Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bulan Bahasa Online: Cabaran teknologi, pengalaman kreatif

Kempen Bulan Bahasa pada tahun ini berhijrah sepenuhnya ke wadah digital ekoran pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kempen Bulan Bahasa pada tahun ini berhijrah sepenuhnya ke wadah digital ekoran pandemik COVID-19.

Apakah kandungan kreatif dan interaktif yang berkesan, untuk menarik minat dan membabitkan penyertaan penonton?

Cabaran inilah antara yang dilalui pihak penganjur kempen Bulan Bahasa tahun ini.

BERITAmediacorp meninjau sejauh mana mereka berjaya menyesuaikan diri dalam usaha melestarikan bahasa dan budaya Melayu secara online.

TAK BERIKAN PENGALAMAN YANG SAMA

Sedang pelajar seusianya berehat selepas sehari suntuk di sekolah, Sharifah Khadijah Syed Mustafa Alsagoff, pelajar Menengah 3 dari Sekolah Menengah Cedar Girls, memilih untuk menyertai sebuah bengkel dikir barat ‘Pop Dikir’ online.

Dianjurkan oleh rakan Bulan Bahasa, Kamelia Pte Ltd, bengkel tersebut mengajar pelajar tentang format dan struktur lirik lagu-lagu dikir barat, selain penyusunan semula lirik lagu yang disesuaikan kepada muzik pop kontemporari.
Tidak seperti program Bulan Bahasa yang biasanya dianjurkan di estet kejiranan atau di kelab masyarakat, pada tahun ini ia beralih ke wadah digital dek pandemik COVID-19.

Persoalannya ialah - sejauh manakah platform digital mampu menjadi jambatan dalam usaha melestarikan bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan pelajar?

Memberikan pandanganny sebagai seorang peserta, Sharifah Khadijah berkata ada banyak cabarannya.

Selain tidak dapat bersemuka dengan pihak pengendali, pembelajaran yang dilaluinya menerusi online itu turut tidak memberikan pengalaman sepenuhnya.

Akibatnya, mungkin ada beberapa aspek bengkel yang tidak dapat diselami dengan betul.

Ini menurut Sharifah Khadijah bukan salah pihak pengendali atau pihak-pihak lain, namun wadah dan platform yang memisahkan interaksi fizikal antara kedua pihak menghambat perjalanan pembelajarannya itu.

"Saya berasa pengalamannya tentu lain tidak dapat jumpa muka ke muka, tidak dapat pengalaman yang penuh, dan saya tidak rasa dapat jumpa orang baru di majlis-majlisnya semua itu.

"Saya rasa dapat melihat seni dipersembahkan secara langsung itu lebih berkesan dapat dengar suaranya dengan lebih lancar, dapat melihat seni gaya tarian juga ada lebih banyak perincian yang boleh dilihat, dan melihatnya menerusi skrin itu tidak dapat rasa yang sama," kongsi beliau.
Kakak Sharifah Khadijah, Sharifah Najad, juga merupakan seorang penggiat seni.

Berperanan selaku ‘juara dikir’ dari kumpulan Wahana Deksu, beliau sendiri kini menggunakan wadah digital seperti Zoom bagi menjalani sesi latihan untuk mempersiapkan diri bagi peraduan dikir barat Piala Suara Serumpun.

"Jadi dengan ini latihan semua dilakukan secara online melalui Zoom, nak rasakan seni itu secara online tak dapat rasa yang sama, memang lain, tenaga itu kalau nak kita bandingkan.

"Tapi kita beri yang terbaik dalam apa jua situasi," kongsinya.

PLATFORM ONLINE BERIKAN BANYAK RUANG TAMBAHAN

Meski ada kekurangan dari aspek interaksi dengan peserta, penyelia bengkel yang juga duta Bulan Bahasa Aqmal N berpendapat pendekatan baru ini lebih berkesan berbanding cara tradisional.

"Bagi saya sama ada wadah itu berkesan atau tidak,ada baik dan buruk, wadah digital ini senang kerana lebih senang untuk kita kongsi pautan, bahan-bahan untuk kita mengajar kerana kita menggunakan Padlet, saya menggunakan Power Point jadi mudah untuk kita kongsi dan juga mudah untuk para pelajar menerima bahan bahan yang kita kongsi.

"Ianya berbeza bagi saya bukannya bagus atau tak bagus tapi lebih kepada berbeza," kongsi Aqmal N.

Jelasnya lagi, sama ada mengenalkan kegiatan secara online atau bersemuka usaha untuk membangkitkan rasa cinta terhadap bahasa dan budaya dalam keadaan pandemik ini bukan mudah dan penuh dengan cabaran.

Namun apa yang penting ialah usaha memartabatkan bahasa ibunda tetap dijalankan agar warisan budaya dapat terus dilestarikan, ujarnya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan