Burung jenjang eksotik terlepas dari rumah di kawasan Caldecott
Seekor burung jenjang mahkota berwarna kelabu, yang besar dan terancam pupus, terlepas daripada sebuah rumah berhampiran Thomson Road sebelum ia diangkat dan dibawa pulang oleh seorang amah dari rumah berkenaan. Insiden itu dirakamkan melalui video di media sosial.
SINGAPURA: Seekor burung jenjang mahkota berwarna kelabu, yang besar dan terancam pupus, terlepas daripada sebuah rumah berhampiran Thomson Road sebelum ia diangkat dan dibawa pulang oleh seorang amah dari rumah berkenaan. Insiden itu dirakamkan melalui video di media sosial.
Dalam satu video, seorang wanita dilihat sedang mengangkat burung berkaki panjang itu pada kedua-dua sayapnya tanpa sebarang masalah. Dalam satu lagi video yang dikirimkan ke laman Mothership, wanita berkenaan dilihat sedang menunjukkan arah kepada burung jenjang eksotik itu di sepanjang laluan pejalan kaki di Joan Road di kawasan perumahan Caldecott di Thomson Road.
Burung tersebut, yang dikenal pasti sebagai burung jenjang mahkota berwarna kelabu, tergolong dalam spesies terancam pupus yang berasal dari timur dan selatan Afrika, menurut National Geographic.
Mediacorp menemui para pemilik burung itu hari ini (7 Apr).
"Sebenarnya, kami membiarkan pagar dibuka jadi burung peliharaan kami melepaskan diri. Pembantu rumah saya perlu keluar untuk mengejarnya dan membawanya pulang," jelas seorang wanita daripada keluarga itu.
Apabila ditanya lanjut tentang burung tersebut, wanita itu enggan memberikan lebih banyak butiran.
"Apa yang boleh saya kongsikan adalah burung itu berlesen jadi kami ada permit untuk memeliharanya," ujarnya.
Menurut laporan berita dari tahun 2012, agensi yang ketika itu dipanggil Penguasa Agrimakanan dan Veterinar Singapura (AVA) menyatakan ia adalah sah di sisi undang-undang untuk mengimport dan memelihara burung eksotik sedemikian.
Laporan tersebut juga menarik perhatian bahawa pemilik mesti memohon bagi permit Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesis Fauna dan Flora yang Terancam dan sebuah lesen import AVA sebelum membeli haiwan sedemikian.
Mediacorp sudahpun mendapatkan komen daripada Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS).
Ketika Mediacorp sedang menemu bual wanita berkenaan, kelibat seekor burung yang menyerupai haiwan berbulu seperti dirakamkan dalam video-video itu kelihatan dari belakang beliau. Ia mengembangkan sayapnya sebelum beredar untuk membuang air besar.
Wanita itu juga berkata kedua-dua pembantu rumahnya dan burung tersebut kembali ke rumah dengan selamat.
“Dia (amah) sudah terbiasa dengannya, kadangkala ia (burung) keluar melepaskan diri."
Di daerah lain di Singapura, seekor burung jenjang mahkota berwarna kelabu juga kerap dilihat di Seletar Country Club. Sebuah video YouTube yang dimuat naik pada 2019 juga merakamkan dua burung jenjang serupa di kawasan Seletar Aerospace.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.