Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bulan Ramadan masa buat masyarakat Islam setempat terus sebarkan rahmah di tengah virus korona, kata Presiden Halimah

Pandemik COVID-19 yang terus menghimpit Singapura menjadi bukti bagaimana masyarakat tempatan bersatu untuk menggembleng tenaga bagi membantu golongan yang mudah terjejas semasa waktu mencabar ini. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pandemik COVID-19 yang terus menghimpit Singapura menjadi bukti bagaimana masyarakat tempatan bersatu untuk menggembleng tenaga bagi membantu golongan yang mudah terjejas semasa waktu mencabar ini.

Menulis catatan itu di Facebooknya hari ini (23 Apr), Presiden Halimah Yacob berkata dengan kehadiran bulan Ramadan yang dijangka bermula esok, tiba masanya masyarakat Islam di sini memperkukuhkan iman mereka dan mencurahkan belas ihsan serta berkongsi kebaikan sesama manusia terutamanya kepada golongan kurang berkemampuan.

Salah satu inisiatif yang melantunkan semangat kemasyarakatan kian menyerlah tatkala masa sukar ini adalah #SGUNITED Buka Puasa, kata Puan Halimah. Di bawah inisiatif yang diterajui MUIS itu, bukan sahaja kumpulan masyarakat mudah terjejas akan menerima agihan makanan percuma tetapi juga para karyawan jagaan kesihatan serta keluarga mereka. Usaha murni itu sebagai memberi penghargaan kepada kakitangan barisan hadapan yang berjuang melawan COVID-19 setiap hari.

"Tahun ini, kita tidak dapat melakukan amalan biasa seperti berbuka puasa bersama rakan-rakan atau saudara-mara memandangkan kita sedang mematuhi langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 yang sudah dilanjutkan untuk empat minggu lagi," ujar Presiden.

Ini termasuk, menurut beliau, tidak dapat mengerjakan solat tarawih di masjid atau menikmati kesyahduan suasana menunaikan solat Aidilfitri bersama-sama di pagi Hari Raya.

Namun, kata Puan Halimah, ini adalah masa luar biasa yang menuntut kita untuk mengambil langkah-langkah yang sangat sukar.

"Saya yakin kita akan bangkit lebih kuat daripada pengalaman ini, dari segi keimanan kita dan sebagai satu masyarakat.

"Saya juga amat berbangga dengan masyarakat Islam kita yang menyokong dan mematuhi langkah-langkah (pemutus jangkitan) ini untuk memerangi COVID-19 dan menjaga keselamatan semua rakyat Singapura," luahnya.

Puan Halimah berharap masyarakat Islam Singapura akan terus saling menyokong antara satu sama lain dan mendapatkan fadilat Ramadan sepanjang menjalani bulan penuh keberkatan ini.

Akhir kata beliau: "Saya ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam dan semoga anda memperolehi Ramadan yang diberkati." 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan