CAAS tarik balik penggantungan Boeing 737 MAX jika isu keselamatan 'ditangani secukupnya'
Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) menyatakan hari ini (29 Mac) bahawa ia akan membenarkan operasi Boeing 737 MAX diteruskan semula hanya bila ia mendapati tiada isu keselamatan pada jenis pesawat itu.

Gambar fail pesawat SilkAir. (Gambar: SilkAir)
SINGAPURA: Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) menyatakan hari ini (29 Mac) bahawa ia akan membenarkan operasi Boeing 737 MAX diteruskan semula hanya bila ia mendapati tiada isu keselamatan pada jenis pesawat itu.
"Kami hanya akan menarik balik penggantungan itu jika kami berpuas hati bahawa semua isu keselamatan berkaitan dengan Boeing 737 MAX sudah ditangani dengan secukupnya," kata Pengarah Kanan CAAS Encik Tan Kah Han menerusi kenyataan kepada Mediacorp.
Encik Tan mengeluarkan komen tersebut dua hari selepas pengeluar pesawat Amerika mengumumkan tiga penambahbaikan pada sistem kawalan pesawat 737 MAX yang dikenali sebagai MCAS.
Perubahan pertama yang dibuat membolehkan MCAS membandingkan maklumat daripada kedua-dua sensor yang menentukan setakat mana ia kehilangan daya angkat.
Sebelum ini, MCAS hanya mengesan satu sensor pada satu-satu masa.
Selanjutnya, Boeing menyatakan bahawa MCAS akan hanya diaktifkan sekali bila ada percanggahan pada sensor.
Ketiga, MCAS tidak akan menghalang juruterbang daripada mengawal pesawat.
CAAS sudah diberikan taklimat tentang perkembangan terkini itu, kata Encik Tan.
"CAAS sedang berhubung rapat dengan Pentadbiran Penerbangan Federal Amerika Syarikat (FAA) dan pihak berkuasa lain, serta Boeing," tambahnya.
SilkAir adalah satu-satunya pengendali jenis pesawat berkenaan di Singapura. Syarikat itu mempunyai enam pesawat tersebut, kesemuanya digantung operasi menyusuli nahas Ethiopian Airlines yang meragut 157 nyawa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.