Bulan Bahasa kini 30 tahun: Sejauh mana ia sudah mencapai matlamatnya?
Inisiatif anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura itu bertujuan menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat Melayu dalam kehidupan seharian mereka.
SINGAPURA: Dengan pelancaran rasmi Bulan Bahasa 2018 yang berlangsung esok (31 Ogos), maka genaplah 30 tahun kempen itu digerakkan di Singapura.
Inisiatif anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura itu bertujuan menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat Melayu dalam kehidupan seharian mereka.
Sejauh manakah ia berjaya dalam mencapai tujuannya sejauh ini?
KINI LEBIH PELBAGAI KEGIATAN DIJALANKAN
Sejak dilancarkan pada 1988, Bulan Bahasa melalui banyak perubahan dan kini kerencaman kegiatan yang dianjurkan ketara sekali.
Hasil kerencaman itulah, lebih ramai dan pelbagai anggota masyarakat Melayu terlibat dalam kegiatan Bulan Bahasa secara langsung ataupun tidak.
Bagi ahli akademik dan pensyarah di NIE-NTU, Dr Mohd Aidil Subhan, jika inilah kayu pengukur keberkesanan Bulan Bahasa, ternyata ia berjaya mencapai matlamatnya.
Mentelah lagi, inisiatif itu pada awalnya hanya melibatkan golongan seperti cendekiawan, guru Melayu serta aktivis budaya dan sastera, kata beliau yang pernah menjadi aktivis Bulan Bahasa pada awal 1990-an.
Namun beliau menambah, jika diukur daripada peluasan penggunaan Bahasa Melayu pula, mungkin lebih banyak usaha harus dijalankan baik bagi badan-badan tertentu dan juga masyarakat sendiri, dek perubahan dalam kecenderungan berbahasa.
Ini kerana demografi masyarakat kini menunjukkan, ramai lebih selesa berbahasa Inggeris.
"Peluasan penggunaan Bahasa Inggeris dan rendahnya penggunaan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat adalah sesuatu yang berlaku dalam semua masyarakat di Singapura bukan hanya masyarakat Melayu.
"Oleh demikian, ini adalah sesuatu yang perlu kita tangani. Bagaimana kita tangani itu balik kepada masyarakat sendiri bukan hanya jawatankuasa Bulan Bahasa dan bukan hanya Majlis Bahasa," terang Dr Aidil.
UBAH PENDEKATAN?
Misalnya, antara cabarannya ialah bagaimana golongan dewasa yang datang menghadiri program Bulan Bahasa bukanlah menjadi penonton acara atau "penyokong pertandingan" anak-anak mereka sahaja.
"Kalau kita lihat banyak aktiviti-aktivitinya saya sifatkan sebagai aktiviti nostalgia warisan tetapi untuk menarik minat masyarakat saya rasakan perlu untuk kita menggunakan pendekatan dinamika pembangunan, mana dalam konteks budaya ini, mana dalam konteks sastera, mana dalam konteks bahasa ini yang berguna untuk masyarakat Melayu kita ke depan," ujar Dr Aidil.
Lantaran itu kata beliau, ada perlunya Bulan Bahasa disemak semula demi memastikan ia terus relevan kepada masyarakat Melayu akan datang.
"Supaya masyarakat yang melihat bahasa Melayu itu sebagai bahasa yang penting, yang mana nilai-nilai tradisi Melayu itu^ dapat disalurkan melalui bahasa itu.
"Ini mengambil kira penggunaan bahasa Inggeris yang semakin meluas. Jadi itu cabarannya," menurutnya.
Beliau sekali lagi menekankan bahawa perjuangan itu bukan hanya untuk Majlis Bahasa ataupun Jawatankuasa Bulan Bahasa sahaja. Sebaliknya ia "suatu cabaran orang Melayu kita" sebagai satu masyarakat dan juga sebagai pencinta bahasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.