Bulan Raikan Ilmu berjaya capai sasaran dekati lebih 10,000 peserta
Bulan Raikan Ilmu yang dianjurkan Yayasan MENDAKI buat kali pertama pada Oktober berjaya menarik penyertaan lebih 10,000 orang.
SINGAPURA: Bulan Raikan Ilmu yang dianjurkan Yayasan MENDAKI buat kali pertama pada Oktober berjaya menarik penyertaan lebih 10,000 orang.
Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli memberikan perkembangan tersebut di perasmian acara Pesta Pembelajaran di Hab Tampines Kita (OTH) hari ini (2 Nov).
Acara hujung minggu itu yang berlangsung hingga 3 November menutup tirai kempen sepanjang bulan bertujuan untuk membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.
Encik Masagos, yang juga Pengerusi MENDAKI berkata dengan sokongan daripada 90 rakan kerja, pelbagai kegiatan dan acara bagi seisi keluarga diadakan di serata Singapura, bagi menerapkan budaya menimba pelbagai bentuk ilmu dalam segenap lapisan masyarakat.
Lebih 1,000 orang misalnya mengikuti acara Membaca@Taman pada 6 Oktober manakala Pesta Pembelajaran di OTH hujung minggu ini dijangka menarik 8,000 pengunjung.
"Acara seperti ini antara lain adalah untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat kita. Pentingnya ilmu sebagai landasan untuk kejayaan. Tapi itu pun tidak cukup kerana mereka harus terus mencapai pendidikan yang sempurna dan relevan supaya mereka kekal berdaya saing dalam suasana yang terus berubah," kata Encik Masagos.
Acara di OTH turut diserikan dengan kehadiran Anggota Parlimen (AP) Melayu yang lain termasuk Dr Mohd Maliki Osman, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Encik Amrin Amin, Encik Zaqy Mohd dan Cik Rahayu Mahzam.
KEGIATAN DI ASTAKA BERITAMEDIACORP CIPTA PENGALAMAN BARU BUAT PENGUNJUNG
Para pengunjung disajikan dengan lebih 60 astaka yang menawarkan pelbagai kegiatan berteraskan ilmu pengetahuan dan pembelajaran serta teknologi baru.
Sebagai salah satu rakan kerja Bulan Raikan Ilmu, BERITAmediacorp ikut serta membawa bilik berita langsung ke Hab Tampines Kita.
"Saya pelajari daripada BERITAmediacorp tentang Bahasa Melayu yang jarang saya gunakan. Jadi, di sini saya dapat mengasah Bahasa Melayu saya dan pertanyaan saya," kata Cik Khairunisah Begum.
"Pengalaman untuk jadi penyampai BERITAmediacorp, susahlah kan. Rasa seram ada. Nak berbual baku juga susah tapi rasa teruja itu ada," kata Cik Shazwani Abdul Latif.
Pesta Pembelajaran berlangsung pada 2 dan 3 November di Hab Tampines Kita, 10 pagi hingga 8 malam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.