Skip to main content

Singapura

Bulan Bahasa @ Keat Hong raikan bahasa & budaya Melayu, cipta rekod baca pantun beramai-ramai dalam Buku Rekod SG

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejarah tercipta di Kelab Masyarakat Keat Hong pada Sabtu (27 Sep) apabila 110 peserta berkumpul untuk menyertai bacaan pantun beramai-ramai yang terbesar di Singapura, sekali gus diiktiraf dalam Buku Rekod Singapura.

Aktiviti unik itu menjadi kemuncak sambutan Bulan Bahasa @ Keat Hong 2025, yang kembali untuk edisi ke-12 dengan tema "Aku Masih Fasih, Terus Gemilang".

Pantun khas yang dicipta sempena acara itu dipimpin oleh pakar pantun tempatan, Shahril Samri dan dilafazkan secara serentak oleh peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.

Peserta yang ditemui rata-rata meluahkan rasa bangga dan gembira dapat turut serta dalam acara membaca pantun beramai-ramai itu.

"Saya rasa bangga dan gembira kerana pada hari ini saya dapat turut serta bersama dengan ramai lagi masyarakat Keat Hong yang terdiri daripada pelbagai bangsa dari pelbagai peringkat umur yang turut sama-sama membaca ataupun menjayakan acara pantun pada hari ini, kata Mohd Shawafi Osman, 39 tahun.

Beliau juga menekankan pentingnya untuk melestarikan bahasa dan budaya membaca pantun.

"Pantun ataupun bahasa melayu ini merupakan salah satu adat ataupunmengandungi nilai nilai yang baik dalam pantun-pantun yang tadi kita bacakan. Ini adalah sangat penting untuk kita nilai-nilai yang murni terutamanya pada mereka ataupun kanak kanak yang lebih kecil," tambahnya.

PERTANDINGAN 'PETAH SPONTAN', 'NYANYIAN BELIA', LIBATKAN PELAJAR SEKOLAH RENDAH, MENENGAH

Sambutan Bulan Bahasa @ Keat Hong itu turut dimeriahkan dengan pertandingan 'Petah Spontan' dan pertandingan nyanyian buat belia.

Pertandingan 'Petah Spontan' menampilkan lebih 30 pelajar dari peringkat sekolah rendah dan menengah.

Pertandingan itu menguji kepetahan serta kebijaksanaan peserta menggunakan bahasa Melayu secara spontan, sekali gus mengasah keyakinan generasi muda untuk berbahasa dalam bahasa ibunda dengan fasih.

Seorang lagi peserta Bahya Bahari, 76 tahun, juga berpendapat bahawa pantun harus dilestarikan supaya ia tidak pupus ditelan zaman.

Bagi Andi'Syakirah Andi Khalid,14 tahun, acara itu adalah usaha untuk memupuk minat pada bahasa buat generasi muda sepertinya.

"Saya rasa ini penting untuk generasi muda kini kerana kita sudah terlupa banyak tentang budaya kita dan untuk membaca pantun ini bersama-sama ini membantu kita belajar untuk lebih fasih berbicara dengan bahasa yang lebih kreatif," katanya.

Acara yang dianjurkan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Keat Hong itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (Keat Hong MAEC), Jurainah Yusof, menekankan kepentingan bahasa sebagai warisan budaya yang kekal relevan.

"Apa yang ingin kami capai dengan tema ini adalah untuk anak-anak muda lebih fasih dan menggemari bahasa Melayu. Ini menunjukkan jati diri dan juga budaya kita," kata Cik Jurainah.

Ia juga sebuah usaha untuk memperkukuh bahasa dan budaya di kalangan masyarakat.

Acara tahun ini menampilkan pelbagai aktiviti berunsur bahasa dan budaya yang menyatukan masyarakat, termasuk persembahan seni, pertandingan, serta pameran interaktif.

Penasihat bagi Pertubuhan-Pertubuhan Akar Umbi GRC Chua Chu Kang (Keat Hong) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Zhulkarnain Abdul Rahim turut hadir untuk memeriahkan acara.

Daania Eiliyah Abbas Ali, pelajar Menengah 1 daripada Sekolah Menengah Choa Chu Kang tampil sebagai juara bagi kategori sekolah menengah. (Gambar: Keat Hong CC MAEC)

Ia juga menjadi wadah penting bagi membina keyakinan para belia dan menyemai cinta terhadap bahasa Melayu.

Daania Eiliyah Abbas Ali, pelajar Menengah 1 daripada Sekolah Menengah Choa Chu Kang tampil sebagai juara bagi kategori sekolah menengah.

Beliau akur berdepan dengan beberapa cabaran semasa pertandingan itu.

"Bila saya hendak naik ke pentas, saya rasa gementar kerana peserta sebelum saya membuat beberapa kesilapan dan saya rasa takut dan khuatir akan membuat kesilapan yang sama," kata Daania.

Pun begitu beliau berjaya menewaskan 19 pelajar sekolah menengah lain.

"Setiap hari sewaktu sekolah saya ada waktu bacaan dan pada waktu itu saya akan melatih dan menghafal skrip saya selama lima minit. Dari pertandingan ini saya boleh belajar banyak lagi kosa kata dan ini boleh membantu dalam penulisan karangan saya dalam bahasa melayu," kata Daania.

Beliau memberi peransang kepada kawan-kawan lain yang mungkin berminat untuk memasuki pertandingan itu pada masa hadapan untuk menghafal skrip dengan baik dan jangan gementar.

Edisi tahun ini juga memperkenalkan sebuah pertandingan nyanyian buat belia. Ia merupakan platform baharu yang memberi peluang kepada para belia menonjolkan bakat sambil memupuk rasa cinta terhadap bahasa melalui muzik.

Istimewa tahun ini, sebuah reruai 'Cerminan Bahasa' disertakan dalam acara. Ia menampilkan pantun, sajak dan peribahasa hasil sumbangan para penduduk dan mereka yang hadir pada acara itu.

Inisiatif itu menurut pihak penganjur menjadi simbol cerminan kolektif masyarakat, sekali gus mengukuhkan peranan bahasa dalam kehidupan seharian.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita