Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Burger & Lobster di Jewel Lapangan Terbang Changi dibenar sambung operasi

Anggaran Waktu Membaca:
  Burger & Lobster di Jewel Lapangan Terbang Changi dibenar sambung operasi

Gambar fail restoran Burger & Lobster di Jewel Lapangan Terbang Changi. (Facebook: Burger & Lobster Singapore)

SINGAPURA: Cawangan restoran Burger & Lobster di Jewel Lapangan Terbang Changi pada Selasa (5 Jul) dibenarkan kembali beroperasi, lebih sebulan selepas lesennya digantung disebabkan kes gastroenteritis.

Seramai 131 orang jatuh sakit selepas memakan makanan yang disediakan di restoran tersebut antara 7 Mei dengan 15 Mei, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Jumlah ini naik berbanding angka yang dilaporkan sebelum ini, iaitu 17 orang yang jatuh sakit. Lima daripada mereka dimasukkan ke hospital.

Sejak itu restoran Burger & Lobster di Jewel Lapangan Terbang Changi sudah mematuhi langkah-langkah yang ditetapkan SFA selepas cawangan tersebut digantung pada 16 Mei, menurut pihak berkuasa.

Mereka menambah bahawa syarikat itu sudah membuang semua makanan siap dimakan dan barangan makanan yang cepat rosak. Ia juga membersihkan premis tersebut, termasuk peralatan dan perkakas serta menghapuskan kuman pada permukaan, meja dan lantai.

Selain itu, semua pengendali makanan yang bekerja di sana dikehendaki menghadiri sekali lagi dan lulus Kursus Keselamatan Makanan Peringkat 1 dan diuji negatif bagi patogen bawaan makanan sebelum boleh kembali bekerja.

Para pegawai kebersihan makanan yang dilantik bertugas di restoran itu juga dikehendaki menghadiri semula dan lulus kursus Audit Kebersihan Pengendalian Makanan dan Minuman Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ).

"Menyusuli penarikan balik penggantungan itu, SFA akan terus memantau rapi Burger and Lobster Singapore Pte Ltd untuk memastikan ia mematuhi syarat keselamatan makanan," menurut pihak berkuasa.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan