"Bulu di mana-mana dalam rumah": Penduduk blok HDB Depot Road dibelenggu isu burung merpati
Gambar: Cik El
Sejak dua tahun lalu, pasangan yang sudah berkahwin itu - yang meminta nama penuh mereka tidak didedahkan - menyaksikan jumlah burung merpati yang berkeliaran di blok mereka meningkat, sekali gus mengakibatkan timbulnya "keadaan yang tidak dapat ditangani".
"Saya tidak dapat membuka tingkat sama sekali kerana saya geli dengan bau dan apa yang saya lihat dengan najis burung itu di mana-mana," luah Cik El.
"Setiap kali kami membuka tingkap sedikit (pada waktu malam), kami bangun pada waktu pagi melihat bulu di mana-mana di dalam rumah. Ia sangat menjijikkan."
Percubaan mereka untuk menghalang merpati daripada bertenggek atau bersarang di belebas penghawa dingin mereka – seperti memasang penghalau burung dan membersihkan kawasan itu dengan cuka – ternyata tidak banyak membantu dalam menghalang burung tersebut.
"Kami masih melihat mereka bertenggek di antara penghalau burung tersebut dan kami perlu membersihkan tebing itu kerana najis mereka di mana-mana," ujar Encik Al.
Apabila Mediacorp mengunjungi blok berkenaan pada Selasa (23 Jul), beberapa kawasan di tingkat bawah serta permukaan blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dipenuhi najis burung.
Kebanyakan unit di bangunan 25 tingkat itu menutup belebas AC mereka dengan jaring, penghalau burung atau barangan boleh pantul cahaya seperti CD untuk menghalau merpati. Namun, najis dan bulu burung masih boleh dilihat pada tebing AC itu.
Beberapa blok bersebelahan - termasuk 103B dan 102A - dilihat mempunyai najis burung di lantai bawah tetapi tampak kurang terjejas berbanding 103A. Para penduduk mengatakan blok-blok lain di sepanjang Jalan Depot nampaknya tidak mempunyai masalah yang sama.
PENDUDUK GESA LAKSANA LEBIH BANYAK TINDAKAN KONKRIT
Sungguhpun para penduduk yang ditemui Mediacorp akur dengan usaha majlis bandaran itu, mereka menggesa agar lebih banyak tindakan konkrit dapat dilaksanakan untuk menangani keseriusan masalah burung merpati itu.
"(Majlis bandaran) akan beritahu kami bahawa mereka telah memasang risalah (untuk tidak beri makanan kepada burung merpati itu) atau mereka telah menghantar seseorang untuk duduk di sekitar lobi tersebut untuk memerhati dan jika mereka melihat sesiapa berbuat demikian, mereka akan mengendakan denda ke atas orang itu," kata seorang penduduk, yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Yong.
"Tetapi kadangkala mereka akan menghubungi saya semula untuk mengatakan bahawa mereka duduk di sana selama beberapa jam tetapi tidak melihat sesiapa jadi mereka akan kembali pada hari lain," kata lelaki berusia 43 tahun itu.
Penduduk lain memberitahu Mediacorp bahawa kamera pengawasan telah dipasang buat sementara waktu untuk membendung perbuatan membuang sampah secara sembarangan serta orang ramai daripada memberi makan burung. Walau bagaimanapun, ini kemudiannya dihapuskan, atas sebab yang tidak diketahui oleh para penduduk.
Majlis Bandaran Pantai Barat yang menguruskan estet tersebut, memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya sedia maklum mengenai masalah burung merpati itu. Ia bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan mengenai jumlah aduan berkaitan burung merpati yang telah diterima khususnya berhubung blok 103A Depot Road dan kawasan berdekatan.
"(Majlis Bandaran Pantai Barat) telah berusaha untuk menghuraikan perkara ini untuk tempoh yang dilanjutkan kini," jelasnya.
"Kami sedang mematuhi dengan teliti langkah-langkah inisiatif perintis baru-baru ini (yang dilaksanakan) oleh pelbagai agensi dan majlis bandaran untuk menangani jumlah burung merpati," kata majlis bandaran itu, merujuk kepada inisiatif perintis oleh Lembaga Taman Negara (NParks), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) yang bermula bulan lalu.
Di bawah inisiatif selama enam bulan itu, tiga estet majlis bandaran dengan jumlah burung merpati yang banyak - Ang Mo Kio, Bishan-Toa Payoh dan Tanjong Pagar - akan mempertingkatkan usaha penakaian burung tersebut.
Pihak berkuasa juga akan berganding bahu dengan tiga majlis bandaran tersebut serta para penjaja, perniagaan F&B dan pekerja pembersihan untuk mempertingkatkan pengurusan sisa makanan, dalam usaha mengurangkan sumber makanan bagi burung merpati itu.
Majlis Bandaran Pantai Barat tidak memberi jawapan kepada pertanyaan Mediacorp mengenai sama ada pihaknya akan mempertimbangkan huraian tetap dalam menangani jumlah burung merpati tersebut. Ia sebaliknya, menyatakan bahawa ia akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah untuk menangani hal tersebut.
AP Rachel Ong (PAP-West Coast) berkata lebih ramai pekerja telah dikerahkan di kawasan tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Kami harap untuk melihat perkembangan lanjut dan akan terus melakukan yang terbaik bagi penduduk kami," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.