Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bulan Kebapaan: Usaha bantu banduan eratkan hubungan dengan keluarga

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sudah hampir tiga tahun sejak Fandi (bukan nama sebenar) dihukum penjara atas kesalahan dadah.

Dalam tempoh itu, dia berusaha keras untuk memperbaiki hubungan dengan anak-anaknya.

Fandi gembira apabila mendapat peluang untuk menyertai program 'Memancing Bersama Ayah' (Fishing With Dad), sempena Bulan Kebapaan anjuran bersama Pusat Kebapaan (CFF) dan Bapa Sepanjang Hayat (BSH).

Dua bekas banduan dan 12 pesalah di bawah Skim Pelepasan Harian (DRS) serta Skim Persediaan Pekerjaan (EMPs) mendapat peluang untuk melalukan aktiviti memancing udang bersama anak-anak mereka.

Program itu bertujuan untuk memupuk hubungan emosi dan mengukuhkan ikatan bapa-anak, yang sangat penting bagi bapa yang sedang atau telah menjalani hukuman penjara.

Menurut jurucakap BSH, Encik Bramsha Osman, aktiviti memancing adalah cara yang ringkas namun berkesan untuk menggalakkan komunikasi antara bapa dan anak.

Tambahnya: "Menerusi aktiviti memancing, ia juga boleh membina kepercayaan dan mengukuhkan idea bahawa mereka boleh hadir serta terlibat dalam kehidupan anak-anak mereka. Ia juga membantu golongan bapa untuk menikmati kepuasan dan menyedari arah tuju masing-masing apabila mereka dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang bapa."

Program setengah hari itu juga termasuk perbincangan tentang topik-topik penting seperti peranan seorang bapa dan cara membina hubungan yang erat dengan anak-anak.

"Saya berasa amat gembira kerana menerusi aktiviti ini, saya dapat meluangkan masa bersama anak-anak saya. Ini adalah kali pertama saya memancing bersama anak-anak dan meluangkan masa bersama mereka. Saya berharap yang saya dapat menjadi seorang ayah yang boleh memahami perasaan mereka. Oleh itu, cara ini amat bermakna bagi diri saya kerana ia dapat merapatkan silaturrahim saya bersama anak-anak saya," kata Fandi, yang masih berada dalam pengawasan.

Dia dijadualkan dibebaskan menjelang akhir tahun ini.

Seorang lagi peserta, Amir (bukan nama sebenar), juga merasa teruja kerana berpeluang meluangkan masa bersama anak-anaknya.

"Ini bukan kali pertama saya menyertai aktiviti ini, tetapi saya sangat menantikan peluang ini kerana ia membolehkan saya mengeratkan lagi hubungan dengan anak-anak saya," kata Amir.

Oleh itu, beliau menyatakan bahawa acara yang dianjurkan ini sangat bermakna bagi dirinya.

PENTINGNYA GOLONGAN BAPA MAINKAN PERANAN

Dalam pada itu, Encik Bramsha Osman turut menekankan peranan bapa dalam keluarga dan betapa pentingnya mereka meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

"Kanak-kanak perlu berasa selamat dan disokong, dan apabila seorang bapa terlibat secara aktif, ia memupuk rasa kebersamaan dan kestabilan. Penglibatan ini membantu dalam perkembangan emosi dan sosial anak-anak mereka.
 
"Selain itu, menghabiskan masa berkualiti membolehkan bapa mencontohi tingkah laku dan nilai positif serta membentuk perwatakan anak-anak mereka. Ia bukan setakat hadir secara fizikal tetapi juga mewujudkan interaksi bermakna yang membawa kepada kenangan dan pengajaran yang berkekalan," tambah Encik Bramsha.
Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan