Skip to main content

Singapura

Bulan Bahasa 2026 perkasa penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan belia menerusi pendekatan digital

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Jul 2026 08:39PM Dikemas Kini : 27 Jul 2026 03:02AM

SINGAPURA: Penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian golongan muda akan terus diperkasa menerusi Bulan Bahasa tahun ini.

Dengan tema "Cita. Citra. Cinta. Bahasa Kita", sambutan tahun ini mengetengahkan pelbagai program yang bertujuan membina keyakinan belia untuk bertutur, berkarya dan berinteraksi dalam bahasa Melayu dalam pelbagai konteks.

Selain memperkenalkan program berteraskan bahasa dan budaya, Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) turut memberi penekanan kepada penggunaan teknologi.

Pengerusi MBMS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2026 yang juga Menteri Negara Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata pendekatan itu diharap dapat menggalakkan lebih ramai belia memanfaatkan bahasa Melayu dalam era digital.

"Kita menggunakan lebih banyak penekanan kepada penerapan teknologi, pendekatan digital dalam semua program-program bulan bahasa dan kita bekerjasama dengan rakan kerja kita untuk seperti pempengaruh dalam media sosial, di akaun-akaun Instagram atau Tiktok, yang lebih digemari oleh belia-belia kita," kata Encik Zhulkarnain.

"Saya harap penerapan teknologi ini dapat menjadi satu pemangkin semangat bagi generasi kita, masyarakat kita untuk tidak gentar dengan penggunaan teknologi ataupun gelombang kecerdasan buatan yang akan tiba di masyarakat kita," katanya lagi.

MBMS LANTIK DUA LAGI DUTA BAHASA

Tahun ini, MBMS turut melantik dua Duta Bahasa baharu, iaitu penggiat seni Anis Qurratu'aini Azman, 36 tahun, dan graduan jurusan undang-undang Universiti Nasional Singapura (NUS), Kamal Ashraf Kamil Jumat, 25 tahun.

Related article image
Duta Bahasa tahun ini, Kamal Ashraf Kamil Jumat. (Gambar: Hidir Ezat)
Menurut Encik Kamal, cabaran utama ialah membantu golongan muda mengatasi rasa kurang yakin bertutur dalam bahasa Melayu.

"Cabaran yang paling besar untuk mendekati golongan belia yang mungkin lebih selesa dalam bahasa Inggeris adalah untuk mengatasi rasa gelisah dan gementar apabila bertutur dalam bahasa Melayu," kata Encik Kamal.

"Mungkin mereka memerlukan titik permulaan seperti saya untuk mendapatkan pengalaman dan peristiwa yang dapat memberi semangat kepada mereka untuk mendapat lebih kemahiran dalam bahasa Melayu," katanya lagi.

Beliau berharap bahasa Melayu terus dilihat sebagai bahasa yang boleh digunakan dalam pelbagai situasi, termasuk dalam bidang akademik, profesional dan pergaulan harian.

Memberi fokus kepada minat belia terhadap seni, muzik dan penciptaan kandungan digital, Cik Anis berpandangan bahawa ia boleh dimanfaatkan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu.
Related article image
Seorang lagi Duta Bahasa, Anis Qurratu'aini Azman. (Gambar: Hidir Ezat)
"Pada saya, kita perlu mungkin memanfaatkan minat mereka yang mungkin mereka lebih cenderung kepada mungkin seni muzik dan sebagainya dan mungkin mereka gemar mencipta kandungan ataupun menggunakan seni sebagai cara untuk mereka berbahasa," kata Cik Anis.

"Jadi gunakan mungkin klip-klip yang pendek untuk mereka kenali dalam bahasa Melayu, apakah yang mereka boleh gunakan? Perkataan apa? Jadi itu yang boleh kita lazimi bersama dengan golongan muda," tambahnya lagi.

PELBAGAI PROGRAM DISEDIAKAN BAGI MENYEMARAKKAN BULAN BAHASA

Sepanjang Bulan Bahasa 2026, pelbagai program akan dianjurkan dengan kerjasama kelab masyarakat, sekolah dan kumpulan seni.

Antaranya pertandingan Penterjemah Pintar 2026 yang kembali dengan format baharu bagi memberi lebih banyak peluang kepada Rakan Bahasa sekolah rendah mengasah kemahiran penterjemahan.

Turut dianjurkan ialah bengkel dikir barat Yang Tersurat dan Yang Tersirat, bengkel seni kata SUARA serta bengkel penulisan Poskad Untuk Aku.

Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) juga akan menganjurkan pelbagai acara masyarakat, termasuk Bulan Bahasa Carnival, Pasir Ris East Malam Budaya 2026 dan pertandingan bakat Gema Si Cilik 2026.

Bulan Bahasa 2026 akan berlangsung dari 14 Ogos hingga 11 Oktober.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita