Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Butiran lebih 280 anggota KrisFlyer terdedah akibat pepijat sofwe: SIA

Butiran akaun lebih 280 anggota KrisFlyer serta rekod penerbangan mereka terdedah kepada penumpang lain akibat satu pepijat sofwe, menurut Singapore Airlines kepada Channel NewsAsia pada Sabtu (5 Jan). Dalam beberapa kes, nombor pasport penumpang yang terjejas mungkin turut terdedah.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Jan 2019 04:11PM Dikemas Kini : 06 Jan 2019 09:28PM

SINGAPURA: Butiran akaun lebih 280 anggota KrisFlyer serta rekod penerbangan mereka terdedah kepada penumpang lain akibat satu pepijat sofwe, menurut Singapore Airlines kepada Channel NewsAsia pada Sabtu (5 Jan). Dalam beberapa kes, nombor pasport penumpang yang terjejas mungkin turut terdedah.

Pepijat tersebut disebabkan perubahan kepada laman utama Singapore Airlines pada hari sebelumnya.

Menurut SIA, insiden berkenaan berlaku antara 2.00 pagi hingga 12.15 tengah hari pada Jumaat.

"Kami dimaklumkan tentang beberapa kes di mana seorang pelanggan yang log masuk ke dalam akaun KrisFlyer, dalam keadaan tertentu, dapat melihat beberapa butiran pelanggan lain," seorang jurucakap SIA memberitahu Channel NewsAsia.

Syarikat penerbangan itu menyatakan secara keseluruhannya terdapat 284 kes sedemikian. 277 daripada jumlah tersebut mungkin sudah terlihat nama, alamat emel, nombor akaun, status peringkat keanggotaan, jumlah mata terkumpul atau 'KrisFlyer miles', transaksi 'miles' terkini, penerbangan seterusnya dan ganjaran KrisFlyer penumpang lain.

Dalam tujuh kes lain pula, butiran pasport penumpang juga diedahkan.

Butiran-butiran tersebut tertedah apabila dua anggota KrisFlyer secara serentak memasuki akaun masing-masing dan mengakses transaksi yang menayangkan butiran maklumat anggota. Mereka juga perlu dikendalikan sistem pelayan (server) yang sama dalam sistem, menurut SIA.

Syarikat itu menambah bahawa isu tersebut sudah diselesaikan. Insiden berkenaan terdedah apabila seorang anggota KrisFlyer, Tricia Leo, menyuarakan kebimbangannya di Facebook berkenaan pembocoran keselamatan pada Sabtu.

"Saya log masuk ke laman (akaun) KrisFlyer saya dan dapat melihat alamat emel orang lain di laman profil saya," menurut catatannya di Facebook.

"Saya cuba log in sekali lagi dan dapat melihat semua rekod beliau, penerbangan seterusnya, (bilangan) 'miles"..."

Tambah Cik Leo, beliau sudah menghubungi Singapore Airlines dan diberitahu untuk "log keluar selama 24 jam kerana mereka sedang menaik taraf sistem".

"PEPIJAT SOFWE SEKALI SAJA"

Apabila ditanya tentang akaun Cik Leo, SIA menyatakan pihaknya tidak dapat mengulas kes-kes individu atas kepentingan keperibadian pelanggan. Pihaknya menambah insiden tersebut adalah akibat "pepijat sofwe sekali sahaja" dan bukan akibat godaman pihak luar ke dalam sistem atau akaun para anggota.

Syarikat penerbangan itu menekankan tiada sebarang perubahan dibuat ke mana-mana akaun anggota dan tiada butiran kad kredit didedahkan. SIA juga menyatakan pihaknya sedang berhubung secara langsung dengan para penumpang yang terjejas.

"Kami juga sudah memaklumkan secara sukarela (tentang insiden ini) kepada Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) Singapura," menurut SIA lagi.

"Perlindungan data peribadi para pelanggan adalah keutamaan amat penting bagi SIA, dan kami menyesali insiden ini. Langkah segera sedang diambil untuk memastikan ia tidak akan berulang lagi."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan