, antara 1 September 2020 hingga 31 Mac 2022, adalah S$114.52 juta.

Pemeriksaan AGO mendapati ada lebihan berjumlah S$1 juta dalam pembayaran bagi skim geran pada tempoh tersebut.

Antara kelemahan yang didapati menyebabkan perkara ini termasuk kurangnya pemeriksaan dan kawalan oleh CAAS dalam memastikan geran yang diagihkan adalah sah, tepat dan memenuhi terma dan syarat geran.

Bagi skim yang sama, AGO turut mendapati beberapa kriteria kelayakan dinyatakan secara tidak tepat atau tidak dinyatakan sama sekali dalam perjanjian geran dengan dua syarikat.

Kesilapan itu disebabkan tuntutan salah oleh syarikat-syarikat yang menyertakan pekerja dan jumlah tidak layak dalam tuntutan geran masing-masing.

Kesemuanya S$0.65 juta diberikan kepada lima syarikat bagi 74 kakitangan yang tidak layak bagi geran berkenaan. Pekerja-pekerja terbabit tidak memenuhi kriteria seperti kerakyatan atau mempunyai lesen profesional sah semasa tuntutan dilakukan.

Baki S$0.35 juta diberikan kepada empat syarikat bagi 447 pekerja. Syarikat-syarikat itu menyertakan jumlah tidak tepat dalam tuntutan mereka.

GERAN BERKAITAN COVID-19

Pemerintah membelanjakan S$72.3 bilion dalam perbelanjaan COVID-19 pada Tahun Kewangan 2020/21 dan 2021/22. AGO menjalankan audit tematik dalam dua bahagian perbelanjaan COVID-19.

Dalam bahagian pertama, audit bagi FY2021/22 merangkumi pemerolehan dan perbelanjaan tertentu berkaitan COVID-19 di Kementerian Tenaga Manusia, Lembaga Penggalakan Kesihatan dan Penguasa Tanah Singapura.

Dalam bahagian kedua, audit tematik dalam FY 2022/23 meliputi empat skim geran COVID-19.

AGO mendapati, pada dasarnya, Kementerian Kewangan (MOF), Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) dan
Lembaga Pelancongan Singapura (STB) sudah melakarkan skim secara terperinci dan menetapkan proses serta kawalan bagi setiap peringkat pelaksanaan geran.

Ini termasuk bayaran, pemantauan dan semakan, perhentian geran dan sebagainya. Ia akur akan beberapa amalan baik yang dilaksanakan agensi ini dalam pentadbiran geran.

Ia juga sedia maklum ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki, seperti dalam dokumentasi pertimbangan utama, penilaian risiko dan kelulusan bagi senario risiko.

Tiada juga pembahagian tugas antara penilai dengan pihak yang memberi kelulusan untuk keputusan tertentu bagi sesebuah skim, dan penangguhan dalam perhubungan terma dan syarat, yang memberikan pemerintah kuasa untuk mendapatkan kembali bayaran yang seharusnya tidak diberikan.

Bagi skim SingapoRediscovers, AGO mendapati beberapa penjual meraih manfaat daripadanya sedangkan mereka tidak menyediakan dokumen yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa mereka memenuhi kriteria kelayakan berkaitan jumlah pelancong. Kesemuanya S$17.84 juta diagihkan kepada peniaga-peniaga ini.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita