Butiran akaun segelintir pelanggan Instarem dapat dilihat oleh pengguna lain susuli 'kejadian teknikal'
Butiran akaun beberapa pengguna Instarem didedahkan di aplikasi pengguna lain pada malam Selasa (13 Mei), dalam apa yang disifatkan oleh syarikat pembayaran rentas sempadan itu sebagai "satu insiden teknikal".
Seorang pengguna menggunakan kad amaze Instarem di telefon bimbit mereka. (Gambar fail: laman Instarem)
Menjawab pertanyaan Mediacorp, Instarem menyatakan pada Rabu (14 Mei) ia telah dimaklumkan bahawa "sejumlah kecil" pengguna terjejas oleh "insiden teknikal itu".
"Pasukan kami mengambil tindakan segera untuk menyiasat bentuk dan skop kejadian itu, dengan keselamatan sistem-sistem kami menjadi keutamaan kami," ia menambah.
Berpangkalan di Singapura, Instarem membolehkan para penggunanya melakukan pemindahan wang antarabangsa ke lebih 60 negara dan ia menawarkan satu kad perjalanan berbilang mata wang yang dipanggil amaze.
Menurut profil LinkedIn syarikat itu, ia mempunyai lesen untuk beroperasi di Singapura, Australia, Malaysia, Hong Kong, Indonesia, Jepun, India, Eropah, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kanada.
Laman webnya menyatakan ia mempunyai lebih sejuta pelanggan.
Dua pengguna Instarem memberitahu Mediacorp bahawa apabila mereka melog masuk ke akaun masing-masing pada malam Selasa, mereka menemui butiran akaun milik pengguna lain.
Ini termasuk alamat emel pengguna itu, nombor telefon dan urus niaga terkini yang dilakukan di Instarem.
Kedua-dua pengguna menyatakan mereka menerima kiriman emel daripada platform itu yang menyatakan tentang "isu teknikal" yang berlaku pada kira-kira pukul 8.50 malam.
Syarikat itu menyatakan isu itu disebabkan "kelemahan yang tidak dijangkakan" dalam sistemnya, sambil menyatakan sesetengah pengguna mungkin telah "terlihat sebahagian maklumat pengguna" yang bukan dari akaun mereka sendiri.
Menurut emel itu, semua sistemnya kembali beroperasi seperti biasa dalam masa 30 minit.
Kedua-dua pengguna Instarem itu memberitahu Mediacorp bahawa mereka mula mengalami isu tersebut pada kira-kira pukul 9.30 malam.
Dalam kiriman emelnya, Instarem menyatakan data sulit pengguna seperti nombor pengenalan, butiran kewangan atau kata laluan tidak dibocorkan atau boleh diakses.
"Pasukan keselamatan dan kejuruteraan kami sedang menjalankan analisis tentang punca kejadian itu dan melaksanakan langkah-langkah perlindungan tambahan bagi mencegah kejadian serupa berlaku di masa hadapan," ia menambah.
"Kami amat menghargai kepercayaan yang anda berikan kepada kami, dan kami memandang serius tanggungjawab untuk melindungi maklumat anda. Kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan atau kebimbangan yang mungkin disebabkan perkara ini."
Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) memberitahu Mediacorp ia sedang menghubungi Instarem bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.