Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Burger & Lobster cawangan Jewel digantung susuli 6 kes gastroenteritis

Operasi di cawangan Burger & Lobster di Lapangan Terbang Changi digantung menyusuli beberapa kes gastroenteritis atau selesema perut.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Burger & Lobster cawangan Jewel digantung susuli 6 kes gastroenteritis

Restoran Burger & Lobster di Jewel Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Burger & Lobster Singapore/Facebook)

SINGAPURA: Operasi di cawangan Burger & Lobster di Lapangan Terbang Changi digantung menyusuli beberapa kes gastroenteritis atau selesema perut.

Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan dalam satu kenyataan media bersama pada Isnin (16 Mei), ia sedang menyiasat enam insiden gastroenteritis yang menjejas 17 pelanggan yang makan di restoran tersebut antara 7 hingga 15 Mei.

"Memandangkan penularan yang disyaki sekarang, SFA menggantung operasi perniagaan makanan Burger and Lobster Singapore Pte Ltd di Jewel Lapangan Terbang Changi, berkuat kuasa 16 Mei 2022, sehingga dimaklumkan kelak," menurut pihak berkuasa itu pada Isnin.

Empat daripada pelanggan yang terjejas dimasukkan ke hospital. Seorang daripada mereka sudahpun dibenarkan pulang manakala tiga lagi masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil, tambah pihak berkuasa itu.

Baki kes sama ada meminta untuk mendapatkan rawatan pesakit luar, mengambil ubat sendiri atau pulih tanpa sebarang rawatan.

Semua pengendali makanan yang bekerja di premis berkenaan dikehendaki untuk menghadiri semula dan lulus Kursus Keselamatan Makanan Tahap 1 selain diuji negatif bagi patogen bawaan makanan sebelum mereka boleh menyambung semula bekerja sebagai pengendali makanan.

Pegawai kebersihan makanan yang dilantik bekerja di premis itu juga dikehendaki menghadiri sekali lagi dan lulus kursus Audit Kebersihan Makanan dan Minuman Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) sebelum mereka boleh menyambung semula bekerja selaku pegawai kebersihan makanan.

Pemegang lesen juga dikehendaki membersihkan dan membasmi kuman di premis, termasuk peralatan dan perkakas dapur selain membuang semua makanan siap dimakan serta bahan makanan mudah rosak.

SFA mengingatkan semua pengendali makanan supaya mematuhi amalan kebersihan makanan dan peribadi yang baik pada setiap masa.

Ia menyatakan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang didapati melanggar Akta Kesihatan Awam Sekitaran.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan